Mungkin anda risau lupa yang anda alami merupakan gejala kepada penyakit Alzheimer. Mungkin juga anda tertanya-tanya bagaimana untuk membezakan antara Alzheimer dengan pelupa biasa yang berlaku seiring dengn peningkatan usia?
Artikel ini akan membantu anda membezakan pelupa yang dialami oleh pesakit Alzheimer dengan pelupa biasa yang berlaku kepada orang tua.
Satu contoh situasi yang mudah untuk membezakan antara Alzheimer dengan pelupa adalah anda pergi ke bilik untuk mengambil buku dan kemudian terlupa anda masuk ke bilik tersebut untuk mendapatkan apa?
Dalam kebanyakan kes, episod pelupa ini menunjukkan kehilangan ingatan yang berkaitan dengan usia, kekurangan tidur atau stres.
Tetapi apabila anda tidak dapat mengingati tujuan anda pergi ke dalam bilik atau keseluruhan episod masuk ke dalam bilik, maka ia mungkin menjadi petanda awal penyakit Alzheimer.
Kajian mencadangkan bahawa lebih awal seseorang yang menghidap penyakit Alzheimer dirawat dengan ubat anti-demensia, lebih besar kemungkinan ubat itu akan berkesan dalam memperlahankan perkembangan penyakit.
Bagaimana Membezakan Alzheimer dengan Pelupa Biasa?
Beberapa perkara yang boleh membantu membezakan antara pelupa akibat penyakit Alzheimer atau pelupa biasa adalah seperti berikut:
1. Tumpuan dan Perhatian
Bagi pelupa biasa yang berkaitan dengan usia, anda mungkin mengalami penurunan terhadap tumpuan dan perhatian.
Tetapi, perbendaharaan kata dan pemahaman tentang hubungan antara sesuatu perkara tidak berubah selari dengan penuaan.
2. Mendapatkan Kembali Kenangan
Bagi pelupa biasa, seseorang itu mungkin mengalami kesukaran untuk mendapatkan kembali memori lama atau kenangan.
Keadaan ini menyebabkan kesukaran untuk mengakses maklumat seperti mengingati nama. Tetapi masalah ini boleh dibantu dengan bantuan seperti isyarat atau konteks.
3. Memori Terkini
Bagi penyakit Alzheimer, golongan ini menghadapi masalah dengan memori (ingatan) terkini dan isyarat, petunjuk serta konteks tidak dapat membantu.
Sebagai contoh, jika anda diminta mengingati tiga perkataan dan satu daripadanya ialah oren; dan bertanya kepada anda dalam masa tiga minit apakah tiga perkataan tersebut?
Anda mungkin tidak dapat meningati oren walaupun anda diberi petunjuk “satu adalah buah”.
Bagi pelupa biasa, anda mungkin akan mengingati perkataan itu selepas petunjuk diberikan.
4. Kronologi dan Sumber Memori
Bagi penghidap penyakit Alzheimer, mereka mungkin tidak dapat mengingati susunan sesuatu (memori kronologi) atau siapa yang cakap (sumber memori).
Contohnya, anda mungkin mengalami kesukaran untuk menggunakan perkataan yang biasa digunakan seperti pen dan anda mungkin tidak ingat bahawa perbualan atau peristiwa itu pernah berlaku.
5. Pengulangan dan Gangguan
Tanda-tanda lain yang membimbangkan adalah pengulangan (bukan untuk penekanan) dan tidak menyedari bahawa anda mempunyai masalah ingatan.
Bagi penyakit Alzheimer, anda mungkin mengalami gangguan pada ingatan. Contohnya, sekiranya anda diminta untuk melukis bulatan, dalam beberapa minit anda mungkin berfikir anda diminta untuk mengingati perkataan “bulatan.”
Ringkasan Perbezaan Antara Penyakit Alzheimer dengan Pelupa Biasa Akibat Penuaan
Berikut adalah contoh atau ciri-ciri yang boleh membezakan antara penyakit Alzheimer dengan pelupa biasa yang berlaku akibat usia tua:
Pelupa biasa akibat penuaan:
- Ingatan bertambah baik dengan isyarat, petunjuk atau konteks
- Perbendaharaan kata dan pemahaman terhadap hubungan sesuatu kekal
- Dapat mengingati susunan perkara dan siapa yang berkata
- Sedar akan berlakunya masalah ingatan
- Berfungsi dengan baik walaupun pelupa
- Membuat keputusan yang tidak begitu baik sekali-sekala
- Lupa untuk membayar bil bulanan
- Tidak pasti tentang hari apa tetapi dapat mengingatnya kemudian
- Kesukaran dengan tugas yang lebih baharu atau kurang biasa seperti tetapan pada perkakas baharu
- Sukar mencari tempat baharu semasa memandu
Penyakit Alzheimer:
- Ingatan terkini teruk dan isyarat atau petunjuk tidak membantu
- Tidak mengingati susunan sesuatu perkara dan siapa yang cakap
- Pengulangan semakin jelas dan gangguan ingatan berlaku
- Tidak sedar bahawa berlaku masalah ingatan
- Fungsi harian semakin merosot selari dengan ingatan
- Kerap menunjukkan pertimbangan dan membuat keputusan yang lemah
- Tidak dapat mengendalikan pembayaran bil dengan kerap
- Selalu keliru dengan masa dan tempat
- Kesukaran dengan tugas biasa seperti membuat kopi setiap hari
- Sesat dalam perjalanan pulang dari kerja harian
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Sekiranya masalah ingatan yang anda alami lebih cenderung ke arah masalah ingatan yang dialami oleh pesakit Alzheimer, ia adalah masa sesuai anda berjumpa dengan doktor.
Selain itu, sekiranya masalah yang dialami melibatkan kelakuan yang bahaya, perubahan mood yang ketara dan kehilangan keupayaan, anda juga dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan daripada pakar.
Rujukan
- National Institute of Aging. How Is Alzheimer’s Disease Treated?
- Cleveland Clinic medical professional. (2019). Memory Problems: What is Normal Aging and What is Not. Cleveland Clinic
- Pendick, D. (2020). 7 common causes of forgetfulness. Harvard Health Publishing.
- Alzheimer Association. Know The 10 Signs Early Detection Matters.