Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NRPA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui satu kenyataan akhbar pada 21 Ogos 2023 menggesa orang awam untuk mengelakkan daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik berikut:
No. | Nama Produk | Racun Berjadual yang Dikesan |
---|---|---|
1. | BL Ledehh Day Cream 2 | Merkuri |
2. | BL Ledehh Night Cream | Merkuri |
3. | For U Night Cream – 15g | Hidrokuinon, Tretinoin dan Betamethasone17-Valerate |
Produk-produk kosmetik ini telah dikesan mengandungi racun berjadual seperti merkuri, hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-velerate.
Susulan daripada itu juga, notifikasi produk-produk kosmetik yang terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera berhenti menggunakannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang kesan sampingan.
Perihal Bahan Racun Berjadual
Merkuri: Merkuri adalah bahan yang dilarang digunakan dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.
Merkuri boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.
Sekiranya bersentuhan dengan kulit, merkuri boleh menyebabkan iritasi, ruam dan perubahan lain pada kulit.
Hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate: Ketiga-tiga bahan ini adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan atas nasihat ahli profesional kesihatan.
Penggunaan produk-produk ini tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan seperti:
- Ketidakselesaan
- Perubahan warna kulit yang tidak diingini
- Kulit menjadi hipersensitif
- Menghalang proses pigmentasi
- Mengurangkan perlindungan kulit daripada sinaran UV berbahaya
- Meningkatkan risiko kanser kulit
- Kemerahan kulit
- Kulit mengelupas
- Iritasi
- Kulit berjerawat
Peringatan Kepada Penjual dan Pengedar Produk Kosmetik Ini
Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.
Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau
penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan
pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.