Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) hari ini mengeluarkan satu makluman mengenai produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri.
Orang ramai digesa untuk mengelakkan daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik berikut:
Bil. | Nama Produk | Racun Berjadual yang Dikesan |
---|---|---|
1. | Karisma Turmeric Booster Cream | Merkuri |
2. | Flashhskinzz Treatment Cream | Merkuri |
Susulan daripada penemuan ini, pihak Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM telah membatalkan notifikasi-notifikasi produk-produk kosmetik terlibat.
Produk-produk kosmetik ini tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.
Bahaya Merkuri
Merkuri adalah bahan yang dilarang penggunaannya dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.
Merkuri boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada sistem saraf dan buah pinggang.
Selain itu, sekiranya digunakan oleh wanita mengandung atau wanita menyusukan anak, merkuri boleh menyebabkan gangguan terhadap perkembangan otak bayi atau kanak-kanak kecil.
Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan menyebabkan perubahan-perubahan lain pada kulit.
Peringatan Kepada Penjual dan Pengedar Produk Kosmetik Ini
Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Nasihat Kepada Orang Awam
Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.