Keracunan merkuri boleh berlaku apabila seseorang menyentuh atau memakan merkuri pada jumlah yang banyak. Merkuri adalah logam berat yang wujud secara semula jadi dipersekitaran kita dan juga digunakan dalam produk-produk tertentu di rumah, sekolah atau tempat kerja.
Mungkin anda pernah mendengar laporan berita yang menyatakan bomba dipanggil ke sekolah akibat tumpahan merkuri. Ini menunjukkan bahawa merkuri boleh memberikan ancaman yang serius terhadap kesihatan manusia.
Merkuri sebenarnya wujud dalam pelbagai bentuk iaitu elemen (logam), tak organik atau organik (seperti metilmerkuri). Setiap bentuk merkuri ini berbeza dari segi tahap ketoksikannya dan kesannya terhadap sistem dan organ badan.
Kenapa Merkuri Bahaya?
Merkuri dikenali sebagai bahan neurotoksin yang boleh merosakkan tisu-tisu saraf di dalam badan dan memberi kesan yang negatif terhadap fungsi sistem saraf.
Pada kadar yang sedikit (minimum), merkuri dianggap selamat tetapi jika pada kadar yang banyak ia boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan.
Keracunan merkuri yang paling lazim berlaku adalah melalui makanan seperti ikan atau makanan laut yang mengandungi paras merkuri yang tinggi.
Kanak-kanak dan bayi dalam kandungan adalah yang paling terdedah kepada kesan keracunan merkuri.
Simptom-simptom Jika Berlaku Keracunan Merkuri
Terdapat beberapa jenis keracunan merkuri dengan simptom-simptom yang berbeza.
Metilmerkuri
Keracunan metilmerkuri berlaku apabila individu tersebut memakan ikan atau kerang-kerangan yang mengandungi jumlah metilmerkuri yang tinggi.
Keracunan metilmerkuri akan menyebabkan simptom-simptom berikut:
- Otot menjadi lemah
- Sukar untuk berjalan
- Gangguan terhadap percakapan dan pendengaran
- Hilang koordinasi
- Hilang penglihatan sisi
- Rasa sesemut di tangan, kaki atau mulut
Logam Merkuri
Jenis keracunan merkuri yang seterusnya adalah melalui wap logam merkuri yang terdedah kepada kepada udara.
Keracunan jenis ini biasanya berlaku apabila logam merkuri pecah atau tumpah dan wapnya terdedah ke udara. Situasi seperti ini biasanya terjadi di makmal sekolah atau makmal yang menggunakan peralatan mengandungi merkuri.
Logam merkuri ini boleh dijumpai dalam tampalan gigi, termostat, termometer dan barang kemas.
Keracunan logam merkuri boleh menyebabkan simptom-simptom berikut:
- Tremor atau ketar
- Sukar untuk tidur
- Sakit kepala
- Perubahan emosi
- Perubahan tindak balas saraf
- Keupayaan berfikir yang lemah
- Gangguan fungsi buah pinggang
- Masalah pernafasan
- Sentakan otot
- Rasa lemah
- Kematian
Merkuri Tak Organik
Merkuri tak organik boleh dijumpai dalam produk isi rumah seperti antiseptik, pengawet, racun kulat, produk memutihkan kulit atau produk antipenuaan.
Keracunan merkuri tak organik boleh menyebabkan simptom-simptom berikut:
- Ruam kulit
- Lemah otot
- Hilang ingatan
- Gangguan mental
- Perubahan mood
Kesan Terhadap Bayi dan Kanak-kanak
Keracunan merkuri boleh menjejaskan perkembangan dan pertumbuhan bayi dalam kandungan atau kanak-kanak kecil. Bayi atau kanak-kanak kecil yang terdedah kepada merkuri pada paras yang tinggi boleh mengalami kelewatan dari segi perkembangan:
- Kognitif
- Kemahiran motor (kemahiran pergerakan tubuh badan)
- Percakapan atau bahasa
- Kemahiran visual-ruang
Bayi yang terdedah kepada keracunan merkuri pada tahap yang tinggi semasa dalam kandungan berisiko tinggi untuk membentuk palsi serebrum (cerebral palsy), iaitu kecacatan pada bahagian otak yang menyebabkan kelemahan dan ketiadaan koordinasi pada anggota-anggota tubuh. [X
Diagnosis
Beberapa ujian berikut mungkin dilakukan untuk mendiagnosis keracunan merkuri:
- Pemeriksaan fizikal
- Sejarah perubatan dan simptom-simptom yang berlaku
- Ujian darah
- Ujian air kencing
- Ujian rambut (bagi kes yang telah lama terdedah kepada merkuri)
Rawatan
Langkah pertama rawatan adalah mencari sumber yang menyebabkan pendedahan terhadap merkuri dan menyingkirkannya.
Bagi pesakit yang mempunyai paras merkuri yang tinggi dalam darah, terapi pengkelatan boleh dipreskripsikan.
Terapi pengkelatan ialah prosedur perubatan yang melibatkan penggunaan ubat atau bahan kimia untuk membuang logam berat daripada badan.
Rumusan
Merkuri ialah bahan berbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan. Sekiranya terdedah pada paras yang tinggi, merkuri boleh menyebabkan kerosakan sistem saraf, otot menjadi lemah dan banyak lagi.
Keracunan yang paling lazim berlaku adalah akibat daripada memakan makanan laut seperti ikan atau kerang-kerangan yang mengandungi merkuri yang tinggi.
Keracunan merkuri juga boleh memberikan kesan negatif terhadap bayi dalam kandungan dan kanak-kanak kecil. Oleh itu, ambil langkah berjaga-jaga dengan mengehadkan pemakanan ikan yang bersaiz besar atau kerang-kerangan semasa mengandung.
Rujukan
- World Health Organization. (2017). Mercury and health
- Jividen, S. (2021). Mercury Poisoning: What You Should Know. verywellhealth.
- Bernhoft R. A. (2012). Mercury toxicity and treatment: a review of the literature. Journal of environmental and public health.