Boleh dikatakan hampir setiap wanita memiliki produk kosmetik. Tetapi, mungkin ramai yang tidak mengetahui apa yang terkandung dalam produk kosmetik mereka. Keadaan ini menjadi lebih parah jika pihak syarikat pengeluar menipu dengan memasukkan bahan terlarang.
Artikel ini membantu anda mengetahui dengan lebih lanjut mengenai bahan terlarang yang sering digunakan dalam produk kosmetik dan kesannya kepada diri anda.
Produk kosmetik telah lama menjadi keperluan bagi golongan wanita dan berperanan penting dalam rutin harian mereka. Produk kosmetik bukan sahaja mengubah penampilan, malahan juga meningkatkan keyakinan diri mereka.
Pasaran kosmetik di Asia, termasuk Malaysia, adalah antara yang paling pesat membangun, dengan syarikat perniagaan memperkenalkan pelbagai strategi yang menyasarkan pengguna wanita mahupun lelaki.
Secara amnya, minat pengguna banyak dipengaruhi oleh pengiklanan dan pemasaran yang meluas. Penjualan secara dalam talian yang menjadikannya lebih mudah diakses oleh pengguna turut menyumbang kepada permintaan yang tinggi terhadap kosmetik.
Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia
Menurut Guidelines for Control of Cosmetic Products yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), produk kosmetik didefinisikan sebagai produk yang digunakan pada bahagian luar tubuh badan.
Antaranya termasuklah kulit, rambut, kuku, bibir, bahagian luar alat kelamin, gigi, dan membran mukosa mulut.
Produk ini mempunyai pelbagai fungsi tertentu, seperti membersih, mewangi, mengubah penampilan diri, memperbaik bau badan serta melindungi atau memelihara bahagian tubuh tertentu supaya kekal dalam keadaan yang baik.
Semua produk kosmetik di Malaysia dikawal selia di bawah peruntukan undang-undang untuk memastikan keselamatan pengguna, terutamanya bagi melindungi pengguna daripada kesan berbahaya kosmetik yang tercemar.
Semua produk kosmetik perlu dinotifikasikan kepada KKM sebelum boleh diimport, dikilang, diedarkan atau dijual di Malaysia.
Notifikasi kosmetik merupakan proses sesebuah syarikat mengisytiharkan maklumat tentang produk kosmetiknya kepada KKM sebelum memasarkan produk tersebut.
Selain itu, syarikat tersebut mestilah memenuhi tanggungjawabnya untuk memastikan keselamatan, kualiti, dan ketulenan produk kosmetik mereka.
Hal ini termasuklah untuk memastikan produk mereka bebas daripada bahan terlarang dan tidak dicemari oleh mikroorganisma.
Sebarang tuntutan yang dinyatakan pada label produk kosmetik harus selaras dengan definisi kosmetik serta disokong dengan bukti yang relevan dan sesuai.
Bahan Pencemar yang Lazim Dicampurkan Ke Dalam Produk Kosmetik dan Kesannya Terhadap Kesihatan
Walaupun terdapat keperluan untuk notifikasi produk kosmetik, segelintir individu tidak bertanggungjawab masih memasarkan kosmetik mengandungi bahan terlarang yang berbahaya.
Bahan-bahan ini sengaja ditambah ke dalam produk kosmetik bagi menghasilkan kesan yang drastik.
Tindakan ini seterusnya dapat menarik minat pengguna kerana mereka akan lebih mudah mempercayai bahawa produk tersebut berkesan seperti yang didakwa.
Pendedahan berpanjangan kepada produk kosmetik yang tercemar boleh menyebabkan ancaman yang serius kerana kesannya bukan sahaja secara langsung kepada kulit tetapi bahan tersebut boleh meresap ke dalam tubuh.
Bahan yang paling biasa ditemui dalam produk kosmetik ialah logam berat seperti merkuri serta Ubat Terkawal yang disenaraikan dalam Jadual Racun di bawah Akta Racun 1952, seperti hidrokuinon dan tretinoin.
1. Merkuri
Merkuri merupakan logam berat yang digunakan secara meluas dalam industri kimia dan elektronik. Logam ini sangat toksik kepada manusia dan perlu diurus dengan cermat.
Syarikat tidak bertanggungjawab yang memasarkan produk pemutihan kulit biasanya mencampurkan merkuri ke dalam produk mereka untuk mendapatkan kesan pemutihan yang cepat.
Pendedahan berpanjangan kepada merkuri boleh membawa kepada pelbagai kesan berbahaya termasuk kerengsaan kulit dan reaksi alahan.
Lebih berbahaya lagi, merkuri boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, gangguan sistem saraf, dan kemerosotan kognitif.
Wanita hamil yang menggunakan produk kosmetik yang dicampurkan dengan merkuri berpotensi mengalami kecacatan bayi dan mengakibatkan perkembangan saraf terbantut. Malah, merkuri juga berisiko menyebabkan keguguran janin.
2. Hidrokuinon
Hidrokuinon kebiasaannya digunakan dalam kosmetik kerana sifatnya yang berupaya mencerahkan kulit.
Oleh sebab itu, hidrokuinon sering ditemui dalam produk pemutihan kulit. Hidrokuinon bertindak dengan menghalang penghasilan melanin yang berfungsi memberikan warna dan perlindungan kepada kulit.
Apabila melanin semakin berkurangan, kulit akan kehilangan perlindungan semula jadi dan lebih mudah terdedah kepada radiasi sinaran ultraviolet.
Penggunaan hidrokuinon dalam jangka masa yang panjang boleh menyebabkan kesan sampingan seperti kerengsaan dan kemerahan kulit, reaksi hipersensitiviti serta keadaan yang dikenali sebagai okronosis iaitu keadaan yang menyebabkan kulit menjadi gelap dan menebal.
Bukan itu sahaja, pendedahan berpanjangan kepada radiasi sinaran ultraviolet meningkatkan risiko untuk mendapat kanser kulit.
3. Tretinoin
Tretinoin ialah Ubat Terkawal yang digunakan untuk merawat masalah jerawat kronik di bawah pengawasan doktor. Tretinoin tidak boleh dicampurkan ke dalam mana-mana produk kosmetik.
Walau bagaimanapun, sesetengah pengeluar kosmetik yang tidak bertanggungjawab menambah tretinoin ke dalam produk mereka, terutamanya dalam krim jerawat, disebabkan keberkesanannya untuk merawat jerawat.
Produk kosmetik yang dicemari dengan tretinoin berbahaya kerana kepekatan tretinoin yang ditambah ke dalam produk tersebut tidak dapat dipastikan.
Tambahan lagi, tretinoin juga boleh mengakibatkan kesan sampingan seperti kemerahan, ketidakselesaan, rasa pedih dan pengelupasan kulit serta meningkatkan sensitiviti kulit terhadap cahaya matahari.
Bahkan, tretinoin turut diketahui bersifat teratogenik yang berpotensi membahayakan janin. Individu yang menggunakan produk tercemar dengan tretinoin berisiko mengalami keguguran atau mengganggu perkembangan kandungan.
Nasihat untuk Orang Awam
Orang awam hendaklah sentiasa berwaspada setiap kali membeli atau menggunakan sebarang produk kosmetik.
Mereka harus menyemak kandungan produk tersebut terlebih dahulu. Orang awam tidak seharusnya mudah terpedaya dengan iklan dan promosi yang dibuat bagi produk kosmetik ini.
Kebiasaannya, penjual menarik perhatian dan mempengaruhi orang ramai untuk membeli produk mereka dengan tuntutan berlebihan yang sering kali disokong oleh testimoni tanpa bukti yang kukuh.
Selain itu, orang awam disarankan untuk menyemak status notifikasi produk kosmetik menerusi fungsi “Carian Produk” atau “Product Search” di laman web rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di www.npra.gov.my sebelum membuat pembelian. Semakan juga dapat dilakukan melalui aplikasi telefon pintar “NPRA Product Status”.
Sekiranya mengalami sebarang kesan sampingan atau reaksi alahan selepas menggunakan sesuatu produk kosmetik, orang awam dinasihatkan agar berhenti menggunakan produk tersebut dengan segera.
Jika reaksi alahan semakin teruk, mereka perlu mendapatkan pemeriksaan lanjut di fasiliti kesihatan. Selain itu, mereka juga digalakkan untuk melaporkan sebarang kesan sampingan yang dialami kepada NPRA melalui Borang Pelaporan Kesan Sampingan Kosmetik (Adverse Cosmetic Event Report Form), yang boleh dimuat turun daripada laman web NPRA.
Sebagai kesimpulan, menjadi keutamaan untuk pengguna mempertimbangkan dengan teliti semua pilihan yang ada ketika ingin memilih dan membeli sesuatu produk kosmetik.
Sebelum menggunakan sebarang produk kosmetik, semak dahulu maklumat yang disediakan secara menyeluruh dan jangan terlalu mudah percaya akan tuntutan yang dibuat oleh penjual.
Langkah-langkah pencegahan ini sewajarnya dititikberatkan untuk memaksimumkan manfaat kosmetik tersebut di samping mengelakkan kesan sampingan yang tidak diingini.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Nadiatul Nabilah Sani
Puan Nadiatul Nabilah Binti Sani ialah seorang Pegawai Farmasi di Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.