Kopi adalah salah satu minuman paling popular di dunia. Ramai yang mengambilnya atas pelbagai sebab dan mungkin salah satunya daripadanya untuk kesihatan seperti kesihatan otak. Menjadi persoalan, adakah benar kopi baik untuk otak?
Memandangkan populariti kopi, beberapa kajian telah mengkaji kesannya terhadap kesihatan anda, dalam jangka masa pendek dan panjang.
Ternyata, penggunaan kopi secara sederhana dikaitkan dengan manfaat kesihatan. Penyelidik juga telah melihat kesan kafein kepada otak anda dan penemuan setakat ini kelihatan agak menjanjikan.

Kopi mengandungi ratusan sebatian bioaktif yang menyumbang kepada manfaat kesihatannya. Kebanyakan sebatian ini bersifat antioksidan. Ini bermakna ia boleh membantu melindungi sel-sel badan anda daripada radikal bebas.
Antara beberapa sebatian aktif di dalam kopi adalah:
- Kafein
- Asid klorogenik
- Cafestol
- Kahweol
- Trigonelina
Kandungan kafein di dalam kopi memainkan peranan yang besar terhadap kesan kopi terhadap otak atau sistem saraf pusat.
Bagi menjawab persoalan adakah kopi baik untuk otak, berikut adalah beberapa dapatan kajian mengenai kesan kopi atau kafein terhadap otak dan sistem saraf pusat:
1. Kesan Kopi Terhadap Fungsi Otak
Kafein boleh merangsang sistem saraf pusat dengan mendorong pelepasan neurotransmiter seperti dopamin, serotonin dan noradrenalin. [1]
Selain itu, kafein juga turut dilaporkan boleh meningkatkan beberapa fungsi otak seperti: [2]
- Tumpuan
- Mood
- Masa tindak balas
- Berjaga-jaga
- Pembelajaran
Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa lama-kelamaan anda boleh menjadi tolerans kepada kafein. Ini bermakna anda memerlukan lebih banyak kafein untuk mendapatkan kesan ini.
Harus diingat bahawa, terlalu banyak kafein juga bukan satu pilihan yang baik.
2. Kesan Kopi Terhadap Ingatan atau Memori
Pengambilan kopi juga dipercayai mempunyai kesan yang positif terhadap ingatan atau memori.
Terdapat beberapa kajian yang melaporkan bahawa kafein boleh memberikan kesan yang positif terhadap memori jangka pendek dan jangka panjang. [3]
Kajian lain pula mendapati kafein boleh menambah baik ingatan (memori) terhadap golongan belia terutamanya semasa masa tidak optimum mereka seperti waktu awal pagi. [4]
3. Kesan Kopi Terhadap Tumpuan atau Kepekaan
Ramai juga yang mengambil kopi untuk berasa bertenaga dan meningkatkan tumpuan atau kepekaan, terutamanya bagi mereka yang bekerja syif malam atau memandu untuk perjalanan yang jauh.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa kafein boleh meningkatkan kepekaan apabila seseorang itu kelesuan atau berehat. Ia juga bergantung kepada jumlah kafein yang diambil. Jumlah atau dos sederhana sebanyak 100-300mg dilihat pilihan yang paling bermanfaat. [5]
4. Kesan Kopi Terhadap Penyakit Berkaitan Otak
Pengambilan kopi juga boleh membantu mengurangkan risiko kepada penyakit berkaitan otak seperti penyakit Alzheimer dan Parkinson.
Kajian pencerapan telah mengaitkan pengambilan kopi secara sederhana iaitu sebanyak 3-5 cawan sehari dengan pengurangan risiko mendapat penyakit Alzheimer sehingga 65%. [6]
Satu analisis melaporkan bahawa risiko penyakit Parkinson adalah 29% lebih rendah pada orang yang minum 3 cawan kopi setiap hari. Tambahan itu juga, kajian ini turut mendapati mengambil 5 cawan kopi sehari nampaknya tidak menambah banyak manfaat. [7]
Ini menunjukkan bahawa lebih banyak tidak semestinya lebih baik.
Rumusan
Berdasarkan kajian-kajian, dapat disimpulkan bahawa pengambilan kopi adalah baik untuk otak sekiranya diambil secara bersederhana.
Terdapat kajian-kajian yang mendapati kopi yang mengandungi kafein boleh memberikan kesan positif terhadap memori, tumpuan, kepekaan dan mengurangkan risiko kepada penyakit-penyakit berkaitan otak.
Rujukan
- Alasmari F. (2020). Caffeine induces neurobehavioral effects through modulating neurotransmitters. Saudi pharmaceutical journal.
- Ruxton, C.H.S. (2008). The impact of caffeine on mood, cognitive function, performance and hydration: a review of benefits and risks. Nutrition Bulletin
- Fiani, B. et al. (2021). The Neurophysiology of Caffeine as a Central Nervous System Stimulant and the Resultant Effects on Cognitive Function. Cureus.
- Sherman, S. M. et al. (2016). Caffeine Enhances Memory Performance in Young Adults during Their Non-optimal Time of Day. Frontiers in psychology.
- Tom, M.M. et al. (2016). A review of caffeine’s effects on cognitive, physical and occupational performance. Neuroscience & Biobehavioral Reviews.
- Eskelinen, M. H., & Kivipelto, M. (2010). Caffeine as a protective factor in dementia and Alzheimer’s disease. Journal of Alzheimer’s disease.
- Qi, H., & Li, S. (2014). Dose-response meta-analysis on coffee, tea and caffeine consumption with risk of Parkinson’s disease. Geriatrics & gerontology international.