Adakah anda tidak pasti bahawa anda hamil atau tidak? Mungkin 10 tanda awal kehamilan ini boleh membantu anda.
Cara terbaik untuk mengetahui sama ada anda hamil atau tidak adalah melakukan ujian kehamilan atau ultrabunyi (ultrasound). Tetapi, beberapa tanda-tanda lain boleh juga menjadi petunjuk bahawa anda sedang hamil.
Tanda-tanda awal kehamilan boleh berbeza-beza bagi setiap orang dan dari satu kehamilan ke kehamilan yang lain.
Anda mungkin merasakan badan anda mengalami perubahan sebelum anda tahu anda hamil atau anda mungkin tidak menyedari sebarang gejala sama sekali.

Tanda-tanda dan Simptom Awal Kehamilan (Paling Lazim Berlaku)
Beberapa tanda atau simptom boleh membantu anda mengetahui sama ada anda hamil atau tidak, antara yang paling lazim berlaku adalah:
1. Tidak Datang Haid
Bagi anda yang mempunyai kitaran haid yang teratur, tidak datang haid adalah tanda awal kehamilan yang paling lazim berlaku.
Sebaik sahaja konsepsi (perjaninan) berlaku, badan anda menghasilkan hormon yang menghentikan ovulasi dan peluruhan lapisan rahim anda.
Ini bermakna kitaran haid anda telah berhenti dan anda tidak akan datang haid lagi sehingga selepas bayi anda dilahirkan.
Walau bagaimanapun, harus diingat juga anda boleh terlepas haid akibat tekanan, senaman berlebihan, diet, ketidakseimbangan hormon dan faktor lain yang mungkin menyebabkan haid tidak teratur.
2. Kelesuan (Berasa Letih)
Ramai wanita berasa sangat letih ketika awal kehamilan.
Kelesuan ini berlaku kerana paras hormon progesteron yang tinggi. Sama seperti tanda kehamilan awal yang lain, kelesuan biasanya menjadi lebih baik pada trimester kedua (selepas minggu ke-13 kehamilan).
Walau bagaimanapun, ia kembali pada trimester ketiga untuk kebanyakan orang.
3. Mabuk Hamil (Loya atau Muntah)
Mabuk hamil (morning sickness) adalah tanda kehamilan yang boleh berlaku pada bila-bila masa sama ada waktu pagi atau malam.
Loya boleh berlaku seawal minggu ke-2 kehamilan. Tidak semua orang akan mengalami loya-loya dan ada juga yang mengalaminya secara ringan atau teruk.
Kira-kira separuh daripada wanita hamil muntah kerana loya. Walaupun loya semasa hamil agak normal, ia boleh menjadi masalah jika anda mengalami dehidrasi.
4. Kerap Membuang Air Kecil
Salah satu tanda lain yang boleh menunjukkan bahawa anda hamil adalah anda akan lebih kerap membuang air kecil.
Malah sebelum anda tidak didatangi haid, anda mungkin telah mengalami simptom ini.
Semasa kehamilan, bekalan darah dalam badan anda akan meningkat. Buah pinggang anda akan menapis darah anda dan menyingkirkan sisa buangan. Sisa ini akan dikumuhkan sebagai air kencing.
Ini bermakna semakin banyak darah dalam badan anda, semakin kerap anda harus membuang air kecil.
5. Payudara Bengkak dan Sakit
Payudara yang bengkak dan sakit juga boleh menjadi tanda awal kehamilan. Rasa sakit itu mungkin sama seperti anda rasa sebelum datang haid atau lebih lagi.
Bahagian puting juga mungkin mula membesar atau bertambah gelap. Kesakitan ini bersifat sementara dan pudar apabila badan anda terbiasa dengan peningkatan hormon.
Anda juga mungkin mendapati bahawa payudara anda telah menjadi lebih besar dan baju dalam anda berasa lebih ketat daripada biasa.
Tanda dan Simptom Awal Kehamilan (Jarang Berlaku)
Selain itu, terdapat juga beberapa tanda lain yang boleh menjadi petanda bahawa anda sedang hamil.
Antaranya adalah:
6. Mengidam
Sesetengah orang mungkin mengidam untuk makan sesuatu atau sentiasa rasa lapar.
Anda mungkin merasakan sesetengah makanan dan perisa kelihatan menarik pada awal kehamilan dan sesetengah yang lain tidak menyelerakan.
Aversi makanan boleh berlaku sepanjang kehamilan, menjadikan anda tidak menyukai perkara yang anda nikmati sebelum ini.
Di samping itu, anda juga menjadi lebih sensitif terhadap bau dan deria rasa anda mungkin berubah.
7. Tompok-tompok Darah
Pendarahan ringan seperti tompok-tompok darah boleh menjadi tanda awal kehamilan.
Walaupun ia mungkin kelihatan seperti petanda buruk, tompok-tompok darah boleh menjadi tanda bahawa embrio telah ditanam dalam lapisan rahim anda.
Implantasi berlaku kira-kira 10 hari selepas penjaninan. Pendarahan implantasi kelihatan seperti tompokan darah kecil atau lelehan berwarna coklat dari faraj anda.
Ia boleh bermula sekitar waktu haid biasa anda dan boleh bertahan selama beberapa hari hingga beberapa minggu.
Tompok-tompok darah ini boleh menyebabkan sesetengah orang menyangka mereka baru sahaja mengalami haid ringan dan tidak hamil.
8. Perubahan Emosi (Mood Swing)
Perubahan hormon juga menyebabkan anda mengalami perubahan emosi. Keadaan ini adalah normal dan boleh berlaku sepanjang kehamilan.
Namun, jika anda berasa cemas, tertekan atau terfikir untuk mencederakan diri sendiri, adalah penting untuk mendapatkan bantuan.
9. Kembung Perut
Tambahan daripada itu juga, perubahan hormon semasa awal kehamilan boleh menyebabkan anda berasa kembung perut.
Lonjakan hormon boleh menyebabkan perut anda berasa kembung dan membawa kepada pengeluaran gas (kentut) lebih daripada biasa.
10. Kekejangan
Sesetengah orang mungkin mengalami kekejangan yang ringan seperti kekejangan semasa haid pada awal kehamilan. Kekajangan ini boleh datang dan pergi dalam jangka masa beberapa hari.
Meskipun begitu, jika kekejangan ini dirasai terutamanya pada satu sisi badan sahaja atau teruk, adalah penting untuk mendapatkan rawatan di hospital terdekat untuk penilaian lanjut oleh ahli profesional kesihatan.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). Symptoms of pregnancy: What happens first .MayoClinic
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Am I Pregnant?Cleveland Clinic