Bagaimana cara menghilangkan senggugut? Ketahui 8 cara atau kaedah rawatan yang boleh membantu anda mengurangkan kesakitan akibat senggugut dalam artikel ini.
Senggugut atau period pain ialah keadaan tidak selesa di bahagian perut, pinggang dan paha ketika haid yang sering dihadapi oleh kaum wanita.
Kekejangan, sedikit rasa sakit dan tidak selesa semasa haid adalah normal. Sakit selama 2 atau 3 hari pada permulaan haid adalah normal.
Namun, sakit yang berlanjutan sehingga habis kitaran haid dan sakit berlebihan yang boleh menyebabkan seseorang itu tidak hadir ke sekolah atau kerja adalah tidak normal.
Kadang-kadang senggugut ini boleh menjejaskan aktiviti harian dan kualiti hidup wanita yang sering mengalaminya.
Maka, pendekatan merawat atau mengurangkan keterukan senggugut ini sedikit sebanyak boleh meningkatkan kualiti hidup pesakit.
Artikel ini akan menjelaskan beberapa kaedah rawatan atau cara menghilangkan senggugut yang boleh dicuba oleh kaum wanita.
Punca Senggugut
Semasa haid, dinding rahim akan mengecut dengan lebih kuat untuk membantu sebahagian lapisan rahim untuk luruh.
Apabila dinding rahim mengecut, ia akan memampatkan salur-salur darah yang melapisi rahim. Keadaan ini akan menyebabkan bekalan darah dan oksigen ke bahagian rahim terhenti seketika. Tanpa oksigen, tisu-tisu dalam rahim akan melepaskan bahan kimia yang mencetuskan kesakitan.
Semasa bahan anda menghasilkan bahan kimia yang mencetuskan kesakitan ini, ia turut menghasilkan hormon lain yang dikenali sebagai prostaglandin. Hormon ini menggalakkan rahim untuk lebih mengecut seterusnya meningkatkan lagi tahap kesakitan yang dialami.
Hormon prostaglandin ini dipercayai punca yang menyebabkan sesetengah wanita mengalami sakit yang teruk semasa haid. [1]
Selain itu, terdapat beberapa faktor risiko yang mempunyai perkaitan dengan kesakitan yang teruk semasa haid iaitu:
- merokok
- mempunyai sejarah keluarga yang mengalami senggugut teruk
- mengalami pendarahan yang banyak semasa haid
- haid yang tidak teratur
- tidak pernah memiliki anak/bayi
- berumur bawah 20 tahun
- baligh sebelum umur 11 tahun
- masalah pergaulan sosial
- kemurungan atau keresahan
- mempunyai berat badan berlebihan
Rawatan atau Cara Menghilangkan Senggugut
Terdapat beberapa cara yang boleh menghilangkan atau mengurangkan kesakitan akibat senggugut ini.
Antaranya adalah:
1. Mengambil ubat belian kaunter
Ubat anti keradangan bukan steroid (NSAID) boleh didapati di farmasi untuk menghilangkan sakit senggugut atau pendarahan haid melampau. Ibuprofen, naproxen, dan aspirin adalah antara ubat yang dikelaskan sebagai ubat NSAID.
Ubat jenis ini dapat menolong mengurangkan penghasilan hormon prostaglandin. [1]
Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini mempunyai risiko kesan sampingan dan wajib diambil mengikut dos yang disyorkan.
Pilihan ubat farmasi lain yang boleh digunakan untuk mengatasi senggugut ialah ubat yang mengandungi paracetamol dan pamabrom. Kedua-dua ubat ini dijual dengan jenama produk seperti Panadol Menstrual atau Uphamol Menstrual tablet.
2. Menuam dengan tuala panas atau haba
Cara menghilangkan senggugut yang seterusnya ialah dengan menuam tuala panas atau suam pada bahagian perut dan pinggang.
Kajian yang dijalankan terhadap 147 orang wanita berusia 18 hingga 30 tahun yang mengalami senggugut mendapati pelekat panas bersuhu 40°C adalah efektif dalam mengurangkan senggugut sama seperti ubat ibuprofen. [2]
Sekiranya anda tidak mempunyai pad pemanas, anda boleh menggunakan tuala suam atau panas.
Anda juga boleh mencuba tali pinggang khas yang boleh menghasilkan haba untuk masalah senggugut ini.
3. Elakkan makanan-makanan ini
Semasa haid, cuba elakkan makanan yang boleh mengakibatkan kembung dan penahanan air. Antaranya ialah:
- makanan masin
- makanan bergoreng
- minuman berkarbonat
- kafein
- alkohol
Menghindari atau mengurangkan makanan-makanan ini boleh mengurangkan kekejangan dan ketegangan.
4. Ambil ubat herba semulajadi yang mengandungi halia
Ubat herba semulajadi yang mengandungi halia boleh mengurangkan senggugut.
Dalam satu kajian yang dijalankan terhadap 168 remaja perempuan berumur 18-26 tahun yang mengalami senggugut didapati pengambilan kapsul 200mg halia dapat mengurangkan kesakitan akibat senggugut. [3]
Satu kajian klinikal yang dijalankan dari September 2006 hingga Februari 2007 yang melibatkan 150 pelajar perempuan mendapati pengambilan kapsul halia 250mg empat kali sehari turut dapat melegakan kesakitan akibat senggugut. [4]
5. Mengurut
Mengurut kira-kira selama 20 minit dapat membantu mengurangkan senggugut.
Terapi dengan mengurut untuk senggugut melibatkan titik-titik tertentu pada badan seperti bahagian abdomen dan juga kaki.
Tonton video dibawah untuk mendapatkan cara-cara mencari titik yang betul untuk mengurangkan kesakitan akibat senggugut.
6. Berendam dalam tub mandi
Berendam dalam tub mandi yang mengandungi air suam juga merupakan salah satu cara untuk merehatkan otot pelvis.
Cuba berendam dalam air suam itu sekurang-kurangnya selama 15 minit untuk merasai kesannya.
7. Vitamin B1 dan minyak ikan
Pengambilan suplemen vitamin B1 dan minyak ikan juga boleh membantu mengurangkan kesakitan yang dialami akibat daripada senggugut ini.
Kajian yang dijalankan terhadap 240 orang pelajar perempuan sekolah menengah mendapati pengambilan suplemen vitamin B1 sebanyak 100mg sehari dan minyak ikan sebanyak 500mg sehari pada permulaan haid boleh mengurangkan kesakitan yang dialami. [5]
8. Diet vegetarian yang rendah lemak
Diet vegetarian yang rendah dengan lemak juga didapati boleh mengurangkan masa dan kekuatan senggugut yang dialami.
Kesan ini dapat dilihat dalam satu kajian yang dijalankan terhadap 33 orang wanita yang menjalani diet vegetarian rendah lemak. Kesan ini dipercayai disumbang oleh faktor pemakanan dan aktiviti hormon estrogen. [6]
Rumusan
Senggugut atau period pain adalah perkara biasa yang akan dialami oleh setiap wanita. Namun, kesakitan yang melampau sehinggakan mengganggu akitviti harian dan kesejahteraan hidup harus diatasi.
Cara menghilangkan senggugut yang boleh dicuba adalah seperti ubat anti keradangan bukan steroid, pad atau tuala panas, urutan, suplemen vitamin B1 dan minyak ikan serta diet vegetarian adalah beberapa pendekatan yang baik untuk mengurangkan kesakitan akibat senggugut.
Selain itu, gaya hidup yang aktif dengan aktiviti fizikal yang kerap juga berkesan dalam membantu mengurangkan komplikasi akibat senggugut.
Rujukan
- Marjoribanks, J. et al. (2015). Nonsteroidal anti-inflammatory drugs for dysmenorrhoea. The Cochrane database of systematic reviews.
- Navvabi Rigi, S. et al. (2012). Comparing the analgesic effect of heat patch containing iron chip and ibuprofen for primary dysmenorrhea: a randomized controlled trial. BMC Women’s Health.
- Adib Rad, H. et al. (2018). Effect of Ginger and Novafen on menstrual pain: A cross-over trial. Taiwanese journal of obstetrics & gynecology.
- Ozgoli, G. et al. (2009). Comparison of effects of ginger, mefenamic acid, and ibuprofen on pain in women with primary dysmenorrhea. Journal of alternative and complementary medicine.
- Hosseinlou, A. et al. (2014). The effects of fish oil capsules and vitamin B1 tablets on duration and severity of dysmenorrhea in students of high school in Urmia-Iran. Global journal of health science.
- Barnard, N. D. et al. (2000). Diet and sex-hormone binding globulin, dysmenorrhea, and premenstrual symptoms. Obstetrics and gynecology.