Kekurangan vitamin D bermakna anda tidak mempunyai vitamin D yang mencukupi dalam badan anda. Bagaimana untuk mengetahui bahawa anda kekurangan vitamin D? Mujurlah terdapat tanda-tanda yang menunjukkan bahawa anda kekurangan vitamin D.
Vitamin D adalah unik kerana ia sebenarnya dihasilkan oleh kulit menggunakan cahaya matahari. Individu berkulit cerah dan mereka yang lebih muda menukar cahaya matahari kepada vitamin D jauh lebih baik daripada mereka yang berkulit gelap dan berumur lebih dari 50 tahun.
Walau bagaimanapun, gaya hidup masa kini yang kurang terdedah kepada cahaya matahari menjadikan seseorang itu berisiko untuk mengalami kekurangan vitamin D. Justeru itu, artikel ini menyenaraikan beberapa tanda amaran yang menunjukkan anda kekurangan vitamin D.
Berikut adalah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa anda kekurangan vitamin D:
1. Tekanan Darah Tinggi
Tekanan darah tinggi atau hipertensi adalah masalah kesihatan global dan merupakan faktor risiko yang utama kepada penyakit kardiovaskular.
Kekurangan vitamin D adalah berkait rapat dengan tekanan darah tinggi dan pembentukan hipertensi. Kajian susulan selama 8 tahun mendapati paras vitamin D yang rendah mempunyai perkaitan dengan pembentukan hipertensi. [1]
Analisis menunjukkan pengambilan suplemen vitamin D boleh mengurangkan tekanan darah sistolik dan diastolik dalam kalangan mereka yang mengalami kekurangan vitamin D dan hipertensi. [2]
2. Paras Gula Darah Tinggi
Paras gula darah yang tinggi juga boleh menjadi tanda kepada kekurangan vitamin D. Hal ini demikian kerana kekurangan vitamin D menyebabkan seseorang itu untuk mudah mengalami rintangan insulin.
Hubungan antara kekurangan vitamin D dan rintangan insulin boleh terbentuk melalui keradangan. Ini disebabkan oleh kekurangan vitamin D dikaitkan dengan peningkatan penanda-penanda keradangan.
Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa pengambilan vitamin D boleh mengurangkan paras gula darah dalam kalangan pesakit diabetes dan juga meningkatkan kepekaan insulin. [3]
3. Sakit Pinggang
Seterusnya, sakit pinggang juga boleh menjadi petanda kepada kekurangan vitamin D.
Vitamin D membantu mengekalkan kesihatan tulang dengan meningkatkan penyerapan kalsium dalam badan anda.
Satu kajian yang melibatkan 98 orang dewasa yang mengalami sakit pinggang mendapati sakit tersebut mempunyai kaitan dengan paras vitamin D yang rendah. [4]
4. Mengantuk Pada Siang Hari
Mengantuk pada siang hari, letih semasa bangun pagi atau kelesuan adalah antara tanda-tanda kekurangan vitamin D.
Satu kajian yang melibatkan 480 orang golongan berumur mendapati kekurangan vitamin D mempunyai kaitan dengan gejala-gejala kelesuan. [5]
Satu kajian lain yang dijalankan terhadap kanak-kanak mendapati kekurangan vitamin D boleh menyebabkan pengurangan terhadap waktu tidur dan kecekapan tidur. [6]
5. Kemurungan
Kemurungan juga boleh menjadi tanda kepada kekurangan vitamin D terutamanya kepada golongan berusia. Hal ini mungkin disebabkan oleh peranan vitamin D yang diperlukan untuk menukar asid amino, triptofan kepada hormon serotonin.
Serotonin adalah hormon yang memainkan peranan dalam memori, pembelajaran dan kegembiraan seseorang.
13 kajian pencerapan mendapati paras vitamin D yang rendah dalam darah dan pengambilan vitamin D yang rendah mempunyai perkaitan dengan kemurungan dalam kalangan golongan berumur. [7]
6. Mudah untuk Dijangkiti Virus dan Bakteria
Vitamin D juga diperlukan oleh badan untuk menguatkan sistem imun (sistem pertahanan badan).
Kekurangan vitamin D boleh mendedahkan anda kepada jangkitan virus dan bakteria. Sekiranya anda sering sakit seperti demam dan selesema, kekurangan vitamin D mungkin salah satu faktor penyebabnya.
7. “Perut Buncit” (Kenaikan Saiz Pinggang)
Perut buncit atau kenaikan saiz pinggang bagi lelaki boleh menjadi salah satu tanda kekurangan vitamin D.
Satu kajian yang dijalankan selama 11 tahun mendapati paras vitamin D yang rendah menjadi penyumbang kepada kenaikan saiz pinggang bagi orang lelaki.
Kajian ini turut merumuskan bahawa kekurangan vitamin D mungkin menjadi faktor risiko kepada obesiti abdomen bagi lelaki tetapi tidak bagi wanita. Bagi lelaki juga, kekurangan vitamin D boleh meningkatkan risiko kepada kenaikan berat badan. [8]
Cara Mengatasi Kekurangan Vitamin D
Kekurangan vitamin D biasanya dirawat dengan suplemen. Jika ahli profesional kesihatan mendapati anda mengalami kekurangan vitamin D, mereka mungkin mengesyorkan rawatan berikut:
- Mengambil suplemen vitamin D. Bagi kekurangan vitamin D yang teruk, dos yang tinggi iaitu sehingga 50,000 IU mungkin diperlukan.
- Mengambil makanan yang tinggi dengan vitamin D seperti ikan berlemak, kuning telur, bijirin yang diperkaya, yogurt, hati lembu dan produk tenusu yang diperkaya dengan vitamin D.
Vitamin D3 boleh meningkatkan penyerapan kalsium. Oleh itu, pengambilan suplemen vitamin K2 bersama-sama suplemen vitamin D3 ini boleh membantu membawa kalsium yang banyak di dalam darah kepada tulang.
Selain itu, melakukan aktiviti di luar rumah dan terdedah kepada cahaya matahari pada waktu pagi boleh membantu badan anda menghasilkan vitamin D.
Rumusan
Kekurangan vitamin D adalah antara kekurangan vitamin D yang biasa berlaku. Walau bagaimanapun, tanda-tanda atau gejala kekurangan vitamin ini sering kali tidak diketahui dengan khusus.
Kekurangan vitamin D selalunya boleh diatasi dengan pengambilan suplemen vitamin D.
Rujukan
- Karadeniz, Y. et al. (2021). Vitamin D Deficiency Is a Potential Risk for Blood Pressure Elevation and the Development of Hypertension. Medicina.
- He, S., & Hao, X. (2019). The effect of vitamin D3 on blood pressure in people with vitamin D deficiency: A system review and meta-analysis. Medicine.
- Yousefi Rad, E. et al. (2014). The Effects of Vitamin D Supplementation on Glucose Control and Insulin Resistance in Patients with Diabetes Type 2: A Randomized Clinical Trial Study. Iranian journal of public health.
- Gokcek, E., & Kaydu, A. (2018). Assessment of Relationship between Vitamin D Deficiency and Pain Severity in Patients with Low Back Pain: A Retrospective, Observational Study. Anesthesia, essays and researches.
- Pennisi, M. et al. (2019). Decrease in Serum Vitamin D Level of Older Patients with Fatigue. Nutrients.
- Al-Shawwa, B. et al. (2020). Vitamin D and sleep in children. Journal of clinical sleep medicine.
- Okereke, O. I., & Singh, A. (2016). The role of vitamin D in the prevention of late-life depression. Journal of affective disorders.
- Jääskeläinen, T. et al. (2020). Does vitamin D status predict weight gain or increase in waist circumference? Results from the longitudinal Health 2000/2011 Survey. Public health nutrition.