“Rasa kosong”, mungkin anda pernah mengalaminya atau sedang mengalaminya. Tetapi, anda tidak pasti bagaimana ia berlaku. Adakah ia kesedihan? Bosan? Apa yang pastinya, perasaan itu nyata.
Perasaan seperti ini bukan perkara luar biasa. Anda mungkin memanggilnya “rasa kosong,” manakala orang lain mungkin memanggilnya sesuatu yang berbeza.
Biasanya, rasa kosong ini berlangsung selama beberapa hari dan kemudiannya hilang dengan sendirinya. Pada masa akan datang, rasa kosong ini mungkin kembali dan kali ini mungkin berlangsung lebih lama.

Kenapa Saya Berasa Kosong?
Rasa kosong kadangkala boleh menunjukkan rasa sunyi, kekeliruan tentang hidup dan matlamat hidup atau kurangnya motivasi untuk mengejar impian hidup.
Setiap orang mungkin pernah mengalami “rasa” ini sekali dalam seumur hidup mereka.
Terdapat juga faktor-faktor lain yang boleh menyumbang kepada rasa kosong tersebut.
Mana-mana peringkat kehidupan atau situasi yang mungkin memerlukan anda untuk merenung diri dan hidup anda mungkin juga membawa kepada perasaan kosong yang sementara.
Dalam konteks agama Islam, seseorang itu juga cenderung untuk berasa kosong apabila mereka tersasar daripada ajaran agama dan lupa akan Allah SWT.
Bagi kes-kes terpencil, rasa kosong boleh menjadi tanda kepada masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kecelaruan bipolar atau kecelaruan stres pascatrauma (PTSD).
Walau bagaimanapun, hanya ahli profesional kesihatan mental yang boleh mendiagnosis keadaan anda dengan tepat.
Apakah yang Menyebabkan Rasa Kosong?
Berasa kosong sepanjang masa bukanlah sesuatu perkara yang boleh diambil ringan.
Terdapat beberapa perkara atau keadaan yang boleh menyebabkan anda sentiasa berasa kosong. Antaranya adalah:
1. Mengabaikan Diri Sendiri
Tidak menjaga diri sendiri, mengabaikan keperluan diri atau tidak mendengar harapan atau kemahuan diri boleh membuatkan anda berasa kosong.
Tidak menjaga keperluan anda boleh membawa kepada kebimbangan, rasa bersalah, dan rasa malu. Gejala ini mungkin apa yang anda panggil “rasa kosong.”
Selain itu juga, menghabiskan masa di media sosial juga boleh mempengaruhi bagaimana anda rasa dan boleh menjadi punca anda berasa kosong.
Dalam banyak keadaan, akaun yang anda ikuti di media sosial mungkin menggambarkan gaya hidup yang tidak realistik atau kehidupan atau penampilan yang sempurna.
Ini boleh menyebabkan anda untuk membandingkan diri dengan mereka. Akhirnya ia menekan kehidupan anda.
2. Dihantui Pengalaman atau Kenangan Lalu
Kadangkala, anda mungkin bermurung hiba akibat pengalaman atau kenangan lalu seperti kehilangan orang tersayang, pengalaman pahit semasa kecil atau diabaikan oleh keluarga.
Apabila kita tidak bercakap secara terbuka atau meneroka emosi yang telah bersama kita untuk suatu masa yang lama, ia mungkin nyata dalam cara lain.
Jika tidak diuruskan dengan baik, ia boleh menyebabkan anda berasa kosong.
3. Meninggalkan Solat
Bagi umat Islam, salah satu punca yang menyebabkan rasa kosong adalah meninggalkan solat.
Solat 5 waktu sehari semalam adalah wajib bagi umat Islam. Selain bertindak sebagai ibadah, solat juga boleh menjadi terapi kepada jiwa yang kosong.
Maka, isilah kekosongan hati anda dengan ibadah terutamanya ibadah wajib seperti solat fardu.
4. Tidak Mempunyai Perhubungan
Mempunyai perhubungan yang baik dan rapat adalah salah satu aspek penting dalam kehidupan manusia.
Ini bermakna bahawa ini bukan tentang berapa banyak perhubungan yang anda miliki tetapi lebih kepada kualiti perhubungan ini.
Mempunyai pasangan yang boleh memberikan sokongan, menjadi seorang pendengar aktif, menjadi seorang peneman adalah penting.
Apabila ini tiada dalam hidup anda, ia boleh membawa kepada rasa kosong dan kesunyian.
Bagaimana Cara untuk Menghilangkan Rasa Kosong?
Adalah wajar untuk berasa bimbang jika anda menyedari perubahan dalam diri anda. Menyedari perasaan ini dan menanganinya adalah langkah pertama untuk berasa lebih baik.
Mencari jalan untuk menghentikan rasa kosong bergantung kepada apa yang menyebabkannya. Sekiranya anda sering berasa kosong, berjumpa dengan kaunselor atau ahli terapi boleh membantu.
Seorang ahli terapi boleh membantu anda mengatasi perasaan anda, mendedahkan punca rasa kosong dan menanganinya dengan cara yang paling sesuai untuk anda.
Di samping itu, anda boleh mencuba beberapa perkara berikut bagi menangani rasa kosong:
1. Jangan Bandingkan Diri Anda dengan Orang Lain
Tidak dapat dinafikan, dunia kini adalah dunia media sosial. Bahkan, ramai yang memilih menjadi pempengaruh.
Malangnya tidak semuanya asli. Ada yang hanya mereka-reka keadaan atau kehidupan mereka hanya untuk kelihatan sempurna.
Bagi anda yang berasa kosong akibat terpengaruh dengan akaun media sosial yang anda ikuti. Ambil langkah pertama dengan berhenti mengikuti akaun media sosial tersebut.
Seterusnya, jangan membandingkan diri anda dengan orang lain. Sebaliknya, hiduplah dengan kemampuan dan kelebihan yang ada pada diri anda.
Percayalah bahawa setiap orang mempunyai keistimewaan masing-masing.
2. Bermuhasabah
Bermuhasabah boleh membantu anda menyelami hati dan jiwa anda. Mungkin sebelum ini anda mengabaikan perasaan atau keperluan diri.
Maka, dengan bermuhasabah, anda dapat memahami keperluan diri dan membetulkan perkara yang salah.
Dengan cara ini, sedikit sebanyak ia dapat mengisi kekosongan yang anda rasai.
3. Berhubung dengan Orang Lain
Cara lain untuk menghilangkan rasa kosong yang anda alami adalah dengan berhubung dengan orang lain seperti ahli keluarga dan rakan-rakan.
Jika anda mempunyai ahli keluarga atau rakan yang boleh menjadi pendengar yang baik, meluahkan rasa yang terbuku di dada boleh membantu anda berasa lega.
4. Mendirikan Solat
Bagi umat Islam, mendirikan solat 5 waktu, tidak meninggalkan solat serta solat berjemaah boleh membantu mengubati kekosongan yang terbuku di hati anda.