Sakit perut sebelah kiri boleh menjadi simptom atau tanda kepada penyakit tertentu. Sakit perut sebelah kiri ini terbahagi kepada dua kawasan utama iaitu bahagian kiri atas atau kiri bawah. Artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai punca dan rawatan bagi sakit perut sebelah kiri bawah.
Perut bahagian kiri bawah adalah lokasi bagi organ bahagian akhir usus besar dan ovari kiri. Sakit di bahagian ini mungkin mempunyai perkaitan dengan organ ini atau sebaliknya.
Sakit yang ringan di kawasan ini selalunya tidak perlu dibimbangkan dan selalunya akan hilang dengan sendirinya dalam sehari atau dua hari.
Namun, sekiranya sakit ini turut melibatkan simptom lain seperti demam, bengkak di bahagian perut, najis berdarah, loya dan muntah-muntah, sila dapatkan rawatan segera.
Punca Sakit Perut Sebelah Kiri
Sakit perut sebelah kiri ini boleh disebabkan oleh beberapa punca bergantung kepada simptom-simptom lain yang mungkin turut berlaku. Antaranya adalah:
1. Sembelit
Sembelit berlaku apabila pembuangan air besar adalah lebih kurang daripada biasa atau najis menjadi keras dan sukar untuk dikeluarkan.
Simptom lain yang mungkin terjadi adalah:
- Kekejangan
- Kembung perut
2. Penyakit Crohn
Penyakit Crohn ialah penyakit yang menyebabkan keradangan pada saluran usus. Penyakit ini boleh menyebabkan ulser (luka) pada usus kecil dan usus besar.
Penyakit ini hampir sama dengan keradangan kronik yang dikenali sebagai kolitis ulseratif.
Simptom-simptom bagi penyakit ini ialah:
- Sakit perut di bahagian kiri atau tengah
- Cirit-birit
- Muntah-muntah
- Demam
- Pengurangan berat badan
- Cirit-birit berdarah
3. Divertikulitis
Divertikulitis ialah keradangan divertikulum, terutama keradangan yang berkaitan dengan divertikulum usus besar yang mungkin berliang dan membentuk nanah.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan keradangan ini dan salah satunya adalah pemakanan yang tinggi lemak dan daging merah tetapi kurang dengan serat.
Antara simptom-simptom lain divertikulitis adalah:
- Demam
- Loya
- Muntah
- Rasa seperti kembung
- Rasa tegang di perut
4. Hernia inguinal
Hernia atau penyakit angin pasang adalah tonjolan lebihan tisu badan ke permukaan kulit melalui rongga atau liang.
Hernia inguinal pula merujuk kepada tonjolan tisu badan atau sebahagian daripada usus melalui bahagian dinding lemah otot perut (abdomen). Penyakit ini turut boleh menyebabkan sakit perut disebelah diri bawah.
Simptom-simptom lain yang boleh terjadi termasuklah:
- Benjolan berdekatan pangkal peha
- Sakit di bahagian pangkal peha terutamanya ketika membongkok, batuk atau mengangkat barang
- Rasa lemah atau tekanan pada pangkal peha
- Rasa sakit dan perit di benjolan
Hernia inguinal pada asalnya tidaklah berbahaya. Namun, jika ia tidak sembuh dengan sendirinya, ia boleh membahayakan nyawa.
5. Batu karang
Batu karang kebiasaannya akan menyebabkan masalah apabila ia mula bergerak dalam buah pinggang atau di saluran ureter (saluran yang menghubungkan pundi kencing dengan buah pinggang).
Batu karang ini akan menyebabkan sakit yang teruk di bahagian kiri perut, kanan atau kedua-dua bahagian atau bahagian pelvis.
Batu karang turut menyebabkan simptom-simptom seperti berikut:
- Sakit ketika membuang air kecil (kencing)
- Air kencing berubah warna menjadi merah, merah jambu, coklat, keruh atau berbau
- Loya
- Muntah-muntah
- Demam atau mengigil
6. Kehamilan ektopia
Kehamilan ektopia ialah kehamilan di luar rahim (uterus) seperti di tiub falopian atau dalam rongga abdomen.
Selain daripada sakit di bahagian perut, simptom lain yang berkaitan kehamilan ektopia ini adalah:
- Tidak datang haid
- Pendarahan vagina
- Keluar lelehan berair
- Tidak selesa semasa membuang air kecil atau air besar
- Sakit di bahagian bahu
7. Sista ovari
Sista ovari ialah struktur seperti kantung yang tertutup yang mengandungi cecair atau bahan separa pepejal dalam ovari.
Kebanyakan sista ovari berlaku dan sembuh dengan sendirinya tanpa apa-apa simptom. Namun apabila sista ini membesar,pecah, berdarah, membesar dengan pantas atau terkilas, ia akan menyebabkan simptom seperti sakit pada bahagian perut dan pelvis.
Simptom-simptom lain yang boleh berlaku termasuklah:
- Mudah kenyang
- Sakit pinggang
- Ketakcernaan
- Kencing tidak lawas
- Sakit ketika hubungan intim
Bila perlu Berjumpa Doktor?
Sekiranya sakit perut ini berpanjangan sehingga beberapa hari dan anda bimbang mengenainya. Langkah terbaik ialah segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di hospital atau klinik terdekat.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2019). Inguinal hernia. MayoClinic
- WebMD. (2019). Understanding Diverticulitis-Causes and Treatment.
- Medicinenet. Ovarian Cysts: Symptoms, Causes, Types and Treatment.
- Medicinenet. Kidney Stone (nephrolithiasis).
- Medicinenet. Crohn’s Disease Early Symptoms, Signs, Causes, Treatment, and Life Expectancy.