Apa itu Penyakit Tidur?
Penyakit tidur adalah sekumpulan keadaan yang menjejaskan keupayaan untuk tidur dengan baik secara tetap.
Penyakit tidur boleh menjejaskan kesihatan, keselamatan dan kualiti hidup anda. Sama ada ia disebabkan oleh masalah kesihatan atau terlalu banyak tekanan, penyakit tidur menjadi semakin biasa pada masa kini.
Semua orang boleh mengalami masalah tidur dari masa ke masa. Namun, anda mungkin mempunyai penyakit tidur jika:
- Anda kerap mengalami kesukaran untuk tidur.
- Anda sering penat pada siang hari walapun anda tidur sekurang-kurangnya 7 jam pada malam sebelumnya.
- Keupayaan anda berkurangan atau terjejas untuk melakukan aktiviti biasa pada siang hari.
Bergantung pada jenis penyakit tidur, anda mungkin mengalami kesukaran untuk tidur dan mungkin berasa sangat letih sepanjang hari.
Kekurangan tidur boleh memberi kesan negatif kepada tenaga, mood, tumpuan dan kesihatan keseluruhan.
Dalam sesetengah kes, penyakit tidur boleh menjadi gejala kepada keadaan kesihatan atau kesihatan mental yang lain. Masalah tidur ini akhirnya boleh hilang sebaik sahaja puncanya dirawat.
Jenis-jenis Penyakit Tidur
Terdapat pelbagai jenis penyakit tidur. Antara yang paling banyak berlaku adalah:
1. Insomnia
Insomnia merujuk kepada ketidakupayaan untuk tidur atau terus tidur. Ia boleh disebabkan oleh lamban jet, tekanan dan kebimbangan, hormon, atau masalah penghadaman.
Ia juga mungkin merupakan gejala bagi masalah kesihatan lain.
Insomnia boleh menjadi masalah untuk kesihatan dan kualiti hidup. Ia berpotensi menyebabkan:
- Kesukaran untuk memberikan tumpuan
- Penambahan berat badan
- Kemurungan
- Iritasi
- Prestasi kerja terjejas
2. Apnea Tidur
Apnea tidur dicirikan oleh jeda dalam pernafasan semasa tidur. Ini adalah keadaan perubatan yang serius yang menyebabkan badan mengambil kurang oksigen.
Ia juga boleh menyebabkan anda terjaga pada waktu malam.
3. Sindrom Kaki Resah
Sindrom kaki resah adalah keperluan untuk menggerakkan kaki. Dorongan ini kadangkala disertai dengan rasa semut-semut di kaki.
Walaupun gejala ini boleh berlaku pada waktu siang, ia paling banyak berlaku pada waktu malam.
4. Narkolepsi
Narkolepsi ialah keadaan yang dicirikan dengan kecenderungan yang tidak terkawal untuk tidur, atau keadaan yang dicirikan dengan episod tidur dari masa ke masa selama beberapa minit atau beberapa jam.
Gangguan ini juga boleh menyebabkan lumpuh tidur (sleep paralysis), yang mungkin menyebabkan anda secara fizikal tidak dapat bergerak sejurus selepas bangun dari tidur.
5. Parasomnia
Parasomnia adalah penyakit tidur yang menyebabkan pergerakan dan tingkah laku yang tidak normal semasa tidur. Ia termasuklah:
- Mengigau
- Berjalan semasa tidur
- Mimpi ngeri
- Kencing malam
- Mengerang
- Pengertakan gigi
Gejala-gejala atau Tanda
Gejala-gejala berbeza bergantung pada keparahan dan jenis penyakit tidur. Gejala-gejala ini juga mungkin berbeza-beza apabila penyakit tidur adalah akibat daripada masalah kesihatan lain.
Walau bagaimanapun, secara umumnya, penyakit tidur boleh menyebabkan gejala-gejala atau tanda seperti berikut:
- Sukar untuk tidur atau kekal tidur
- Kelesuan pada siang hari
- Desakan yang kuat untuk tidur pada siang hari
- Corak pernafasan yang luar biasa
- Iritasai atau keresahan
- Kemurungan
- Penambahan berat badan
- Kurang tumpuan
- Prestasi kerja dan sekolah terjejas
- Gerakan luar biasa semasa tidur
- Desakan untuk bergerak semasa tidur
Punca yang Menyebabkan Penyakit Tidur
Penyakit tidur boleh disebabkan oleh pelbagai faktor.
Walaupun punca mungkin berbeza, kesan semua penyakit tidur ialah kitaran semula jadi badan untuk tidur dan terjaga pada siang hari terganggu.
Antara faktor-faktor yang mungkin terlibat adalah:
- Kemurungan dan kecelaruan keresahan
- Asma
- Menghidap ulser
- Pengambilan alkohol
- Bekerja syif malam
- Genetik
- Ubat-ubatan
- Penuaan
Rawatan
Rawatan untuk penyakit tidur boleh berbeza-beza bergantung pada jenis dan puncanya. Walau bagaimanapun, ia biasanya melibatkan gabungan rawatan perubatan dan perubahan gaya hidup.
Rawatan Perubatan
Rawatan perubatan untuk penyakit atau gangguan ini adalah seperti berikut:
- Pil tidur
- Suplemen melatonin
- Ubat alahan atau selesema
- Ubat untuk masalah kesihatan sebenar yang dialami
- Alat pernafasan
- Pelindung gigi
Perubahan Gaya Hidup
Perubahan gaya hidup boleh meningkatkan kualiti tidur anda, terutamanya apabila ia dilakukan bersama-sama dengan rawatan perubatan.
Anda boleh mempertimbangkan untuk:
- Mengamalkan pemakanan sihat dengan mengurangkan pengambilan gula
- Mengurangkan tekanan dan keresahan melalui senaman
- Kurangkan minum air sebelum tidur
- Hadkan pengambilan kafein seperti kopi terutamanya pada waktu malam
- Berhenti merokok dan minum arak (alkohol)
- Amalkan jadual tidur yang tetap
- Makan hidangan rendah karbohidrat sebelum tidur
- Kekalkan berat badan yang sihat
Selain itu, tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari juga boleh meningkatkan kualiti tidur anda dengan ketara.
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2020). Common Sleep Disorders. Cleveland Clinic
- Roddick, J. & Cherney, K. (2020). Sleep Disorders. Healthline