Drama Start-Up ialah salah satu drama Korea yang banyak diperkatakan baru-baru ini. Drama ini baru sahaja menamatkan episod terakhirnya pada 6 Disember 2020 lepas. Apa kena mengena drama ini dengan usahawan? Adakah ia mempunyai pengajaran buat usahawan?
Secara ringkasnya, drama ini menceritakan kisah anak muda bernama Seo Dal-Mi yang bercita-cita ingin menjadi seorang usahawan. Mengalami liku-liku kehidupan dan percintaan sehingga berjaya menubuhkan sebuah syarikat teknologi yang besar.
Drama ini menerapkan beberapa elemen utama iaitu keusahawanan, percintaan, persahabatan dan kekeluargaan.

Okey, kita ketepikan elemen lain dan fokus kepada elemen keusahawanan dan apa pengajaran yang kita boleh ambil sebagai seorang usahawan atau bakal menjadi seorang usahawan.
1. Majoriti Usahawan Bermula Kecil
Biasanya usahawan bermula daripada kecil. Mempunyai pejabat kecil atau langsung tidak mempunyai pejabat.
Biasanya juga usahawan pemula mesti mengalami kekangan dari segi modal.
Seperti yang digambarkan dalam drama ini, Samsan Tech yang diasaskan oleh Nam Do-San (Nam Joo-Hyuk) ini hanyalah beroperasi di sebuah bilik usang di loteng sebuah bangunan.
Bukan setakat drama tetapi hakikatnya juga sama dalam dunia realiti di mana syarikat Google juga bermula dari sebuah garaj.
Oleh itu, jika anda bermula kecil tidak bermakna anda akan selamanya kecil. Masanya akan tiba apabila perniagaan atau syarikat anda akan berkembang menjadi lebih besar.
Teruskan, jangan berputus asa!
2. Perniagaan Memerlukan Ilmu
Perniagaan memerlukan ilmu. Tanpa ilmu mungkin sukar untuk anda berjaya dalam perniagaan anda.
Ilmu tidak semestinya hanya diperolehi melalui pendidikan formal. Tetapi ilmu juga boleh diperolehi melalui pengalaman, pemerhatian, pembacaan dan belajar daripada mereka yang telah berjaya.
Sebagai seorang usahawan, anda harus tahu apa yang anda lakukan. Sekiranya anda seorang usahawan yang menyediakan perkhidmatan, anda harus mempunyai ilmu mengenai perkhidmatan yang anda sediakan.
Jika anda menjual produk, anda harus mengetahui kelebihan dan kekurangan produk anda.
3. Jiwa Mesti Kental
Seorang usahawan mesti mempunyai jiwa yang kental. Anda mesti tahan untuk dikritik, ditegur akan kesilapan anda atau perkhidmatan dan produk anda dikritik. Anda harus mempunyai semangat yang kuat dan tidak mudah untuk berputus asa.
Jika dilihat kepada cerita Start-Up ini, abang kepada Kim Yong-San (Kim Do-Wan) dikritik teruk oleh Han Ji-Pyeong (Kim Sun-Ho) semasa perbentangan mengenai syarikatnya. Akibat tidak tahan atas kritikan tersebut, abangnya membunuh diri.
Adakalanya, dalam dunia keusahawanan ini ada perkara-perkara yang memerlukan ketahanan jiwa kita untuk menghadapinya.
Adalah normal sekiranya anda dikritik pada peringkat awal penubuhan perniagaan anda. Ambil dari sudut positif dan perbaiki kelemahan anda.
4. Impian atau Cita-cita Adalah Pendorong Anda
Setiap daripada kita mesti mempunyai impian atau cita-cita kita sendiri. Impian dan cita-cita ini akan menjadi pendorong untuk kita bangkit di saat kita berada dalam kesusahan, kebimbangan dan rasa ingin berputus asa.
Impian juga akan membantu kita membuat pilihan tatkala perlu memilih dua pilihan yang sukar.
5. Jadilah Seorang Ketua “CEO” yang Baik
Ketua yang baik akan dihormati dan disayangi oleh pekerja-pekerjanya. Walaupun kini anda mungkin tidak mempunyai pekerja, tetapi suatu hari nanti akan mempunyai pekerja.
Oleh itu, penting untuk menjadi seorang ketua yang disegani bukan ditakuti. Semua orang boleh menjadi “Bos” tetapi tidak semua orang boleh menjadi “Ketua”.
Sebagai seorang ketua juga anda harus mengambil tahu permasalahan yang berlaku dalam syarikat anda. Bukan hanya “goyang kaki” dalam bilik yang berhawa dingin sahaja!
6. Pentingnya Pekerja yang Jujur
Pekerja adalah sumber utama dalam sesebuah syarikat atau perniagaan. Sekiranya anda mempunyai pekerja yang jujur dan amanah, maka anda sangat beruntung!
Pekerja yang jujur dan amanah akan memastikan perniagaan anda berjalan dengan lancar.
Sebaliknya, pekerja yang tidak amanah, tidak jujur dan suka curi tulang boleh menyebabkan perniagaan anda gulung tikar.
Usahawan boleh mengambil pengajaran dalam drama ini apabila pengaturcara (programmer) syarikat mensabotaj syarikat mereka dengan memasukkan “ransomware” ke dalam program mereka.
Perbuatan khianat seperti ini boleh berlaku kepada mana-mana usahawan. Oleh itu, pilihlah pekerja anda dengan bijaksana.
7. Jangan Malu Untuk Bertanya
Jangan malu untuk bertanya mengenai apa yang kita kurang faham atau mahir kepada orang yang lebih mengetahui.
Dalam senario drama ini, kita boleh lihat bagaimana syarikat Samsan Tech berpecah apabila mereka tidak memahami kontrak pengambil alihan oleh syarikat 2STO.
Selalunya, kontrak atau perjanjian akan melibatkan terma-terma yang tersirat dan kadang-kalanya sukar untuk difahami oleh orang biasa.
Pengajaran buat usahawan adalah jangan malu bertanya jika anda tidak tahu mengenai sesuatu perkara.
8. Masalah itu Peluang
Pengajaran buat usahawan yang seterusnya ialah masalah orang lain mungkin boleh menjadi peluang untuk kita.
Masalah penglihatan yang dialami oleh nenek Seo Dal-Mi menjadi ilham buat Nam Do-San untuk mencipta perisian yang boleh membantu mereka yang buta untuk membaca atau melihat.
Usahawan harus bijak mencipta peluang daripada permasalahan atau rungutan orang lain.
9. Keputusan yang Tepat Pada Masa yang Tepat
Menjadi seorang usahawan dan ketua juga memerlukan anda membuat keputusan yang tepat pada masa yang tepat.
Anda harus bijak menilai kemampuan syarikat anda dan bilakah masa yang sesuai yang harus anda lakukan perubahan terhadap syarikat atau perniagaan anda.
Mesej ini kita dapat lihat semasa babak di mana Dal-Mi sebagai COO syarikat CheongMyeong ingin mencari pelabur untuk syarikat mereka terus berkembang setelah berjaya memenangi bidaan kereta tanpa pemandu.
10. Duit Boleh Memecah-belahkan
Kami simpan pengajaran yang paling besar di senarai terakhir.
Ya, duit boleh memecah-belahkan. Duit boleh menyebabkan pertalian adik-beradik terputus, pertalian persahabatan terputus dan boleh menyebabkan pergaduhan yang berpanjangan.
Apa kaitan dengan usahawan?
Banyak perniagaan bermula dengan lebih seorang individu. Ia melibatkan perkongsian antara dua orang atau lebih.
Masalah ini akan berlaku apabila perniagaan mula bertambah maju dan anda ingin beralih kepada sebuah syarikat dimana perlunya pengagihan saham syarikat.
Atau perpecahan berlaku apabila ada antara rakan kongsi yang mula menyalahgunakan kedudukan dan wang syarikat untuk kepentingan peribadi. Pada saat ini, setiap perhubungan dan persahabatan akan diuji.
Oleh hal yang demikian, setiap usahawan harus bersedia dan cuba sedaya upaya untuk mencegah daripada perkara ini terjadi kepada mereka.
Rumusan
Drama Korea berjudul Start-Up ini mempunyai sedikit sebanyak pengajaran berguna buat usahawan.
Menjadi seorang usahawan ini sememangnya menyeronokkan dan penuh cabaran. Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, anda harus sentiasa bersedia untuk segala apa kemungkinan yang bakal berlaku.
Timbalah ilmu sebanyak mungkin dan jangan terlalu mendongak sehingga lupa untuk tunduk.