Satu kajian makmal terkini menunjukkan bahawa penggunaan pemanis alkohol yang sangat popular iaitu eritritol (erythritol) mungkin memberi kesan negatif kepada sel‐salur darah kecil di otak.
Seterusnya, ia berpotensi melemahkan sistem pertahanan otak dan meningkatkan risiko strok atau angin ahmar.
Dalam kajian yang dijalankan oleh University of Colorado Boulder, sel‐sel manusia yang melapisi salur darah kecil di otak (microvascular endothelial cells) telah didedahkan kepada jumlah eritritol yang setara dengan satu hidangan minuman tanpa gula (~ 30 gram) selama 3 jam.
Hasil pemerhatian menunjukkan sel‐sel terdedah mengalami:
- Peningkatan penghasilan radikal bebas (reactive oxygen species) yang boleh merosakkan sel.
- Penurunan penghasilan nitrik oksida (NO) iaitu molekul yang membantu salur darah meregang dan melancarkan aliran darah.
- Peningkatan penghasilan endothelin-1, protein yang menyempitkan salur darah.
- Apabila diuji dengan enzim pembentuk darah beku, sel terdedah menghasilkan kurang “clot-buster” atau tissue plasminogen activator (t-PA) yang melarutkan penyumbatan sebelum ia boleh menyebabkan strok
Kombinasi ini bermakna salur darah otak mungkin menjadi kurang fleksibel, aliran darah menjadi terjejas dan sistem penguraian bekuan mungkin terganggu. Faktor-faktor ini meningkatkan risiko kepada strok.
Pemanis seperti eritritol sering digunakan dalam produk “tanpa gula” atau “rendah gula” termasuk minuman ringan tanpa gula, bar protein dan pencuci mulut rendah karbohidrat kerana ia memberi rasa manis tetapi hampir tidak menaikkan paras glukosa atau insulin.
Tetapi, kajian ini mencabar anggapan bahawa semua pemanis sebegini adalah “selamat tanpa had”.
Walaupun ia bukan kajian manusia secara langsung, ia memberikan bukti biologi tentang bagaimana penggunaan bahan ini boleh memberi kesan pada sistem vaskular otak.
Walaupun kajian ini berbentuk kajian makmal atau tabung uji, ia menyokong data epidemiologi sebelumnya yang mengaitkan aras tinggi eritritol dalam darah dengan risiko kejadian kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok.
Bagi pengguna yang kerap mengambil produk “tanpa gula atau karbohidrat rendah” yang mengandungi pemanis seperti eritritol, ini mungkin satu amaran untuk lebih berhati-hati.
Saranan untuk Pengguna
- Semak label – jika produk mengandungi eritritol atau “sugar alcohols” (gula alkohol), anggap penggunaan secara konsisten atau banyak mungkin memberi kesan yang belum sepenuhnya diketahui.
- Kurangkan tabiat bergantung kepada minuman ringan atau pencuci mulut “tanpa gula” sebagai pengganti manisan secara kerap.
- Fokus kepada gaya hidup menyeluruh untuk kesihatan otak dan jantung: pemakanan seimbang (buah, sayur, kekacang, bijirin penuh), senaman teratur, pengurusan tekanan, tidur cukup.
- Bagi individu dengan risiko kardiovaskular tinggi (seperti diabetes, hipertensi), berbincang dengan pakar kesihatan jika sering mengambil produk-produk manisan alternatif.
Kesimpulan
Walaupun pemanis seperti eritritol memberi kelebihan dari segi rendah kalori dan pengawalan gula darah, kajian terbaru ini menunjukkan bahawa ia mungkin membawa risiko tersembunyi terhadap kesihatan salur darah otak dan sistem vaskular secara umum.
Penemuan ini tidak bermaksud semua penggunaan akan membawa kepada strok, tetapi ia satu isyarat amaran agar “manisan tanpa gula” tidak dianggap sebagai pilihan bebas risiko.
Rujukan
- Chichger, H. (2025). A popular sweetener could be damaging your brain’s defences, says recent study. The Conversation.
- Berry, A. R. et al. (2025). The non-nutritive sweetener erythritol adversely affects brain microvascular endothelial cell function. Journal of applied physiology.





