KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menolak dakwaan bahawa vaksin kanak-kanak dan penggunaan paracetamol semasa hamil menjadi punca autisme.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah berulang kali menegaskan tiada bukti saintifik yang mengaitkan vaksin dengan autisme.
“Autisme merupakan spektrum penyakit gangguan perkembangan otak yang berterusan dan kekal, melibatkan hampir 62 juta orang di seluruh dunia.
Punca sebenar autisme masih belum difahami sepenuhnya, namun ia dipercayai berpunca daripada faktor biologi, genetik dan persekitaran, bukan vaksin,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau menambah, vaksin terbukti menyelamatkan sekurang-kurangnya 154 juta nyawa dalam tempoh 50 tahun lalu dan kini melindungi masyarakat daripada lebih 50 jenis penyakit berjangkit.
Paracetamol Masih Selamat Digunakan
Menyentuh mengenai paracetamol, Dr Mahathar menjelaskan WHO turut mengesahkan ubat itu selamat digunakan jika mengikut dos yang disarankan.
“Paracetamol sudah lama digunakan secara meluas termasuk wanita hamil. Berdasarkan garis panduan klinikal terkini, ia kekal antara pilihan paling selamat jika diambil pada dos terendah yang berkesan serta untuk tempoh sesingkat mungkin,” jelasnya.
Dakwaan Rawatan Autisme Dengan Folinic Acid
Mengulas dakwaan bahawa folinic acid (leucovorin) mampu merawat autisme, beliau berkata bukti saintifik masih terhad kepada kajian kecil dan tidak boleh dianggap sebagai rawatan standard.
Nasihat KKM
Dr Mahathar menegaskan, orang ramai tidak seharusnya mudah percaya kepada dakwaan tanpa asas saintifik kukuh.
Beliau juga menekankan komitmen KKM dalam memastikan semua ubat dan vaksin yang digunakan di Malaysia adalah selamat dan berkesan, serta menasihati ibu bapa supaya merujuk maklumat hanya daripada sumber rasmi. – Sinar Harian





