Madu ratu lebah atau lebih dikenali sebagai “royal jelly” sering digelar sebagai “superfood”, bahan semula jadi luar biasa yang dihasilkan oleh lebah pekerja dan hanya dimakan oleh ratu lebah.
Tapi apa sebenarnya yang menjadikan madu ratu lebah atau royal jelly begitu istimewa? Dan adakah manfaatnya benar-benar terbukti?
Artikel ini membentangkan khasiat madu ratu lebah berdasarkan sains dan pengalaman sebenar.
Apa Itu Madu Ratu Lebah?
Madu ratu lebah ialah cecair pekat berwarna putih yang dihasilkan oleh lebah jururawat (lebah pekerja betina muda).
Ia kaya dengan protein, lemak, vitamin dan gula. Ia bukan madu dan bukan juga propolis. Semua larva lebah (anak lebah) akan diberi madu ratu lebah (royal jelly) pada peringkat awal, tetapi hanya larva yang akan menjadi ratu diberi madu ratu lebah sepanjang hayatnya.
Inilah sebab mengapa ratu lebah membesar lebih besar dan hidup lebih lama berbanding lebah pekerja.
Perbezaan ini menimbulkan persoalan dalam kalangan saintis dan pengamal perubatan tradisional: adakah madu ratu lebah mampu memberikan kesan sama kepada manusia?
1. Kaya dengan Nutrien Penting
Madu ratu lebah mengandungi: [1]
- Protein: Termasuk protein khas dipanggil MRJP (major royal jelly proteins) yang menyediakan asid amino penting.
- Asid lemak: Terutama 10-HDA, yang mempunyai ciri antiradang dan antimikrob.
- Vitamin: Seperti vitamin A, B1, B2, B3, B5, B6, B9, B12, C, D dan E.
- Mineral: Seperti kalsium, kalium, fosforus, sulfur dan magnesium.
- Antioksidan: Yang membantu melindungi sel badan daripada kerosakan radikal bebas.
Gabungan nutrien ini menjadikan madu ratu lebah sebagai makanan tambahan yang padat dengan khasiat.
2. Meningkatkan Sistem Imun
Kajian menunjukkan madu ratu lebah boleh merangsang sistem imun. Ia boleh meningkatkan pengeluaran antibodi, mengaktifkan sel darah putih dan mengurangkan keradangan. [2, 3]
Sifat antimikrob dan antioksidannya membantu badan melawan jangkitan, terutama semasa tekanan atau penuaan.
3. Menjaga Kesihatan Kulit
Madu ratu lebah kerap digunakan dalam produk penjagaan kulit kerana ia membantu melembapkan kulit dan meningkatkan keanjalan.
Khasiat madu ratu lebah ini disumbang oleh antioksidannya melindungi kulit daripada penuaan, manakala sifat antiradangnya boleh membantu mengurangkan kemerahan dan iritasi.
Terdapat kajian yang menunjukkan madu ratu lebah meningkatkan pengeluaran kolagen dalam sel kulit manusia dan melindungi kulit manusia daripada sinaran UV-B. [4]
4. Meningkatkan Fungsi Otak
Beberapa kajian awal menunjukkan madu ratu lebah boleh membantu meningkatkan memori dan fungsi otak, terutama dalam kalangan warga emas. [5]
Dalam kajian ke atas haiwan, ia menunjukkan kesan positif terhadap fungsi kognitif dan memberi kesan kepada kimia otak pada model haiwan yang tua . [6]
Walaupun kajian terhadap manusia masih terhad, potensi madu ratu lebah untuk menyokong kesihatan otak kelihatan menarik.
5. Membantu Mengawal Paras Gula Dalam Darah
Beberapa kajian klinikal kecil menunjukkan madu ratu lebah mampu menurunkan paras gula darah puasa dan meningkatkan sensitiviti insulin dalam penghidap diabetes jenis 2.
Dalam satu ujian klinikal rawak, pesakit diabetes jenis 2 yang mengambil madu ratu lebah 1000 mg tiga kali sehari selama 8 minggu menunjukkan penurunan purata kadar gula darah puasa lebih besar berbanding placebo. [7]
Dalam kajian lain pada wanita dengan diabetes jenis 2, pengambilan madu ratu lebah setiap hari selama 8 minggu mengurangkan gula darah puasa serta HbA1c dan juga meningkatkan kadar insulin serum selepas rawatan, berbanding sebelum rawatan. [8]
Ia berkemungkinan disebabkan oleh kesan antioksidan dan antiradang yang mengurangkan rintangan insulin.
6. Meningkatkan Kesuburan dan Keseimbangan Hormon
Disebabkan ratu lebah hanya makan madu ratu lebah dan mampu membiak, ramai percaya ia berkait dengan kesuburan.
Kajian terhadap haiwan menunjukkan madu ratu lebah mungkin membantu mengatur hormon wanita, memperbaiki kualiti ovum dan fungsi ovari. [9]
Manakala, kajian terhadap lelaki pula menunjukkan pengambilan madu ratu lebah boleh meningkatkan hormon testosteron dan kualiti sperma bagi lelaki yang tidak subur. [10]
Namun, lebih banyak kajian besar diperlukan untuk mengesahkan khasiat madu ratu lebah ini.
7. Memberi Tenaga dan Mengurangkan Keletihan
Ramai pengguna madu ratu lebah atau royal jelly melaporkan peningkatan tenaga. Ini mungkin disebabkan oleh kandungan vitamin B dan asid amino yang membantu metabolisme dan penghasilan tenaga sel.
Dalam pesakit yang mengalami keletihan kronik atau keletihan akibat menopaus, madu ratu lebah didapati membantu meningkatkan tenaga dan mood. [11]
8. Berpotensi Memanjangkan Umur
Ratu lebah boleh hidup 20 kali lebih lama daripada lebah pekerja dan satu-satunya perbezaan ialah dietnya iaitu madu ratu lebah. Ini telah menimbulkan minat dalam kajian antipenuaan.
Dalam kajian terhadap haiwan, madu ratu lebah menunjukkan kesan memanjangkan hayat dan meningkatkan daya tahan terhadap tekanan. [12]
Namun, kesannya terhadap manusia masih belum dapat dipastikan.
9. Membantu Mengurangkan Gejala Menopaus
Beberapa kajian klinikal mendapati madu ratu lebah boleh membantu mengurangkan simptom-simptom berkaitan dengan menopaus seperti sakit belakang, sakit pinggang, keresahan dan keletihan. [11, 13]
Ini mungkin disebabkan oleh kandungan semula jadi yang menyerupai estrogen. Tidak seperti terapi hormon sintetik, madu ratu lebah dikatakan memberikan kesan seimbang tanpa kesan sampingan yang ketara.
10. Menyokong Kesihatan Jantung
Khasiat madu ratu lebah turut memberi kesan positif terhadap kesihatan kardiovaskular seperti:
- Menurunkan kolesterol LDL (kolesterol jahat)
- Meningkatkan kolesterol HDL (kolesterol baik)
- Mengurangkan tekanan darah
Terdapat kajian-kajian yang menunjukkan peserta yang mengambil madu ratu lebah selaa 8-12 minggu menunjukkan profil lipid yang lebih sihat. [14, 15]
Kesan Sampingan
Madu ratu lebah secara umumnya selamat diambil dalam dos sederhana.
Namun, ia boleh menyebabkan alahan, terutamanya kepada mereka yang sensitif terhadap produk lebah. Reaksi boleh jadi ringan seperti gatal atau serius seperti anafilaksis.
Kesan sampingan lain yang jarang berlaku termasuk sesak nafas dan ketidakselesaan perut.
Sentiasa rujuk kepada doktor sebelum mengambil suplemen baru, terutamanya jika anda hamil, menyusu atau sedang mengambil ubat tertentu.
Bentuk dan Dos Pengambilan
Madu ratu lebah boleh didapati dalam pelbagai bentuk:
- Royal jelly segar: Perlu disimpan dalam peti sejuk.
- Kapsul atau tablet: Mudah diambil, tetapi mungkin kurang mujarab.
- Serbuk kering: Lebih tahan lama dan lebih pekat.
- Krim atau serum: Untuk manfaat luaran pada kulit.
Dos biasa adalah antara 300 mg hingga 6,000 mg sehari, bergantung pada bentuk dan tujuan penggunaan.
Kesimpulan
Madu ratu lebah bukanlah penawar ajaib, tetapi ia juga bukan sekadar mitos. Daripada menyokong sistem imun, kesihatan kulit, otak, hingga keseimbangan hormon, khasiat madu ratu lebah menawarkan pelbagai manfaat yang disokong oleh kajian awal yang meyakinkan.
Ia bukan pengganti gaya hidup sihat, tetapi boleh menjadi pelengkap semula jadi yang membantu tubuh anda berfungsi dengan lebih baik terutamanya jika anda sering letih, tertekan atau mula menua.
Rujukan
- Collazo, N. et al. (2021). Health Promoting Properties of Bee Royal Jelly: Food of the Queens. Nutrients.
- Wang, W. et al. (2023). Effects of Major Royal Jelly Proteins on the Immune Response and Gut Microbiota Composition in Cyclophosphamide-Treated Mice. Nutrients.
- Tyas, A. E. C. et al. (2025). Royal Jelly: A multifunctional nutraceutical with immunomodulatory properties. Asian Journal of Food Research and Nutrition.
- Park, H. M. et al. (2011). Royal jelly protects against ultraviolet B-induced photoaging in human skin fibroblasts via enhancing collagen production. Journal of medicinal food.
- You, M. et al. (2019). Royal Jelly Alleviates Cognitive Deficits and β-Amyloid Accumulation in APP/PS1 Mouse Model Via Activation of the cAMP/PKA/CREB/BDNF Pathway and Inhibition of Neuronal Apoptosis. Frontiers in aging neuroscience.
- Pyrzanowska, J. et al. (2014). Long-term administration of Greek Royal Jelly improves spatial memory and influences the concentration of brain neurotransmitters in naturally aged Wistar male rats. Journal of ethnopharmacology.
- Khoshpey, B. et al. (2016). Effect of Royal Jelly Intake on Serum Glucose, Apolipoprotein A-I (ApoA-I), Apolipoprotein B (ApoB) and ApoB/ApoA-I Ratios in Patients with Type 2 Diabetes: A Randomized, Double-Blind Clinical Trial Study. Canadian journal of diabetes.
- Pourmoradian, S. et al. (2014). Effects of royal jelly supplementation on glycemic control and oxidative stress factors in type 2 diabetic female: a randomized clinical trial. Chinese journal of integrative medicine.
- Ghanbari, E. et al. (2018). Royal Jelly Promotes Ovarian Follicles Growth and Increases Steroid Hormones in Immature Rats. International journal of fertility & sterility.
- Peivandi, S. et al. (2022). Effect of Royal Jelly on Sperm Parameters and Testosterone Levels in Infertile Men. Journal of Mazandaran University of Medical Sciences.
- Sharif, S. N., & Darsareh, F. (2019). Effect of royal jelly on menopausal symptoms: A randomized placebo-controlled clinical trial. Complementary therapies in clinical practice.
- Inoue, S. et al. (2003). Royal Jelly prolongs the life span of C3H/HeJ mice: correlation with reduced DNA damage. Experimental gerontology.
- Asama, T. et al. (2018). Royal Jelly Supplementation Improves Menopausal Symptoms Such as Backache, Low Back Pain, and Anxiety in Postmenopausal Japanese Women. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Petelin, A. et al. (2019). Effects of Royal Jelly Administration on Lipid Profile, Satiety, Inflammation, and Antioxidant Capacity in Asymptomatic Overweight Adults. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Lambrinoudaki, I. et al. (2016). Greek-origin royal jelly improves the lipid profile of postmenopausal women. Gynecological endocrinology .





