Khasiat kacang pea menjadikan kacang ini sebagai biji yang istimewa. Kacang pea adalah biji yang berbentuk sfera yang diperolehi daripada lenggai yang dihasilkan oleh tumbuhan Pisum sativum.
Kacang pea dikategorikan sebagai legum sama seperti kacang soya, kacang ginjal, kacang kuda dan lain-lain lagi. Sesetengah orang mungkin menganggap kacang pea sebagai sayur tetapi sebenarnya tidak. Kacang pea ialah legum atau secara umumnya dalam istilah bahasa melayu adalah kekacang.
Terdapat beberapa jenis kacang pea seperti kacang pea hijau, kacang pea kuning, kacang pea mata hitam (black-eyed pea) dan kacang pea ungu. Tetapi, lazimnya kacang pea hijau adalah yang paling kerap dimakan.
Kacang pea dikatakan berasal dari Barat Daya Asia termasuklah negara Afghanistan, Pakistan, India dan seterusnya tersebar ke banyak wilayah lain.
Sebagai sumber makanan, kacang pea mempunyai khasiat-khasiat tertentu yang mempunyai manfaat kepada kesihatan tubuh badan mereka yang memakannya.
Artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai khasiat kacang pea berdasarkan sokongan kajian-kajian sains yang telah dijalankan.
1. Mengandungi Nutrien-nutrien Penting
Khasiat-khasiat kacang pea banyak disumbang oleh kandungan nutrien-nutrien dan sebatian bioaktif yang terkandung dalam kacang ini.
Bagi 100 gram kacang pea mentah terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Tenaga/Kalori: 81 kcal
- Protein: 5.4 gram
- Lemak: 0.4 gram
- Karbohidrat: 14.4 gram
- Serat: 5.7 gram
- Kalsium: 25 miligram
- Zat besi: 1.5 miligram
- Magnesium: 33 miligram
- Fosforus: 108 miligram
- Kalium: 244 miligram
- Zink: 1.2 miligram
- Tembaga: 0.18 miligram
- Mangan: 0.4 miligram
- Selenium: 1.8 mikrogram
- Vitamin C: 40 miligram
- Vitamin B3: 2.1 miligram
- Folat: 65 mikrogram
- Vitamin A: 38 mikrogram
- Vitamin E: 0.13 miligram
- Vitamin K: 24.8 mikrogram
Selain itu, kacang pea turut mengandungi vitamin B1, B2, B3, B5 dan B6 yang diperlukan oleh badan untuk menghasilkan tenaga, membaiki kerosakan DNA, kesihatan kulit dan memastikan sistem saraf berfungsi dengan baik.
2. Tinggi dengan Antioksidan
Kacang pea juga kaya dengan kandungan sebatian antioksidan. Antioksidan ialah sebatian yang berperanan untuk mencegah atau meneutralkan radikal bebas daripada merosakkan sel-sel badan.
Sekiranya radikal bebas ini tidak dibendung, ia boleh menyebabkan tekanan oksidatif atau tekanan pengoksidaan. Tekanan oksidatif ini banyak dikaitkan dengan penyakit kronik seperti penyakit jantung, kanser, diabetes dan lain-lain lagi.
Kacang pea turut mengandungi sebatian antioksidan seperti:
- beta-karotena
- alfa-karotena
- lutein
- zeaxantin
- vitamin E (gamma-tokoferol)
- vitamin C
- Kuersetin
- Luteolin
- Apigenin
- Proanthocyanadin
Aktiviti antioksidan bagi kacang pea berkait rapat dengan warna salutan biji kacang tersebut. Salutan biji kacang pea yang berwarna gelap mengandungi kuersetin, luteolin, apigenin dan proanthocyanadin. [2]
3. Baik untuk Kesihatan Mata
Kacang pea juga berkhasiat untuk mata kerana kandungan sebatian antioksidannya iaitu lutein dan zeaxantin.
Lutein dan zeaxantin ini boleh membantu melindungi mata daripada penyakit kronik seperti katarak dan degenerasi makular berkaitan usia.
Lutein dan zeaxantin ini bertindak sebagai penapis kepada cahaya biru yang berbahaya yang menyumbang kepada penyakit katarak dan degenerasi makular.
Bukti kajian menunjukkan lutein dan zeaxantin banyak tersebar di seluruh bahagian badan dan tertumpu di bahagian retina dan kanta mata. Kajian-kajian menyokong bahawa lutein dan zeaxantin berpotensi dalam mencegah dan merawat sesetengah penyakit mata seperti katarak, degenerasi makular berkaitan usia dan retinitis pigmentosa. [3]
4. Boleh Membantu Mengawal Gula Darah
Khasiat kacang pea yang seterusnya adalah membantu mengawal paras gula darah.
Kacang pea adalah makanan yang mempunyai indeks glisemik yang rendah. Ini bermakna pemakanan kacang ini tidak menyebabkan paras gula darah meningkat secara mendadak selepas pengambilan kacang ini.
Kajian mendapati penggunaan tepung yang dihasilkan daripada kacang pea kuning menunjukkan pengambilan makanan yang dihasilkan daripada tepung ini mengurangkan tindak balas gula darah selepas makan. Ini menunjukkan kacang pea mempunyai peranan dalam mengawal penyakit kencing manis. [4]
Dalam kajian lain yang membandingkan kacang pea kering dan ubi kentang mendapati sajian makanan yang mengandungi kacang pea melambatkan kenaikan paras gula darah dan paras insulin selepas makan berbanding sajian makanan yang mengandungi ubi kentang.[5]
Ini menunjukkan kacang pea adalah makanan yang sesuai bagi penghidap penyakit kencing manis.
5. Baik untuk Sistem Penghadaman
Kandungan serat yang tinggi dalam kacang pea juga turut menyumbang kepada khasiatnya. Serat yang tinggi ini baik untuk sistem penghadaman.
Kacang pea tinggi dengan kandungan serat tidak larut. Serat tidak larut ini boleh menjadi makanan kepada bakteria baik dalam usus dan mencegah bakteria jahat daripada terlebih banyak.
Selain itu, serat tidak larut ini akan membantu menambah berat terhadap najis dan membolehkan najis ini dibuang dengan lebih cepat.
Kajian melaporkan bahawa salutan biji kacang pea boleh melindungi lapisan mukus dan bakteria dalam usus daripada kerosakan atau gangguan akibat daripada diet tinggi lemak. [6]
6. Berpotensi Mencegah Kanser
Kacang pea juga turut berpotensi dalam mencegah kanser.
Khasiat ini dapat dilihat dalam satu kajian yang dijalankan terhadap lektin yang diekstrak daripada kacang pea yang menunjukkan ciri-ciri pencegahan pertumbuhan terhadap sel-sel kanser hati. [7]
Kajian lain turut melaporkan bahawa kacang pea yang berwarna gelap mengandungi sebatian fenolik yang tinggi serta turut menunjukkan kesan sitotoksik terhadap sel-sel kanser usus, kanser payudara, kanser paru-paru dan kanser darah. [8]
Sitotoksik merujuk kepada bahan atau sebatian yang boleh menyebabkan kerosakan atau kematian sel. Dalam konteks ini, sebatian fenolik daripada kacang pea boleh merosak atau membunuh sel-sel kanser tersebut.
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut terutamanya kajian klinikal masih diperlukan.
7. Berpotensi Mencegah Ulser Perut
Khasiat kacang pea turut didapati boleh membantu mencegah ulser perut.
Salah satu penyebab kepada ulser perut adalah bakteria Helicobacter pylori (H. pylori). Bakteria ini boleh memasuki badan dan tinggal di saluran usus manusia.
Selepas beberapa tahun bakteria ini boleh menyebabkan ulser pada pelapik perut atau bahagian atas usus kecil. Lebih membimbangkan, jangkitan ini boleh membawa kepada kanser perut.
Satu kajian melaporkan bahawa ekstrak tunas atau kecambah kacang pea pada hari ke-5 dan ke-8 mempunyai ciri-ciri antibakteria terhadap H.pylori. Ini menunjukkan potensi tunas kacang pea dalam mengawal bakteria ini. [9]
Rumusan
Kacang pea adalah salah satu sumber makanan berkhasiat yang mengandungi nutrien-nutrien penting serta kaya dengan antioksidan.
Kajian-kajian moden mendapati kacang pea turut berkhasiat dalam membantu mencegah penyakit berkaitan mata, membantu mengawal gula darah, memelihara kesihatan sistem penghadaman serta berpotensi mencegah kanser dan ulser perut.
Anda boleh memanfaatkan khasiat kacang pea ini dengan menjadikannya sebahagian daripada menu diet harian anda.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Dueñas, M. et al. (2004). Occurrence of phenolic compounds in the seed coat and the cotyledon of peas (Pisum sativum L.). Eur Food Res Technol.
- Ma, L., & Lin, X. M. (2010). Effects of lutein and zeaxanthin on aspects of eye health. Journal of the science of food and agriculture.
- Marinangeli, C. P. et al. (2009). Glycemic responses and sensory characteristics of whole yellow pea flour added to novel functional foods. Journal of food science.
- Schäfer, G. et al. (2003). Comparison of the effects of dried peas with those of potatoes in mixed meals on postprandial glucose and insulin concentrations in patients with type 2 diabetes. The American journal of clinical nutrition.
- Hashemi, Z. et al. (2017). Dietary Pea Fiber Supplementation Improves Glycemia and Induces Changes in the Composition of Gut Microbiota, Serum Short Chain Fatty Acid Profile and Expression of Mucins in Glucose Intolerant Rats. Nutrients.
- El-Aassar, M. R. et al. (2014). Microencapsulation of lectin anti-cancer agent and controlled release by alginate beads, biosafety approach. International journal of biological macromolecules.
- Stanisavljević, N. S. et al. (2016). Identification of Phenolic Compounds from Seed Coats of Differently Colored European Varieties of Pea (Pisum sativum L.) and Characterization of Their Antioxidant and In Vitro Anticancer Activities. Nutrition and cancer.
- HO, C.-Y. et al. (2006), INHIBITION OF HELICOBACTER PYLORI BY PHENOLIC EXTRACTS OF SPROUTED PEAS (PISUM SATIVUM L.). Journal of Food Biochemistry.