Apa itu Luteolin?
Luteolin adalah sebatian flavonoid yang boleh dijumpai dalam herba, sayur-sayuran, rempah dan bunga.
Flavonoid ialah sebahagian daripada kumpulan besar antioksidan yang dikenali sebagai polifenol.
Seperti apigenin, luteolin juga turut bertindak sebagai antioksidan dalam badan manusia. Antioksidan ialah sebatian yang boleh meneutralkan radikal bebas daripada merosakkan sel-sel badan yang sihat.
Jumlah radikal bebas yang melebihi antioksidan boleh menyebabkan keadaan yang dipanggil “tekanan oksidatif.”
Tekanan oksidatif memainkan peranan utama dalam pembentukan penyakit-penyakit kronik seperti gangguan neurodegeneratif, kanser, diabetes, penyakit kardiovaskular, artritis reumatoid, penuaan dan hipertensi.
Penyelidikan-penyelidikan beberapa dekad yang lalu mendapati luteolin mempunyai nilai-nilai perubatan yang mengagumkan seperti antioksidan, antikanser, antiradang dan perlindungan neuro.
Tumbuhan yang kaya dengan luteolin juga digunakan oleh perubatan tradisional China untuk merawat hipertensi (penyakit darah tinggi), penyakit keradangan dan kanser.
Antara sayur-sayuran, herba dan buah-buahan yang kaya dengan luteolin adalah lobak merah, kubis, saderi, epal dan teh.
Khasiat dan Kebaikan Luteolin untuk Kesihatan
Khasiat dan kebaikan luteolin mendapat perhatian komuniti saintifik untuk melihat potensi sebatian ini dengan lebih lagi.
Antara khasiat-khasiat luteolin yang dilaporkan dalam kajian-kajian saintifik adalah:
1. Bersifat Antiradang
Luteolin bersifat antiradang. Ini bermakna sebatian flavonoid ini boleh membantu mengurangkan keradangan.
Keradangan adalah sebahagian daripada mekanisme pertahanan badan. Ia adalah proses di mana sistem imun mengenali dan membuang rangsangan berbahaya dan asing dan memulakan proses penyembuhan. Keradangan boleh dikategorikan sebagai akut atau kronik.
Keradangan kronik juga dirujuk sebagai keradangan jangka panjang yang perlahan dan berpanjangan selama beberapa bulan hingga bertahun-tahun. Contohnya seperti kanser, artritis reumatoid, diabetes dan penyakit jantung.
Kesan antiradang luteolin dapat dilihat dalam kajian terhadap haiwan yang mendapati luteolin boleh menghalang keradangan dan mengurangkan kecederaan hati. [1]
2. Baik untuk Kesihatan Jantung
Penyakit kardiovaskular boleh berpunca daripada pelbagai faktor seperti gaya hidup tidak sihat, diet tidak seimbang dan tidak aktif.
Penyakit ini boleh dicegah dengan memakan makanan yang sihat dan menjalani gaya hidup yang aktif.
Luteolin membantu mengurangkan risiko serangan jantung kerana pengambilannya dalam makanan boleh membantu dalam mengurangkan penyakit kardiovaskular.
Satu kajian yang melibatkan serangan jantung terhadap haiwan, rawatan menggunakan sebatian luteolin didapati boleh mengurangkan kerosakan pada injap jantung dan menggurangkan keradangan. [2]
3. Baik untuk Kesihatan Kulit
Dalam tumbuhan, luteolin berperanan melindungi tumbuhan tersebut daripada sinaran UV dengan menyerap sebahagian sinaran UVA dan UVB.
Oleh itu, luteolin juga boleh mengurangkan kesan sinaran yang buruk pada kulit dengan bertindak sebagai barisan pertahanan pertama.
Kajian oleh pengkaji dari University of Freiburg, Jerman mendapati luteolin boleh mengawal proses keradangan pada kulit dan berpotensi menyekat tanda-tanda penyakit kulit seperti psoriasis, dermatitis, kanser kulit dan penuaan kulit. [3]
4. Boleh Membantu Merawat Penyakit Alzheimer
Penyakit Alzheimer adalah antara penyebab utama kehilangan ingatan dalam kalangan penduduk dunia.
Ciri-ciri utama penyakit ini ialah pengumpulan plak amiloid dan serat yang berbelit-belit di dalam otak.
Luteolin didapati boleh membantu merawat atau mengurangkan simptom-simptom penyakit Alzheimer.
Satu kajian terkini menunjukkan bahawa luteolin bertindak sebagai agen yang efektif dalam merawat kemerosotan pembelajaran dan memori. [4]
5. Berpotensi Mencegah Kanser
Ciri-ciri antioksidan luteolin juga menjadikan sebatian ini berpotensi dalam membantu mencegah dan merawat kanser.
Ini dibuktikan dalam beberapa kajian yang menunjukkan luteolin boleh merencatkan perkembangan dan membunuh sel-sel kanser serta menyekat pembentukan saluran-saluran darah baru yang menjadi makanan kepada tumor. [5]
Meskipun begitu, kebanyakan kajian masih diperingkat kajian tabung uji dan kajian terhadap haiwan. Maka, kajian-kajian lanjutan termasuklah kajian klinikal masih diperlukan.
6. Boleh Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Diabetes atau penyakit kencing manis merupakan penyakit kronik yang menjejaskan jutaan penduduk di seluruh dunia.
Kajian mendapati luteolin boleh membantu mengawal paras gula darah melalui perencatan enzim alfa-glukosida iaitu enzim yang berperanan mencernakan karbohidrat kepada gula ringkas. [6]
Selain itu, terdapat kajian lain yang melaporkan bahawa luteolin turut merencatkan enzim dan protein yang terlibat dalam pembentukan diabetes (penyakit kencing manis). [7]
Sumber Makanan
Luteolin boleh didapati dalam banyak tumbuhan seperti sayur-sayuran, herba dan bunga. Antara sumber-sumber makanan yang kaya dengan kandungan antioksidan ini adalah:
- Parsli (parsley)
- Saderi
- Pudina
- Oregano
- Thyme
- Lobak merah
- Kubis
- Brokoli
- Lada benggala
- Daun bawang
- Buah epal
- Teh chamomile
- Jintan manis
- Buah pelaga
- Bunga kekwa
Keselamatan dan Kesan Sampingan
Makanan-makanan yang kaya dengan luteolin seperti buah-buahan, sayur-sayuran, rempah atau herba adalah selamat untuk dimakan.
Walau bagaimanapun, dalam bentuk suplemen atau makanan tambahan, ia mungkin memberikan kesan yang berbeza.
Terdapat beberapa kajian ketoksikan yang menunjukkan sekiranya luteolin diambil pada dos yang tinggi seperti 100 µg/ml boleh menyebabkan kerosakan DNA dan ketoksikan. [8, 9]
Rumusan
Luteolin adalah sebatian flavonoid yang bertindak sebagai antioksidan di dalam badan.
Selain mempunyai ciri-ciri antioksidan, kajian-kajian saintifik juga mendapati luteolin turut mempunyai khasiat-khasiat yang lain seperti bersifat antiradang, baik untuk kesihatan jantung, baik untuk kesihatan kulit dan lain-lain lagi.
Pengambilan luteolin dalam pemakanan harian seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan rempah-ratus adalah cara terbaik untuk mendapatkan sebatian antioksidan ini.
Rujukan
- Zhang, Z. T. et al. (2021). Luteolin activates Tregs to promote IL-10 expression and alleviating caspase-11-dependent pyroptosis in sepsis-induced lung injury. International immunopharmacology.
- Liu, D. et al. (2022). SHP-1/STAT3 Interaction Is Related to Luteolin-Induced Myocardial Ischemia Protection. Inflammation.
- Gendrisch, F. et al. (2021). Luteolin as a modulator of skin aging and inflammation. BioFactors.
- Kou, J. J. et al. (2022). Luteolin alleviates cognitive impairment in Alzheimer’s disease mouse model via inhibiting endoplasmic reticulum stress-dependent neuroinflammation. Acta pharmacologica Sinica.
- Lin, Y. et al. (2008). Luteolin, a flavonoid with potential for cancer prevention and therapy. Current cancer drug targets.
- Djeujo, F. M. et al. (2022). Magnolol and Luteolin Inhibition of α-Glucosidase Activity: Kinetics and Type of Interaction Detected by In Vitro and In Silico Studies. Pharmaceuticals
- Davella, R., & Mamidala, E. (2021). Luteolin: A Potential Multiple Targeted Drug Effectively Inhibits Diabetes Mellitus Protein Targets. Journal of Pharmaceutical Research International
- Cariddi, L. N. et al. (2015). Polyphenols as possible bioprotectors against cytotoxicity and DNA damage induced by ochratoxin A. Environmental toxicology and pharmacology.
- Fateh, A. H. et al. (2019). Prenatal developmental toxicity evaluation of Verbena officinalis during gestation period in female Sprague-Dawley rats. Chemico-biological interactions.