Khasiat kacang ginjal sebenarnya lebih daripada sekadar sumber makanan dan tenaga. “Tak kenal maka tak cinta” – ketahui khasiat kacang ginjal dengan lebih lanjut melalui artikel yang disediakan ini.
Kacang ginjal atau turut dipanggil kacang buah pinggang adalah sejenis legum yang berasal dari Amerika Tengah dan Mexico. Legum adalah buah atau biji tumbuhan daripada keluarga Fabaceae.
Kacang ginjal (Phaseolus vulgaris) boleh didapati dalam beberapa warna seperti warna merah, putih, hitam atau ungu dan corak seperti berbintik atau berbelang. Kacang ginjal ini selalunya boleh dibeli dalam bentuk dalam tin atau kering.
Kacang ginjal ini banyak digunakan dalam pelbagai masakan atau produk seperti produk bakeri, dicampur dalam salad atau dijadikan makanan dalam tin.
Kajian-kajian telah menunjukkan bahawa kacang ginjal turut mengandungi khasiat tertentu yang bermanfaat kepada kesihatan.
1. Mengandungi Zat-zat yang Diperlukan Badan
Kacang ginjal adalah salah satu sumber makanan yang mengandungi banyak zat-zat penting yang diperlukan oleh badan.
Bagi 100 gram kacang ginjal yang dimasak, direbus tanpa garam mengandungi zat-zat berikut: [1]
- Tenaga/Kalori: 127 kcal
- Protein: 8.7 gram
- Lemak: 0.5 gram
- Karbohidrat: 22.8 gram
- Serat: 7.4 gram
- Kalsium: 28 miligram
- Zat besi: 2.9 miligram
- Magnesium: 45 miligram
- Fosforus: 142 miligram
- Kalium: 403 miligram
- Zink: 1.1 miligram
- Tembaga: 0.2 miligram
- Mangan: 0.5 miligram
- Selenium: 1.2 mikrogram
- Vitamin C: 1.2 miligram
- Folat: 130 mikrogram
- Vitamin E: 0.03 miligram
- Vitamin K: 8.4 mikrogram
Selain itu, kacang ini turut mengandungi vitamin B1, B2, B3, B5 dan B6 yang mempunyai banyak fungsi dan peranan penting dalam membantu membaiki DNA, menyokong fungsi sistem saraf dan menghasilkan tenaga.
2. Sumber untuk Mendapatkan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh membantu mencegah atau meneutralkan radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel badan manusia.
Sekiranya jumlah radikal bebas melebihi antioksidan, ia akan menyebabkan tekanan pengoksidaan. Tekanan pengoksidaan ini banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser, penyakit Alzheimer, penyakit Parkinson dan lain-lain.
Selain vitamin C dan vitamin E, kacang ginjal turut mengandungi sebatian antioksidan seperti isoflavon dan antosianin.
Isoflavon adalah antioksidan yang dikategorikan sebagai fitoestrogen kerana kesamaannya dengan hormon wanita iaitu estrogen. [2]
Antosianin pula adalah antioksidan berwarna yang terdapat pada kulit kacang ginjal. Sebagai contoh, warna merah pada kulit kacang ginjal adalah disebabkan kandungan antosianin yang dikenali sebagai pelargonidin. [3]
Kacang ginjal turut mengandungi sebatian-sebatian antioksidan yang lain seperti kuersetin, tanin, prosianidin, asid sinapik, asid ferulik dan asid kumarik.
3. Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Khasiat kacang ginjal yang seterusnya pula adalah membantu mengawal paras gula darah. Paras gula darah yang tinggi boleh menyumbang kepada penyakit diabetes jenis 2.
Satu kajian yang melibatkan 17 orang pesakit diabetes mendapati bacaan gula dalam darah bagi kumpulan yang makan kacang (termasuk kacang ginjal) berserta nasi menunjukkan nilai yang lebih rendah berbanding kumpulan yang hanya makan nasi. [4]
Selain itu juga, kacang ginjal mempunyai indeks glisemik yang rendah. Ini bermakna pemakanan kacang ginjal hanya memberikan tindak balas yang minima terhadap paras gula darah selepas makan.
Namun, tindak balas glisemik ini sedikit tinggi sekiranya kacang ginjal yang dimakan itu adalah kacang ginjal dalam tin. [5]
Kacang ginjal merah juga dilaporkan mengandungi sebatian bioaktif yang menunjukkan kesan antidiabetes melalui pencegahan α-glucosidase iaitu enzim yang memecahkan glukosida (karbohidrat yang boleh membentuk gula). Sebatian bioaktif ini dikenali sebagai Triacylglycerol (TAG). [6]
4. Berpotensi Mencegah Kanser
Kacang ginjal juga berpotensi menjadi makanan yang boleh mencegah kanser.
Terdapat kajian-kajian yang melaporkan bahawa pemakanan yang tinggi dengan kacang seperti kacang ginjal boleh mengurangkan risiko pelbagai jenis kanser seperti kanser usus, kanser payudara dan kanser prostat.
Ulasan kajian yang diterbitkan pada 2013 melaporkan bahawa terdapat bukti-bukti baru yang menunjukkan pengambilan kacang seperti kacang ginjal mempunyai perkaitan dengan pengurangan risiko kanser dalam populasi manusia, mencegah pembentukan dan perkembangan kanser dalam ujian terhadap haiwan dan membunuh sel-sel kanser dalam ujian makmal. [7]
Kajian lain yang dijalankan terhadap haiwan turut mendapati pemakanan yang mengandungi kacang seperti kacang ginjal boleh mencegah pembentukan dan perkembangan kanser payudara. [8]
5. Membantu Menurunkan Berat Badan
Kacang ginjal juga turut berkhasiat dalam membantu mereka yang ingin menurunkan berat badan.
Beberapa kajian lapangan mengaitkan pengambilan kacang dengan pengurangan risiko untuk memiliki berat berlebihan atau obesiti. [9]
Kajian terhadap 30 orang dewasa yang obes yang sedang menjalani diet menghilangkan berat badan menunjukkan pemakanan kacang dan legum 4 kali seminggu boleh menyebabkan penurunan berat badan yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak. [10]
Terdapat juga kajian yang mendapati pengambilan ekstrak kacang ginjal putih boleh membantu menurunkan berat badan terhadap mereka yang obes. Kumpulan yang menerima ekstrak kacang ginjal ini mengalami penurunan secara purata kira-kira 0.45kg seminggu.
Selain itu, mereka turut mengalami penurunan terhadap lemak badan, BMI, saiz pinggang dan ukur lilit pinggul. [11]
6. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Kacang ginjal juga turut berkhasiat dalam membantu menurunkan paras kolesterol.
Khasiat ini dapat dilihat dalam satu analisis yang mendapati diet yang kaya dengan legum selain daripada kacang soya boleh menurunkan jumlah kolesterol dan kolesterol LDL (kolesterol jahat). [12]
Terdapat juga kajian semula dan analisis terhadap 26 kajian yang melaporkan bahawa diet yang mengandungi kekacang kira-kira 1 hidangan sehari boleh merendahkan paras kolesterol LDL dengan ketara. [13]
7. Baik untuk Kesihatan Usus
Kandungan serat dalam kacang ginjal juga turut menyumbang kepada kesihatan usus.
Bagi 100 gram kacang ginjal dalam tin, terdapat 4.7 gram serat tidak larut dan 1.6 gram serat larut.
Serat dan kanji dalam kacang ginjal ini boleh bertindak sebagai prebiotik iaitu makanan kepada bakteria baik dalam usus.
Khasiat kacang ginjal ini dapat disandarkan kepada satu kajian yang melibatkan 44 orang pesakit sindrom usus rengsa (IBS) mendapati prebiotik boleh merangsang bakteria baik (bifidobacteria) dan menambah baik simptom-simptom IBS dalam kalangan pesakit IBS. [14]
Peringatan!
Disebalik khasiatnya, terdapat beberapa perkara yang harus diketahui oleh kita iaitu kacang ginjal mentah mengandungi toksin yang tinggi.
Toksin yang dikenali sebagai phytohaemagglutinin ini banyak dalam kacang ginjal terutamanya kacang ginjal merah.
Keracunan kacang ginjal ini boleh menyebabkan cirit-birit, muntah-muntah atau mungkin perlu dimasukkan ke hospital.
Merendam dan memasak dengan betul kacang ginjal ini boleh menyingkirkan toksin ini dan menjadikannya selamat dimakan.
Rumusan
Kacang ginjal adalah salah satu daripada kultivar kacang Phaseolus vulgaris. Kacang ginjal boleh membekalkan nutrien atau zat penting yang diperlukan oleh badan kita.
Khasiat kacang ginjal dapat dilihat melalui peranannya dalam membantu mengawal paras gula darah, menurunkan paras kolesterol, membantu menurunkan berat badan, mencegah kanser dan meningkatkan kesihatan usus.
Meskipun begitu, pengguna harus tahu bahawa kacang ini mengandungi toksin dan toksin ini boleh disingkirkan melalui rendaman dan masakan.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Konar, N. et al. (2012). Determination of conjugated and free isoflavones in some legumes by LC–MS/MS. Journal of Food Composition and Analysis.
- Choung, M. G. et al. (2003). Anthocyanin profile of Korean cultivated kidney bean (Phaseolus vulgaris L.). Journal of agricultural and food chemistry.
- Thompson, S. V. et al. (2012). Bean and rice meals reduce postprandial glycemic response in adults with type 2 diabetes: a cross-over study. Nutrition journal.
- Wolever, T. M. et al. (1987). Effect of canning on the blood glucose response to beans in patients with type 2 diabetes. Human nutrition. Clinical nutrition.
- Sutedja, A. M. et al. (2020). Antidiabetic components from the hexane extract of red kidney beans (Phaseolus vulgaris L.): isolation and structure determination. Bioscience, biotechnology, and biochemistry.
- Campos-Vega, R. et al. (2013). Common Beans and Their Non-Digestible Fraction: Cancer Inhibitory Activity-An Overview. Foods.
- Thompson, M. D. et al. (2008). Mechanisms associated with dose-dependent inhibition of rat mammary carcinogenesis by dry bean (Phaseolus vulgaris, L.). The Journal of nutrition.
- Papanikolaou, Y., & Fulgoni, V. L., 3rd (2008). Bean consumption is associated with greater nutrient intake, reduced systolic blood pressure, lower body weight, and a smaller waist circumference in adults: results from the National Health and Nutrition Examination Survey 1999-2002. Journal of the American College of Nutrition.
- Hermsdorff, H. H. et al. (2011). A legume-based hypocaloric diet reduces proinflammatory status and improves metabolic features in overweight/obese subjects. European journal of nutrition.
- Wang, S. et al. (2020). Regular intake of white kidney beans extract (Phaseolus vulgaris L.) induces weight loss compared to placebo in obese human subjects. Food science & nutrition.
- Bazzano, L. A. et al. (2011). Non-soy legume consumption lowers cholesterol levels: a meta-analysis of randomized controlled trials. Nutrition, metabolism, and cardiovascular diseases.
- Ha, V. et al. (2014). Effect of dietary pulse intake on established therapeutic lipid targets for cardiovascular risk reduction: a systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials. CMAJ : Canadian Medical Association journal .
- Silk, D. B. et al. (2009). Clinical trial: the effects of a trans-galactooligosaccharide prebiotic on faecal microbiota and symptoms in irritable bowel syndrome. Alimentary pharmacology & therapeutics.