Berbasikal adalah salah satu senaman yang baik untuk kesihatan dan melindungi anda daripada pelbagai penyakit yang serius. Sekiranya anda tertanya-tanya apakah kelebihan berbasikal, artikel ini menyenaraikan 10 kelebihan berbasikal untuk kesihatan dan kecergasan.
Aktiviti fizikal yang kerap boleh membantu melindungi anda daripada penyakit-penyakit serius seperti obesiti, penyakit jantung, kanser, diabetes, penyakit mental dan artritis. Berbasikal adalah senaman yang sihat dan berimpak rendah yang boleh dilakukan oleh semua peringkat umur, termasuklah kanak-kanak dan orang dewasa.
Menunggang basikal ke tempat kerja atau kedai adalah salah satu cara efektif untuk menggabungkan senaman tetap dengan rutin harian anda. Dianggarkan satu bilion orang menunggang basikal setiap hari untuk pengangkutan, rekreasi dan sukan.

Berbasikal adalah aktiviti aerobik yang bermakna ia melibatkan jantung, paru-paru dan saluran darah. Anda akan bernafas lebih dalam, berpeluh dan mengalami peningkatan suhu badan, yang akan meningkatkan tahap kecergasan keseluruhan anda.
Berikut adalah kebaikan atau kelebihan berbasikal untuk kesihatan anda.
1. Berbasikal Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Berbasikal adalah salah satu cara yang baik untuk mengurangkan berat badan. Selain itu, ia turut membantu membina otot, meningkatkan kadar metabolisme dan membakar lemak badan.
Sekiranya anda ingin mengurangkan berat badan, senaman berbasikal mestilah digabungkan dengan pelan pemakanan yang sihat.
Senaman berbasikal juga adalah senaman yang memudahkan kerana anda boleh mengubah masa dan keamatannya mengikut keupayaan anda.
2. Berbasikal Boleh Menguatkan Otot Kaki
Kelebihan berbasikal yang kedua adalah senaman ini boleh membantu menguatkan otot kaki.
Berbasikal boleh menguatkan otot-otot bahagian bawah badan dan menguatkan otot kaki tanpa tekanan berlebihan pada sendi anda.
Secara khususnya, berbasikal boleh menguatkan kuadriseps, glutes, hamstring dan otot betis.
3. Berbasikal Boleh Mengurangkan Kolesterol
Selain itu juga, berbasikal boleh membantu mengurangkan paras kolesterol yang seterusnya boleh mengurangkan risiko kepada penyakit kardiovaskular seperti strok dan penyakit jantung.
Menurut satu ulasan kajian yang melibatkan 300 kajian, berbasikal didalam rumah mempunyai kesan positif terhadap kolesterol total. Senaman ini juga boleh meningkatkan paras kolesterol HDL (baik) dan menurunkan paras kolesterol LDL (jahat) dan paras trigliserida (lemak dalam darah). [1]
4. Berbasikal Boleh Meningkatkan Kesihatan Mental dan Kekuatan Otak
Berbasikal juga boleh membantu meningkatkan kesihatan mental dan kekuatan otak. Kelebihan-kelebihan ini disokong oleh beberapa kajian.
Satu kajian melaporkan bahawa berbasikal di luar rumah boleh meningkatkan fungsi kognitif dan kesejahteraan golongan berusia. [2]
Tambahan itu juga, senaman mengalakkan perembesan hormon endorfin dalam badan yang boleh membuatkan anda berasa lebih baik dan mengurangkan rasa stres.
5. Berbasikal Bagus untuk Pemula
Berbasikal juga boleh dikatakan aktiviti fizikal yang mudah dan sesuai untuk pemula.
Jika anda menghadapi masalah dengan basikal standard, basikal pegun adalah alternatif yang bagus. Sekiranya anda baru pulih daripada kecederaan atau penyakit, berbasikal pada intensiti yang rendah adalah pilihan yang baik untuk bersenam.
6. Berbasikal Boleh Membantu Mencegah Kanser
Berbasikal juga turut membantu mencegah kanser.
Kelebihan berbasikal ini dilaporkan dalam satu kajian populasi yang melibatkan 2,500 orang peserta. Kajian ini mendapati aktiviti fizikal ulang-alik seperti berbasikal dalam jangka masa yang panjang boleh mengurangkan risiko kepada kanser usus besar. [3]
Menurut kajian dari tahun 2019, jika anda menghidap kanser payudara, kekal aktif boleh membantu mengurangkan kesan sampingan rawatan kanser, termasuk keletihan dan meningkatkan kualiti hidup anda secara keseluruhan. [4]
7. Berbasikal Boleh Mengurangkan Risiko Penyakit Kardiovaskular
Penyakit kardiovaskular adalah kumpulan penyakit yang melibatkan jantung dan salur darah.
Satu analisis yang melibatkan 21 kajian melaporkan bahawa berbasikal dikaitkan dengan pengurangan risiko terhadap penyakit kardiovaskular. Ia juga turut dikaitkan dengan pengurangan kadar kematian. [5]
8. Berbasikal Adalah Senaman Berimpak Rendah
Berbasikal juga merupakan salah satu senaman berimpak rendah yang boleh dilakukan bagi mereka yang mempunyai berat badan berlebihan atau wanita hamil trimester pertama dan kedua.
Berbasikal adalah mudah untuk badan anda, memberikan pilihan untuk mereka yang mahukan senaman yang sengit tanpa menekankan sendi mereka.
Menunggang basikal adalah satu bentuk senaman yang ideal jika anda menghidap osteoartritis, kerana ia adalah senaman berimpak rendah yang memberikan sedikit tekanan pada sendi.
9. Berbasikal Adalah Mesra Alam
Berbasikal juga merupakan aktiviti yang mesra alam dan dapat mengurangkan pencemaran udara.
Satu kajian yang dijalankan di Eropah mendapati berulang-alik menggunakan basikal berbanding kereta dapat mengurangkan cap kaki karbon (carbon footprint) sebanyak 67%. [7]
10. Berbasikal Boleh Meningkatkan Keseimbangan dan Koordinasi
Berbasikal juga boleh membantu meningkatkan keseimbangan dan koordinasi anda.
Apabila anda menstabilkan badan dan memastikan basikal anda tegak, anda akan meningkatkan keseimbangan, koordinasi keseluruhan dan juga gaya jalan anda. [8]
Keseimbangan cenderung untuk merosot dengan peningkatan usia dan ketidakaktifan, jadi adalah penting untuk mengatasinya. Keseimbangan yang baik bermanfaat dalam mencegah jatuh dan patah tulang, seterusnya boleh membantu mengurangkan risiko kecederaan kepada anda.
Rujukan
- Chavarrias, M. et al. (2019). Health Benefits of Indoor Cycling: A Systematic Review. Medicina.
- Leyland, L. A. et al. (2019). The effect of cycling on cognitive function and well-being in older adults. PloS one.
- Hou, L. et al. (2004). Commuting physical activity and risk of colon cancer in Shanghai, China. American journal of epidemiology.
- Ligibel, J.A. et al. (2019). Weight Management and Physical Activity for Breast Cancer Prevention and Control. American Society of Clinical Oncology Educational Book.
- Nordengen, S. et al. (2019). Cycling is associated with a lower incidence of cardiovascular diseases and death: Part 1 – systematic review of cohort studies with meta-analysis. British journal of sports medicine.
- Brand, C. et al. (2021).The climate change mitigation effects of daily active travel in cities. Transportation Research Part D: Transport and Environment.
- Lee, C. W., & Cho, G. H. (2014). Effect of stationary cycle exercise on gait and balance of elderly women. Journal of physical therapy science.