Selenium ialah nutrien yang diperlukan oleh badan untuk kekal sihat. Terdapat banyak kebaikan selenium yang mungkin kurang diketahui umum. Oleh itu, artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai kebaikan-kebaikan yang boleh anda dapati daripada selenium.
Selenium ialah sejenis mineral surih, ia bermakna badan memerlukannya pada jumlah yang kecil. Ia boleh diperolehi daripada makanan-makanan semula jadi atau suplemen (makanan tambahan).
Selenium memainkan peranan penting terhadap fungsi kelenjar tiroid, reproduktif, penghasilan DNA, melindungi badan daripada radikal bebas dan jangkitan.
Kebanyakan selenium di dalam badan di simpan dalam tisu-tisu otot walaupun kelenjar tiroid mengandungi kepekatan selenium yang paling tinggi kerana peranannya terhadap fungsi tiroid.
Selenium boleh diperolehi daripada banyak makanan secara semula jadi. Bagi makanan berasaskan tumbuhan, kandungan selenium dalam makanan tersebut bergantung kepada tanah di mana ia ditanam. Kandungan tanah berbeza-beza bagi kawasan berbeza.
Manakala, kandungan selenium dalam produk haiwan pula bergantung kepada kandungan selenium dalam makanan yang haiwan tersebut makan.
Makanan laut, organ, dan kacang Brazil adalah antara makanan yang paling tinggi dengan selenium.
Orang dewasa di Malaysia disarankan untuk mendapatkan 23-32 mikrogram selenium sehari.
Berikut adalah 7 kebaikan selenium untuk kesihatan yang semuanya disokong oleh sains.
1. Bertindak Sebagai Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas yang berlebihan.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Salah satu cara untuk mengukur antioksidan atau sebatian aktif yang bermanfaat di dalam makanan adalah melalui pengukuran kapasiti antioksidan.
Suplemen selenium didapati boleh meningkatkan kapasiti antioksidan yang seterusnya boleh mengurangkan tekanan oksidatif. [1]
2. Berpotensi Mencegah dan Merawat Kanser
Selenium mempunyai peranan dalam penghasilan DNA, ini bermakna ia juga mungkin memainkan peranan dalam pencegahan kanser.
Satu analisis yang melibatkan 69 kajian melaporkan bahawa mempunyai paras selenium dalam darah yang tinggi dikaitkan dengan pengurangan risiko terhadap beberapa jenis kanser seperti kanser payudara, paru-paru, usus besar, dan prostat. [2]
Walau bagaimanapun, adalah penting untuk diberi perhatian bahawa kesan ini hanya dikaitkan dengan selenium yang diperoleh melalui makanan, bukan melalui suplemen.
3. Boleh Mencegah Kemerosotan Minda
Paras selenium dalam darah berkurangan apabila seseorang meningkat usia, dan saintis sedang mengkaji sama ada paras selenium yang rendah menyumbang kepada penurunan fungsi otak pada orang tua.
Terdapat kajian yang mendapati bahawa mereka yang mengalami penyakit Alzheimer mempunyai paras selenium dalam darah yang rendah. [3]
Manakala, satu kajian kecil pula mendapati pengambilan sebiji kacang Brazil sehari meningkatkan kefasihan lisan dan fungsi mental lain pada pesakit yang mengalami gangguan kognitif ringan. [4]
4. Baik untuk Kesihatan Jantung
Diet yang kaya dengan selenium juga boleh membantu mengekalkan kesihatan jantung.
Kandungan selenium yang rendah dalam darah dikaitkan dengan peningkatan risiko kepada penyakit jantung.
Satu analisis terhadap 25 kajian mendapati peningkatan sebanyak 50% paras selenium dalam darah dikaitkan dengan penurunan sebanyak 24% risiko penyakit jantung. [5]
Tambahan itu juga, selenium boleh membantu mengurangkan petanda-petanda keradangan di dalam badan. Keradangan adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada penyakit jantung.
Satu kajian semula melaporkan bahawa penghidap penyakit jantung yang mengambil suplemen selenium mengalami penurunan terhadap paras petanda keradangan serta meningkatkan paras antioksidan. [6]
5. Menyokong Kesihatan Tiroid
Kelenjar kecil yang dipanggil tiroid mempunyai peranan besar dalam memastikan badan anda berfungsi dengan baik.
Ia bertanggungjawab untuk menghasilkan dan melepaskan hormon, termasuk hormon yang mengawal metabolisme anda dan selenium membantu ia melakukan tugasnya.
Kekurangan selenium telah dikaitkan dengan penyakit tiroid seperti tiroiditis Hashimoto, sejenis hipotiroidisme di mana sistem imun menyerang kelenjar tiroid.
Satu kajian yang melibatkan lebih 6,000 orang mendapati bahawa tahap selenium dalam darah yang rendah dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit tiroid. [7]
6. Meningkatkan Sistem Imun
Selenium memainkan peranan penting dalam kesihatan sistem imun anda.
Antioksidan ini membantu mengurangkan tekanan oksidatif dalam badan anda, yang seterusnya mengurangkan keradangan dan meningkatkan imuniti.
Kajian telah menunjukkan bahawa peningkatan paras selenium dalam darah dikaitkan dengan peningkatan tindak balas imun.
Sebaliknya, kekurangan selenium didapati merosakkan fungsi sel imun dan boleh menyebabkan tindak balas imun yang lebih perlahan. [8]
Di samping itu, pengambilan suplemen selenium boleh membantu menguatkan sistem imun bagi penghidap influenza, penyakit tibi dan hepatitis C. [9]
7. Membantu Mengawal Asma
Kebaikan selenium juga termasuk dalam mengawal atau menguruskan asma kronik.
Asma telah dikaitkan dengan peningkatan tahap tekanan oksidatif dan keradangan dalam badan.
Disebabkan keupayaan selenium untuk mengurangkan keradangan, beberapa kajian mencadangkan bahawa mineral ini boleh membantu mengurangkan gejala yang berkaitan dengan asma.
Satu kajian menunjukkan bahawa pesakit asma dengan paras selenium darah yang lebih tinggi mempunyai fungsi paru-paru yang lebih baik daripada mereka yang mempunyai paras yang lebih rendah. [10]
Risiko dan Kesan Sampingan
Walaupun selenium mempunyai banyak kebaikan dan fungsi, tetapi pengambilan mineral ini masih perlu dihadkan.
Pengambilan selenium yang terlalu tinggi (termasuklah melalui makanan semula jadi atau suplemen) boleh menyebabkan kesan sampingan seperti:
- Loya
- Cirit-birit
- Nafas berbau
- Ruam kulit
- Kerengsaan
- Rasa berlogam di dalam mulut
- Rambut atau kuku rapuh
- Keguguran rambut
- Gigi berubah warna
- Masalah sistem saraf
Pengambilan selenium yang terlalu tinggi boleh menyebabkan masalah yang lebih serius seperti:
- Sukar ebrnafas
- Kegagalan buah pinggang
- Tremor
- Serangan jantung
- Kegagalan jantung
Oleh sebab itu, hadkan pengambilan selenium harian agar tidak melebihi 400 mikrogram sehari bagi orang dewasa.
Interaksi dengan Ubat-ubatan
Selenium juga boleh berinteraksi dengan ubat-ubatan seperti cisplatin iaitu ubat kemoterapi yang digunakan untuk merawat kanser.
Rumusan
Selenium adalah mineral yang penting untuk fungsi badan yang optimum.
Terdapat banyak kebaikan selenium yang boleh anda manfaatkan seperti mencegah atau merawat kanser, melindungi badan daripada tekanan oksidatif, mencegah kemerosotan minda dan lain-lain lagi.
Anda boleh mendapatkan jumlah selenium yang mencukupi melalui makanan-makanan yang kaya dengan selenium.
Rujukan
- Schnabel, R. et al. (2008). Selenium supplementation improves antioxidant capacity in vitro and in vivo in patients with coronary artery disease The SElenium Therapy in Coronary Artery disease Patients (SETCAP) Study. American heart journal.
- Cai, X. et al. (2016). Selenium Exposure and Cancer Risk: an Updated Meta-analysis and Meta-regression. Scientific reports.
- González-Domínguez, R. et al. (2014). Homeostasis of metals in the progression of Alzheimer’s disease. Biometals.
- Rita Cardoso, B. et al. (2016). Effects of Brazil nut consumption on selenium status and cognitive performance in older adults with mild cognitive impairment: a randomized controlled pilot trial. Eur J Nutr
- Flores-Mateo, G. et al. (2006). Selenium and coronary heart disease: a meta-analysis. The American journal of clinical nutrition.
- Ju, W. et al. (2017). The effect of selenium supplementation on coronary heart disease: A systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials. Journal of trace elements in medicine and biology.
- Wu, Q. et al. (2015). Low Population Selenium Status Is Associated With Increased Prevalence of Thyroid Disease. The Journal of clinical endocrinology and metabolism.
- Hoffmann, P. R., & Berry, M. J. (2008). The influence of selenium on immune responses. Molecular nutrition & food research.
- Steinbrenner, H. et al. (2015). Dietary selenium in adjuvant therapy of viral and bacterial infections. Advances in nutrition.
- Guo, C. H. et al. (2011). Role of certain trace minerals in oxidative stress, inflammation, CD4/CD8 lymphocyte ratios and lung function in asthmatic patients. Annals of clinical biochemistry.