Penyakit Alzheimer dipercayai disebabkan oleh beberapa faktor risiko. Para penyelidik percaya bahawa terdapat gabungan faktor yang meningkatkan risiko kepada penyakit Alzheimer.
Penyakit Alzheimer adalah keadaan yang mempengaruhi cara otak anda berfungsi. Pada peringkat awal, penghidap Alzheimer sering mengalami kehilangan ingatan atau lupa seperti:
- Lupa akan perbualan
- Lupa akan peristiwa
- Lupa akan nama ahli keluarga atau orang yang rapat atau nama tempat
- Mengulangi perbualan
Penyakit Alzheimer adalah penyakit progresif ini bermakna ia menjadi lebih teruk dari masa ke masa. Penghidap Alzheimer peringkat akhir sering memerlukan bantuan dengan kebanyakan aktiviti harian mereka seperti mandi, makan dan berpakaian.
Para penyelidik masih tidak pasti apakah punca sebenar yang menyebabkan penyakit Alzheimer ini. Tetepi, mereka mendapati terdapat beberapa faktor risiko yang memainkan peranan menyebabkan penyakit ini.
Berikut adalah beberapa faktor yang meningkatkan risiko untuk anda menghidap penyakit Alzheimer dan sesetengah daripadanya boleh dikawal dengan melakukan perubahan gaya hidup.
1. Usia atau Umur
Usia adalah salah satu faktor risiko kepada penyakit Alzheimer. Walaupun ia bukanlah sesuatu yang lumrah apabila anda meningkat usia.
Menurut persatuan Alzheimer, kira-kira 1 daripada 9 orang yang berusia 65 tahun ke atas dan 1 daripada 3 orang yang berusia 85 tahun ke atas menghidap Alzheimer.
Dianggarkan 131.5 juta orang di dunia akan menghidap penyakit Alzheimer pada tahun 2050 dengan majoritinya daripada negara-negara berpendapatan sederhana dan rendah. [1]
2. Jantina
Wanita adalah golongan yang lebih terdedah kepada penyakit Alzheimer. Malah, data di Amerika Syarikat menunjukkan hampir 60% penghidap Alzheimer adalah wanita.
Apabila mencapai umur 65 tahun, wanita mempunyai peluang sebanyak 20% untuk menghidap Alzheimer.
Salah satu sebab utama mengapa wanita mungkin mempunyai kadar Alzheimer yang lebih tinggi berbanding lelaki ialah wanita cenderung untuk hidup lebih lama, secara purata, dan usia yang lebih tua adalah faktor risiko yang ketara untuk penyakit ini.
3. Genetik
Penyelidik telah menemui dua kelas gen yang berkaitan dengan Alzheimer.
Gen berketentuan (deterministic genes) menjamin bahawa orang akan menghidap penyakit ini jika mereka hidup cukup lama.
Biasanya, orang yang mempunyai gen deterministik akan menghidap Alzheimer pada awal 40-an atau pertengahan 50-an.
Orang yang mempunyai gen berisiko mungkin atau mungkin tidak mengalami penyakit ini. Walau bagaimanapun, mereka lebih berkemungkinan untuk menghidap Alzheimer berbanding orang yang tanpa gen berisiko.
Gen yang paling kerap dikaitkan dengan Alzheimer dipanggil apolipoprotein E-e4 (APOE-e4).
4. Keturunan
Penyakit Alzheimer juga turut berlaku akibat keturunan.
Sekiranya anda mempunyai ibu bapa atau adik-beradik yang menghidap penyakit ini, anda juga berisiko untuk turut menghidapnya.
Risiko ini semakin tinggi sekiranya terdapat ramai ahli keluarga yang menghidap Alzheimer. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh gen, gaya hidup atau gabungannya.
5. Merokok
Merokok juga merupakan faktor yang meningkatkan risiko kepada penyakit Alzheimer.
Berdasarkan satu analisis yang melibatkan 37 kajian, seseorang yang merokok adalah 30% lebih cenderung untuk menghidap demensia dan 40% lebih cenderung untuk menghidap penyakit Alzheimer. [2]
6. Kecederaan Kepala
Individu yang pernah mengalami kecederaan kepala yang serius adalah berisiko tinggi untuk menghidap Alzheimer.
Risiko ini semakin meningkat sekiranya kecederaan itu melibatkan hilang kesedaran atau berlaku secara berulang-ulang seperti dalam sukan.
7. Tekanan Darah Tinggi
Menghidap tekanan darah tinggi atau hipertensi juga meningkatkan risiko untuk anda menghidap penyakit Alzheimer.
Terdapat kajian yang mendapati terdapat perkaitan antara tekanan darah tinggi (hipertensi) dengan penyakit Alzheimer iaitu melalui pengehadan aliran darah dalam otak. [3]
8. Keabnormalan Otak
Keabnormalan pada otak juga boleh menjadi faktor yang menyumbang kepada pembentukan penyakit Alzheimer.
Penyelidik mendapati kehadiran gumpalan kecil protein (turut dikenali sebagai plak) dan helaian protein berpintal atau kusut mungkin menjadi penyumbang kepada penyakit ini.
Keradangan, pengecutan tisu dan kehilangan sambungan antara sel-sel otak adalah petunjuk lain yang mungkin menunjukkan bahawa Alzheimer mungkin terbentuk.
9. Obesiti
Mempunyai berat badan berlebihan juga meningkatkan risiko kepada penyakit Alzheimer.
Obesiti atau mempunyai indeks jisim badan (BMI) melebihi 30 meningkatkan risiko anda kepada Alzheimer sebanyak tiga kali ganda. [4]
10. Tidak Aktif Secara Fizikal
Tidak aktif secara fizikal juga meningkatkan risiko anda kepada penyakit Alzheimer.
Aktiviti fizikal yang rendah juga turut dilaporkan mempunyai perkaitan dengan penyakit Alzheimer dan demensia. [5]
Beberapa jenis senaman berikut boleh membantu mencegah penyakit Alzheimer:
- Berjalan
- Berlari
- Berbasikal
- Berenang
- Menari
- Angkat berat
- Tekan tubi
- Bangkit tubi
11. Kekurangan Aktiviti Otak
Selain fizikal yang cergas, otak anda juga memerlukan senaman atau aktiviti bagi mengurangkan risiko terhadap penyakit Alzheimer.
Antara contoh aktiviti mental adalah seperti berikut:
- Menghadiri kelas
- Menjadi sukarelawan komuniti
- Bermain permainan seperti catur atau dam
- Membaca
- Bersosial dengan keluarga atau rakan-rakan
12. Pemakanan
Akhir sekali, pemakanan juga boleh menjadi faktor kepada pembentukan penyakit Alzheimer.
Justeru itu, adalah penting untuk mengamalkan pemakanan yang seimbang dan sihat.
Menurut persatuan Alzheimer, pendekatan seperti diet DASH dan diet Mediterranean boleh mengurangkan risiko kepada penyakit demensia dan jantung.
Rujukan
- Alzheimer’s Disease International. World Alzheimer Report 2015.
- Zhong, G. et al. (2015). Smoking is associated with an increased risk of dementia: a meta-analysis of prospective cohort studies with investigation of potential effect modifiers. PloS one.
- Eglit, G. M. L. et al. (2020). Hypertension and Alzheimer’s disease: indirect effects through circle of Willis atherosclerosis. Brain communications.
- Bendlin, B. B. et al. (2010). Midlife predictors of Alzheimer’s disease. Maturitas.
- De la Rosa, A. et al. (2020). Physical exercise in the prevention and treatment of Alzheimer’s disease. Journal of sport and health science.