Demam tifus atau dalam bahasa Inggerisnya “typhus fever” ialah kumpulan penyakit yang disebabkan oleh bakteria yang disebarkan kepada manusia melalui kutu, pinjal dan ciger (larva tungau).
Demam tifus boleh dibahagikan kepada 3 iaitu tifus belukar, tifus Murine dan tifus epidemik. Tifus belukar disebarkan oleh ciger, tifus Murine disebarkan oleh pinjal dan tifus epidemik disebarkan oleh kutu badan.
Gejala-gejala yang paling lazim berlaku kepada mereka yang dijangkiti adalah demam, sakit kepala dan kadang-kadang ruam.
Tifus Epidemik
Tifus epidemik ialah penyakit jarang berlaku yang disebabkan oleh bakteria Rickettsia prowazekii.
Tifus epidemik tersebar dalam kalangan manusia melalui kontak dengan kutu badan yang telah dijangkiti.
Sejarah menunjukkan tifus epidemik pernah mengorbankan berjuta-juta nyawa pada suatu ketika dahulu. Namun, kini ia dianggap penyakit jarang jumpa.
Walau bagaimanapun, jangkitan ini masih berlaku terutamanya di kawasan yang sangat padat dan kutu badan boleh bergerak dari satu individu ke individu yang lain.
Gejala-gejala dan Tanda Tifus Epidemik
Gejala-gejala tifus epidemik akan bermula dalam masa 2 minggu selepas seseorang itu dijangkiti kutu badan.
Antara gejala-gejala dan tanda yang boleh diperhatikan adalah:
- Demam dan menggigil
- Sakit kepala
- Sakit-sakit badan dan otot
- Ruam
- Nafas laju
- Batuk
- Loya
- Muntah
- Kekeliruan
Rawatan
Tifus epidemik boleh dirawat menggunakan ubat antibiotik doxycycline.
Ubat antibiotik ini boleh digunakan oleh sesiapa sahaja tanpa had umur. Antibiotik ini paling berkesan apabila ia diberikan sejurus gejala-gejala bermula.
Lazimnya, pesakit yang dirawat awal menggunakan antibiotik ini sembuh dengan cepat.
Tifus Murine
Tifus Murine ialah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Rickettsia typhi. Ia juga turut dikenali sebagai tifus bawaan pinjal (kutu penghisap darah).
Demam tifus jenis ini tersebar kepada manusia melalui kontak dengan pinjal yang telah dijangkiti. Lazimnya, pinjal tikus (Xenopsylla cheopsis) dan pinjal kucing (Ctenocephalides felis).
Pinjal dijangkiti apabila serangga ini menggigit haiwan yang dijangkiti, seperti tikus, atau kucing. Setelah dijangkiti, pinjal kekal dijangkiti sepanjang hayatnya.
Apabila pinjal yang dijangkiti menggigit seseorang atau haiwan, gigitan tersebut menyebabkan luka. Pinjal ini akan berak apabila ia makan, Najis tersebut mengandungi bakteria yang boleh menjangkiti luka gigitan atau luka lain.
Tambahan itu, najis ini juga boleh tersebar melalui udara (pernafasan) atau memasuki mata (menggosok mata).
Bakteria ini tidak merebak dari satu individu ke individu yang lain.
Tifus Murine banyak berlaku di kawasan beriklim tropika, subtropika dan sederhana di seluruh dunia, termasuk beberapa negara di Asia Tenggara.
Gejala-gejala dan Tanda Tifus Murine
Gejala-gejala biasanya bermula dalam beberapa hari hingga 2 minggu selepas seseorang itu dijangkiti.
Antara gejala-gejala dan tanda tifus Murine adalah:
- Demam dan menggigil
- Sakit-sakit badan dan otot
- Sakit perut
- Hilang selera makan
- Loya
- Muntah
- Batuk
- Ruam (bagi sesetengah orang)
Rawatan
Tifus Murine atau tifus bawaan pinjal ini boleh dirawat menggunakan antibiotik doxycycline. Doxycycline boleh digunakan pada semua peringkat umur, termasuk kanak-kanak kecil.
Antibiotik ini paling berkesan sekiranya diberikan sejurus selepas gejala-gejala bermula. Pesakit yang dirawat awal biasanya pulih dengan cepat.
Tifus Belukar
Tifus belukar ialah penyakit yang disebabkan oleh bakteria yang dikenali sebagai Orientia tsutsugamushi.
Demam tifus jenis ini merebak kepada manusia melalui gigitan ciger (larva tungau) atau tungau yang telah dijangkiti.
Kebanyakan tifus belukar berlaku di kawasan pedalaman Asia Tenggara, Indonesia, China, Jepun, India dan Utara Australia.
Gejala-gejala atau Tanda Tifus Belukar
Gejala-gejala tifus belukar biasanya bermula dalam masa 10 hari selepas seseorang itu digigit.
Gejala-gejala atau tanda yang mungkin berlaku adalah seperti berikut:
- Demam dan menggigil
- Sakit kepala
- Sakit-sakit badan dan otot
- Kekeliruan hingga koma
- Kawasan gelap seperti kudis di bahagian gigitan ciger (juga dikenali sebagai eskar)
- Ruam
- Pembesaran nodus limfa
Individu yang mempunyai penyakit yang teruk mungkin mengalami kegagalan organ dan perdarahan, yang boleh membawa maut jika tidak dirawat.
Rawatan
Tifus belukar boleh dirawat menggunakan antibiotik doxycycline. Mereka yang dirawat awal dengan antibiotik ini biasanya sembuh dengan cepat.
Punca yang Menyebabkan Demam Tifus
Bagi tifus epidemik dan Murine, serangga dan parasit menjadi agen penyebaran penyakit ini apabila ia menggigit anda dan meninggalkan najisnya di atas kulit anda.
Apabila anda menggaru gigitan tersebut, anda akan menyebarkan najis tersebut ke dalam luka gigitan atau luka lain pada permukaan kulit.
Akibatnya, bakteria tifus akan memasuki aliran darah anda.
Manakala, bagi tifus belukar pula, anda boleh dijangkiti hanya dengan gigitan ciger atau lava tungau yang telah dijangkiti bakteria tifus.
Rawatan Demam Tifus
Rawatan paling berkesan untuk demam tifus ialah antibiotik doxycycline.
Sekiranya anda mempunyai alahan terhadap antibiotik doxycycline, doktor mungkin memilih antibiotik yang lain seperti ciprofloxacin.
Rujukan
- Svoboda, E. (2022). Typhus. WebMD
- Centers for Disease Control and Prevention. (2020). Typhus fever. CDC.