Solat tahajjud ialah salah satu terapi jiwa buat mereka yang sentiasa keresahan, rasa bimbang yang tidak sudah dan tidak tenang dalam kehidupan mereka. Artikel ini menerangkan langkah demi langkah cara mengerjakan solat tahajjud.
Bumi mana tidak ditimpa hujan. Begitu jugalah kita. Tiada siapa yang akan terlepas daripada ujian dan cabaran dalam hidup mereka. Dalam konteks agama Islam, Islam menekankan penjagaan hubungan antara makhluk dan penciptanya.
Maka, solat adalah salah satu penghubung antara hamba dan Tuan iaitu Allah SWT.
Apabila menghadapi masalah, setiap daripada kita pasti akan mencari tempat untuk bergantung dan meluahkan perasaan. Oleh itu, solat adalah salah satu medium untuk kita berbuat demikian.
Manfaatkanlah waktu malam yang sunyi untuk kita meluahkan semua permasalahan kita, kebimbangan kita serta rasa sedih kita kepada Allah SWT kerana Dialah sebaik-baik Penolong.
Solat Tahajjud ialah solat atau sembahyang sunat yang didirikan apabila terjaga daripada tidur pada waktu malam walaupun tidur itu hanya sebentar. Solat ini boleh dilakukan selepas waktu Isyak sehingga sebelum masuk waktu Subuh.
Waktu Terbaik Solat Tahajjud
Sebaik-baik waktu untuk mengerjakan solat tahajjud ialah pada satu pertiga malam iaitu kira-kira jam 3.00 pagi.
Jumlah Rakaat Solat Tahajjud
Jumlah rakaat bagi solat ini tiada had. Boleh dilakukan sebanyak yang mampu. Tetapi dikerjakan sekurang-kurangnya sebanyak 2 rakaat dengan 1 salam.
Cara Mengerjakan Solat Tahajjud
1. Niat
Maksudnya: “Sahaja aku sembahyang sunat Tahajjud dua rakaat kerana Allah Taala.”
2. Bacaan Rakaat Pertama
Pada rakaat pertama hendaklah membaca surah al-Fatihah:
Kemudian, diikuti surah al-Kafirun:
Seterusnya, rukuk dan sujud seperti biasa.
3. Bacaan Rakaat Kedua
Pada rakaat kedua hendaklah membaca surah al-Fatihah;
Kemudian, dituruti dengan surah al-Ikhlas;
Seterusnya, rukuk, sujud dan tahiyat akhir serta salam. Setelah itu, beristighfar dan berzikir dan akhir sekali berdoa.
*Nota: Bacaan surah lain juga boleh dibaca selain surah al-Kafirun dan al-Ikhlas pada rakaat pertama dan kedua ini.
Doa Tahajjud
Maksudnya: “Ya Allah bagi-Mu segala pujian, Engkaulah Pencipta semua langit dan bumi serta segala yang terdapat di dalamnya. Bagi Engkau segala pujian,Engkaulah yang menerangi semua langit dan bumi dan orang-orang yang berada di dalamnya. bagi Engkau segala pujian, Engkaulah yang benar dan janji Engkau adalah benar, syurga dan neraka adalah benar, semua nabi Engkau adalah benar, Muhammad SAW adalah benar, dan hari kiamat adalah benar. Ya Allah kepada-Mulah aku serahkan diriku, aku percaya kepada Engkau, tempat aku berserah diri dan kepada Engkau aku kembali, dengan pertolongan Engkau aku menghadapi musuhku, kepada Engkau aku berhukum. Ya Allah ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu dan terkemudian,dosa yang tersembunyi dan yang nyata dan dosa yang hanya Engkau sahaja yang mengetahui. Engkaulah yang dahulu dan yang akhir, tiada tuhan kecuali Engkau dan tiada daya upaya kecuali dengan pertolongan Engkau.”
Kelebihan Solat Tahajjud
Solat Tahajjud adalah solat sunat yang digalakkan untuk diamalkan. Terdapat banyak khasiat atau kelebihan bagi mereka yang mengerjaan solat ini.
Antaranya adalah:
- Mendapat pengawasan Allah SWT dan menampakkan kesan-kesan ketaatan diwajahnya.
- Percakapannya mempunyai hikmah, benar dan bijaksana.
- Dikasihi oleh para ahli ibadah dan orang-orang mukmin.
- Wajahnya bersih bersinar dan bercahaya semasa dibangkitkan di padang mahsyar kelak.
- Dimudahkan hisab ke atasnya.
- Senang melalui Titian Siratul Mustaqim umpama kilat yang menyambar.
- Jauh daripada kebinasaan.
- Menerima anugerah catatan amalan dengan tangan kanan.
- Dimurahkan rezeki.
- Diberikan kesihatan yang baik.
- Dikeluarkan daripada kesusahan.
Di dalam Hadis Qudsi ada disebut;
Bahawasanya Allah Taala bermegah dengan hamba- hamba-Nya yg bangun di tengah malam kerana beribadat. Berfirman Allah di hadapan malaikat,
“Lihatlah hamba-hamba Ku itu, mereka telah bangun di tengah malam di waktu tiada seorang pun yg melihat mereka kecuali Aku. Wahai malaikat, saksikanlah bahawa Aku telah sediakan untuk mereka syurga, tempat tinggal kehormatanKu“.
Rasulullah SAW juga menggalakkan umatnya untuk bangun berqiamullail (beribadat pada malam hari) seperti mana sabda Baginda yang bermaksud:
Hendaklah kamu melakukan qiamullail, kerana qiamullail adalah kebiasaan orang-orang yang soleh sebelum kamu, kerana qiamulail mendekatkan diri kepada Allah, mencegah daripada dosa, menghapuskan kesalahan-kesalahan dan menghalau penyakit dari tubuh.
Riwayat at-Tarmizi dan al-Hakim.
Rumusan
Semoga panduan cara solat tahajjud ini dapat dimanfaatkan untuk mententeramkan jiwa kita. Solat sunat juga adalah salah satu terapi jiwa buat mereka yang menghadapi pelbagai ujian dan masalah dalam kehidupan mereka.
Usahlah berputus asa daripada rahmat Allah SWT.