Bawang putih bakar atau black garlic semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat di negara ini atas faktor khasiatnya. Tetapi, adakah semua orang tahu cara makan bawang putih bakar ini? Justeru itu, artikel ini akan memberikan panduan kepada anda tentang bagaimana cara makan bawang putih bakar tersebut.
Kajian-kajian terkini menunjukkan khasiat bawang putih bakar mempunyai banyak nilai perubatan dalam merawat pelbagai penyakit. Walaupun sesetengah kajian masih diperingkatkan kajian terhadap haiwan, kajian yang berterusan masih dijalankan untuk melihat kesan terapeutik bawang putih bakar.
Bagaimana Bawang Putih Bakar Dihasilkan?
Cara pengilangan atau pembuatan bawang putih bakar sedikit berbeza antara pembuat. Walau bagaimanapun, prinsip asasnya adalah bawang putih yang segar akan didedahkan kepada suhu dan kelembapan yang tinggi melebihi 10 hari.

Secara umumnya, bawang putih bakar disediakan pada suhu 40-90°C dan kelembapan antara 60-90%. Suhu dan tempoh pengeraman yang berbeza akan mempengaruhi kepekatan komponen aktif (sebatian aktif) di dalam bawang putih tersebut.
Salah satu contoh langkah penyediaan atau pembuatan bawang putih bakar adalah: [1]
- Langkah 1: Proses pemanasan bawang putih selama 2 hari pada suhu 90°C.
- Langkah 2: Proses pemanasan disambung selama 4 hari pada suhu 80°C.
- Langkah 3: Proses pemanasan diteruskan lagi selama 4 hari pada suhu 60°C.
- Langkah 4: Bawang putih ini terus dipanaskan selama 1 hari pada suhu 40°C.
Terdapat juga kaedah lain yang digunakan untuk menghasilkan bawang putih bakar ini. Contohnya adalah: [2]
- Langkah 1: Bawang putih segar dipanaskan pada suhu 90°C dan kelembapan 100% selama 34 jam.
- Langkah 2: Proses pemanasan diteruskan pada suhu 60°C dan kelembapan 60% selama 6 jam.
- Langkah 3: Proses pemanasan diteruskan pada suhu 75°C dan kelembapan 70% selama 48 jam.
- Langkah 4: Pemanasan diteruskan pada suhu 70°C dan kelembapan 60% selama 60 jam.
- Langkah 5: Seterusnya, bawang putih tersebut dipanaskan pada suhu 65°C dan kelembapan 50% selama 192 jam.
Cara Makan Bawang Putih Bakar atau Penggunaannya
Bawang putih bakar boleh dimakan mentah kerana rasanya sudah berubah jika hendak dibandingkan dengan bawang putih segar.
Bawang putih bakar mempunyai rasa yang manis dan tidak meninggalkan bau yang tidak enak di dalam mulut selepas memakannya.
Oleh sebab bawang putih bakar bukanlah ubat, maka tiada satu sukatan atau dos tertentu yang perlu diikuti untuk memakan bawang putih bakar tersebut.
Pengambilan yang dicadangkan adalah sebanyak 1-3 ulas bawang putih bakar sehari tetapi ia tetap bergantung kepada individu.
Bawang putih bakar dikatakan makanan yang boleh menambahkan tenaga. Oleh itu, waktu yang disarankan untuk memakan bawang putih bakar adalah pada waktu pagi atau sebelum anda bersenam.
Walau bagaimanapun, tiada halangan untuk memakan bawang putih bakar ini pada waktu malam.
Cara Lain untuk Makan Bawang Putih Bakar
Selain dimakan mentah, bawang putih bakar turut digunakan dalam pelbagai penyediaan makanan. Beberapa contoh penggunaan bawang putih bakar dalam makanan adalah seperti berikut:
- Hiasan atas: Bawang putih bakar boleh digunakan sebagai hiasan atas kepada piza, salad atau pasta.
- Perasa: Bawang putih bakar boleh dilenyekkan dan dicampur dengan mentega atau bahan-bahan lain untuk dijadikan perapan untuk stik. Bawang putih bakar ini juga boleh dilenyekkan dan dicampurkan bersama-sama keju atau keju krim untuk dijadikan pencicah.
- Kuah salad (salad dressing): Bawang putih bakar boleh dikisar bersama-sama minyak zaitun untuk dijadikan kuah salad.
- Sup: Bawang putih bakar juga boleh ditambah ke dalam sup.
Cara Penyimpanan
Bawang putih bakar boleh disimpan pada suhu bilik, di dalam peti sejuk atau penyejuk beku.
- Suhu bilik: Bawang putih bakar boleh disimpan di tempat yang kering dan jauh dari cahaya matahari. Biasanya ia boleh tahan selama 1-2 bulan pada suhu bilik.
- Peti sejuk: Anda boleh menyimpan bawang putih bakar di dalam bekas kedap udara dan dimasukkan ke dalam peti sejuk. Kaedah penyimpanan ini boleh mengekalkan kesegaran bawang putih bakar selama 6 bulan.
- Penyejuk beku: Bawang putih bakar juga boleh disimpan di dalam penyejuk beku. Letak bawang putih bakar anda ke dalam plastik boleh ditutup dan letakkan ke dalam penyejuk beku. Bawang putih bakar boleh bertahan selama 1 tahun di dalam penyejuk beku.
Kesan Sampingan atau Risiko
Secara umumnya, bawang putih bakar adalah selamat untuk dimakan.
Walau bagaimanapun, pengguna tidak disarankan untuk memakan bawang putih bakar ini terlalu banyak.
Bagi mereka yang mengambil ubat pencair darah seperti warfarin, bawang putih boleh meningkatkan risiko perdarahan. [3]
Namun, terdapat kajian yang melaporkan bahawa bawang putih bakar mungkin selamat dan tidak menyebabkan risiko yang serius bagi pesakit yang mengambil ubat pencair darah. [4]
Bagi anda yang mempunyai alahan atau mengalami tindak balas alahan selepas memakan bawang putih mentah, anda tidak disarankan untuk memakan bawang putih bakar. [5]
Rujukan
- Shin J.-H. et al. (2008). Changes of physicochemical components and antioxidant activity of garlic during its processing. J. Life Sci.
- Kang O. J. (2016). Physicochemical Characteristics of Black Garlic after Different Thermal Processing Steps. Preventive nutrition and food science.
- NCCIH. (2020). Garlic
- Henry Macan. et al. (2006). Aged Garlic Extract May Be Safe for Patients on Warfarin Therapy. The Journal of Nutrition.
- Armentia, A. et al. (2020). Allergic hypersensitivity to garlic and onion in children and adults. Allergologia et immunopathologia.