Sudah pasti ramai yang suka atau menikmati suasana tumbuhan hijau, kicauan burung, aliran air sungai yang menenangkan. Ia membuatkan kita berasa tenang dan seronok. Terdapat bukti-bukti empirikal yang menunjukkan bahawa terapi alam mempunyai banyak kebaikan dan manfaat.
Artikel ini akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai terapi alam, bagaimana terapi alam boleh membawa kebaikan kepada kesihatan mental dan bagaimana anda boleh membawa alam hampir dengan anda.
Apa itu Terapi Alam?
Terapi alam atau terapi alam semula jadi adalah satu konsep yang menggunakan alam semula jadi untuk membantu menyembuhkan kita terutamanya secara psikologinya.

Perubahan zaman menyebabkan ramai manusia tinggal jauh daripada alam semula jadi dan banyak menghabiskan masa di depan skrin televisyen dan gadjet sahaja.
Pembangunan yang mengabaikan kelestarian alam juga turut menyebabkan alam semula jadi semakin pupus ditelan bangunan-bangunan tinggi.
Maka, masyarakat semakin kurang menghabiskan masa di luar dengan menikmati alam semula jadi, menghilangkan tekanan dan segarkan diri.
Akibatnya kita adalah masyarakat yang tertekan dengan pelbagai penyakit kesihatan mental.
Terapi Hijau dan Biru
Warna hijau melambangkan kesegaran dan alam. Manakala, warna biru melambangkan ketenangan dan kedamaian.
Justeru itu, adalah tidak hairan sekiranya anda berada dihutan, bukit atau taman yang hijau anda boleh merasakan kesegaran dan mendatangkan kepuasan kepada diri anda.
Selain itu, lautan yang membiru, tasik atau sungai juga memberikan kesan psikologi yang menenangkan dan mendamaikan. Ia meletakkan kita dalam mood yang baik.
Malah, satu kajian yang dijalankan di 18 buah negara Eropah mendapati seseorang itu berasa lebih baik apabila berada berdekatan dengan laluan air terutamanya kepada kesihatan mental dan kesejahteraan. [1]
Jenis-jenis Terapi Alam
Terdapat beberapa jenis terapi alam yang boleh anda pilih dan nikmati. Antaranya adalah:
- Terapi berkaitan berkebun: Terapi ini melibatkan aktiviti bercucuk tanam, selalunya dalam komuniti.
- Terapi pengembaraan: Terapi ini mungkin melibatkan berkayak, mendaki bukit, atau mendaki tembok.
- Terapi dibantu haiwan: Terapi ini melibatkan bermain atau berlatih dengan haiwan seperti kuda, anjing atau burung.
- Terapi hutan: Terapi jenis ini ialah amalan penuh perhatian di mana anda menggunakan lima deria anda semasa berjalan melalui hutan.
- Terapi hutan belantara: Terapi ini mungkin melibatkan perkhemahan yang sesuai untuk kumpulan remaja atau belia yang mempunyai masalah tingkah laku atau kelakuan.
Kebaikan dan Manfaat Terapi Alam
Alam semula jadi ciptaan Tuhan ini mempunyai kuasa penyembuhan yang mendatangkan pelbagai manfaat kepada kesihatan mental kita.
Persoalannya adakah kita mengambil bahagian dalam penyelesaian yang mudah dan menjimatkan kos untuk masalah kita?
Terdapat kajian-kajian yang membuktikan bahawa menghabiskan masa di alam semula jadi adalah murah dan berkesan dalam meningkatkan kesihatan mental dan kesejahteraan hidup.
1. Meningkatkan Kebahagiaan
Meluangkan masa dengan alam boleh meningkatkan kegembiraan atau kebahagiaan anda.
Satu kajian yang dijalankan oleh pengkaji-pengkaji dari University of Washington mendapati hubungan dengan alam semula jadi mempunyai kaitan dengan pelbagai manfaat termasuklah meningkatkan kebahagiaan, kesejahteraan, interaksi sosial yang positif dan perasaan hidup yang bermakna. [2]
2. Mengurangkan Keresahan, Kemurungan dan Tekanan
Keresahan, kemurungan dan tekanan (stres) adalah masalah kesihatan mental yang paling banyak di alami oleh masyarakat pada masa kini.
Sekiranya tidak dirawat, keadaan ini boleh membawa kepada masalah yang lebih serius termasuklah membunuh diri.
Terapi alam dilihat sebagai salah satu rawatan untuk mengurangkan tekanan dan masalah mental.
Satu kajian semula yang melibatkan 14 kajian mendapati meluangkan masa hanya 10 minit duduk atau berjalan dalam pelbagai persekitaran semula jadi memberikan impak yang positif yang ketara terhadap kesejahteraan mental bagi individu (usia kolej) yang terlibat. [3]
Ini menunjukkan meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit di persekitaran semula jadi boleh memberikan kesan yang baik terhadap kesihatan mental.
3. Meningkatkan Fungsi Otak
Meluangkan masa di alam semula jadi juga turut bermanfaat kepada fungsi otak.
Satu kajian melaporkan bahawa terdedah kepada persekitaran alam semula jadi adalah baik untuk otak. Ia boleh meningkatkan prestasi ingatan (memori), kebolehubahan kognitif dan tugasan yang melibatkan kawalan perhatian. [4]
Bagaimana Membawa Alam Ke Dalam Rumah?
Walau bagaimanapun, atas faktor sosio-ekonomi, tidak semua orang mempunyai akses yang mudah untuk menghabiskan masa mereka di persekitaran semula jadi.
Justeru itu, langkah yang boleh anda lakukan adalah membawa “alam semula jadi” ini ke dalam rumah anda.
Berikut adalah cara-cara mudah yang boleh dilakukan untuk membawa alam semula jadi ke dalam rumah (walaupun rumah anda kecil):
- Menambah tumbuhan ke dalam rumah: Selain membuang toksin dalam udara di rumah, tumbuhan hijau juga boleh membuangkan anda berasa lebih selesa, lega dan alami. [5]
- Memasang bunyi-bunyian hutan atau alam: Jangan memandang rendah kuasa mendengar air terjun atau bunyi hujan. Hasilnya bukan sekadar ketenagan dan rasa santai, malah ia turut memulihkan tumpuan dan prestasi kognitif.
- Menghias dinding dengan gambar atau lukisan alam semula jadi: Hiasi dinding rumah anda dengan gambar atau lukisan alam semula jadi yang menarik dan hijau. Kajian mendapati melihat pemandangan hijau yang indah boleh mengurangkan tahap tekanan (stres). [6]
Rujukan
- Gascon, M. et al. (2017). Outdoor blue spaces, human health and well-being: A systematic review of quantitative studies. International journal of hygiene and environmental health.
- Bratman, G. N. et al. (2019). Nature and mental health: An ecosystem service perspective. Science advances.
- Meredith, G. R. et al. (2020). Minimum Time Dose in Nature to Positively Impact the Mental Health of College-Aged Students, and How to Measure It: A Scoping Review. Frontiers in psychology.
- Schertz, K. E., & Berman, M. G. (2019). Understanding Nature and Its Cognitive Benefits. Current Directions in Psychological Science.
- Lee, M. S. et al. (2015). Interaction with indoor plants may reduce psychological and physiological stress by suppressing autonomic nervous system activity in young adults: a randomized crossover study. Journal of physiological anthropology.
- van den Berg, M. M. et al. (2015). Autonomic Nervous System Responses to Viewing Green and Built Settings: Differentiating Between Sympathetic and Parasympathetic Activity. International journal of environmental research and public health.