Alahan mata adalah alahan yang berlaku akibat sesuatu yang anda mempunyai alahan terhadapnya merengsakan konjunktiva anda. Konjunktiva adalah membran nipis dan jelas yang melindungi mata anda. Ia meliputi bahagian dalam kelopak mata dan putih mata anda.
Alahan mata turut dikenali dengan beberapa panggilan lain seperti konjunktivitis alergi atau alahan okulus.
Seperti alahan yang lain, alahan mata ini bermula apabila sistem imun mengenal pasti bahan yang tidak berbahaya sebagai alergen. Ini menyebabkan sistem imun anda bertindak balas berlebihan dan menghasilkan antibodi yang dipanggil Immunoglobulin (IgE).
Antibodi ini bergerak ke sel-sel yang membebaskan bahan kimia yang menyebabkan tindak balas alahan. Dalam kes ini, tindak balas alahan termasuk mata yang berair, gatal, sakit atau menjadi merah atau bengkak.
Jenis-jenis
Alahan mata atau konjunktivitis alergi ini boleh dibahagikan kepada 2 jenis atau kategori yang sering berlaku iaitu:
- Seasonal allergic conjunctivitis: Alahan bermusim yang biasanya berlaku semasa musim bunga dan musim panas, dan kadangkala semasa musim gugur. Boleh dicetuskan oleh debunga, rumput atau alergen bawaan udara.
- Perennial allergic conjunctivitis: Bentuk kronik yang kekal sepanjang tahun dan biasanya dicetuskan oleh alergen dalaman seperti bulu haiwan, habuk dan spora kulapok.
Gejala-gejala dan Tanda
Antara gejala-gejala atau tanda berkaitan alahan mata yang sering berlaku adalah:
- Rasa gatal yang amat sangat pada mata
- Mata berair
- Mata menjadi merah
- Kelopak mata bengkak
- Sensitif terhadap cahaya
- Rasa seperti berpasir
Gejala-gejala ini mungkin disertai dengan hidung berair atau gatal, atau bersin.
Punca Alahan Mata
Tindak balas alahan berlaku apabila sistem imun bertindak balas secara berlebihan terhadap sesuatu bahan (alergen).
Kebanyakan orang tidak bertindak balas dengan cara ini terhadap habuk, debunga dan bahan lain, tetapi ada sesetengah orang yang lebih mudah terdedah.
Alergen berikut biasanya menyebabkan alahan mata:
- Debunga
- Bulu haiwan
- Hama habuk
- Spora kulapok
- Minyak wangi
- Pencuci
Sesetengah orang juga mungkin mengalami konjunktivitis alergi sebagai tindak balas kepada ubat atau bahan tertentu yang jatuh ke dalam mata, seperti larutan kanta sentuh atau ubat titis mata.
Rawatan
Terdapat banyak kaedah rawatan yang boleh dilakukan untuk merawat alahan ini. Antaranya adalah:
Ubat-ubatan
- Ubat titisan mata antihistamin: Digunakan untuk mengurang atau menyekat perembesan histamin.
- Ubat titisan mata antiradang.
- Ubat titisan mata preskripsi seperti bepotastine.
Rawatan di rumah
Beberapa langkah rawatan berikut boleh membantu mengurangkan atau melegakan alahan mata:
- Elakkan menggosok mata anda, kerana ini boleh memburukkan gejala.
- Bilas mata dengan air mata buatan atau titisan mata masin, boleh didapati di farmasi.
- Gunakan kompres sejuk untuk melegakan keradangan dan ketidakselesaan.
- Pakai topi dan cermin mata hitam untuk perlindungan daripada debunga.
- Mandi selepas keluar rumah, jika debunga adalah pencetus.
- Basuh tangan anda sebelum menyentuh mata anda, terutamanya selepas mengendalikan haiwan peliharaan atau sumber alergen lain.
- Basuh baju yang telah digunakan dengan kerap.
- Basuh muka anda sekiranya terdedah kepada alergen seperti habuk atau debunga.
Rujukan
- American Academy of Allergy Asthma & Immunology. Eye (Ocular) Allergy.
- Karakus,S. (n.d.) Allergic Conjunctivitis. John Hopkins Medicine.