Adakah alahan boleh menyebabkan sakit kepala? Jawapannya adalah ya. Tetapi, ia bukanlah gejala yang lazim bagi alahan.
Terdapat dua jenis sakit kepala yang berkaitan dengan alahan atau alergi iaitu sakit kepala sinus dan sakit kepala migrain.
Rinitis alergi atau resdung boleh menyebabkan sakit kepala yang mungkin disebabkan oleh saluran sinus (hidung) membengkak. Meskipun begitu, sakit kepala bukan gejala yang biasanya bagi rinitis alergi.

Bagi sakit kepala migrain pula terdedah kepada alergen boleh mencetuskan sistem imun anda untuk mengeluarkan bahan kimia tertentu.
Bahan kimia ini boleh mencetuskan keradangan di seluruh badan yang kemudiannya boleh menyebabkan anda mengalami migrain.
Hubungan Antara Alahan dan Sakit Kepala
Rinitis ialah keradangan pada saluran hidung yang biasanya disebabkan oleh alahan persekitaran. Dalam kes ini, ia dikenali sebagai rinitis alergi.
Rinitis alergi boleh menyebabkan beberapa gejala tetapi kajian mendedahkan bahawa sakit kepala bukanlah gejala yang lazim berlaku. [1]
Sakit kepala sinus berlaku apabila sinus membengkak, menghalang saluran hidung dan membawa kepada pengumpulan tekanan. Akibatnya ia boleh menjadi sakit di bahagian atas kepala atau di belakang pipi.
Walau bagaimanapun, sakit kepala sinus agak jarang berlaku dan biasanya hanya disebabkan oleh keradangan yang teruk.
Sementara itu, kajian pada tahun 2004 mendapati bahawa 88% orang yang percaya bahawa mereka mengalami sakit kepala sinus sebenarnya mengalami sakit kepala migrain. [2]
Alahan dan sakit kepala migrain mempunyai hubungan yang kompleks. Sekiranya anda mengalami migrain, itu bermakna anda mempunyai sistem saraf yang sensitif.
Badan anda cenderung untuk bertindak balas dengan cepat, atau bertindak balas berlebihan, terhadap perubahan dalam persekitaran anda yang dilihat sebagai ancaman.
Gejala-gejala
Sukar untuk membezakan antara sakit kepala yang disebabkan oleh migrain dan yang disebabkan oleh keradangan dan tekanan sinus.
Seseorang yang mengalami sakit kepala sinus mungkin berasa sakit di bahagian atas kepala atau di belakang pipi.
Jika rinitis alergi bertanggungjawab untuk sakit kepala, anda mungkin juga mengalami:
- Gatal-gatal di hidung, mata, tekak atau lelangit
- Bersin
- Hidung tersumbat
- Mata berair
Manakala, jika alahan yang menjadi pencetus kepada migrain, anda mungkin mengalami:
- Sakit pada bahagian sinus (belakang tulang pipi dan dahi)
- Sakit dibahagian muka
- Loya
- Sakit kepala yang mencucuk dan berdenyut (selalunya hanya disebelah sahaja)
Rawatan dan Petua
Adalah penting untuk mengelakkan apa-apa yang mencetuskan sakit kepala atau tindak balas alahan.
Terdapat banyak ubat atau rawatan yang boleh mengurangkan gejala-gejala alahan dan mengurangkan sakit kepala yang dialami.
Antaranya adalah:
- Ubat antihsitamin: Ubat ini membantu menyekatkan penghasilan histamin oleh badan buat sementara waktu dan mengurangkan gejala-gejala alahan.
- Dekongestan: Ubat ini boleh membuka saluran hidung yang tersumbat dan mengurangkan tekanan sinus.
- Ubat pelega kesakitan: Ubat belian kaunter ini boleh membantu melegakan kesakitan sepetti sakit kepala.
- Imunoterapi: Imunoterapi atau turut dikenali sebagai suntikan alergi adalah satu rawatan yang mendedahkan badan anda kepada sejumlah kecil bahan yang anda alah kepadanya. Ia mungkin pilihan yang baik jika ubat-ubatan tidak membantu.
Di samping itu juga, beberapa petua atau rawatan di rumah boleh dilakukan untuk mengurangkan gejala-gejala yang dialami, antaranya adalah:
- Meletakkan tuala muka yang suam dan lembap di bahagian muka.
- Meminum air yang banyak untuk menipiskan mukus yang menyebabkan hidung tersumbat.
- Menyedut wap air daripada semangkuk air panas dengan meletakkan tuala menutup atas kepala.
Rumusan
Adalah sukar untuk membezakan sama ada alahan akibat keradangan hidung atau migrain yang menyebabkan sakit kepala.
Jika anda mengalami sakit kepala yang berulang-ulang atau berterusan, adalah penting untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Rujukan
- Gryglas A. (2016). Allergic Rhinitis and Chronic Daily Headaches: Is There a Link?. Current neurology and neuroscience reports.
- Schreiber, C. P. et al. (2004). Prevalence of migraine in patients with a history of self-reported or physician-diagnosed “sinus” headache. Archives of internal medicine.