Rawatan di rumah bagi penyakit angin pasang boleh membantu mencegah gejala-gejala yang berlaku daripada bertambah teruk.
Angin pasang atau hernia adalah penyakit yang menyebabkan tisu atau organ dalam badan membonjol keluar melalui dinding otot yang lemah.
Kebanyakan hernia yang berlaku dikawasan perut, di antara dada dan perut dan juga pinggul. Terdapat beberapa jenis hernia yang lazimnya berlaku iaitu:
- Hernia inguinal
- Hernia femoral
- Hernia insisi
- Hernia umbilikal
- Hernia epigastrik
Penyakit angin pasang ini tidak selalunya menyebabkan simptom atau gejala. Tetapi, ia boleh dirasa atau dilihat (seperti benjolan).
Namun, bagi sesetengah orang, penyakit angin pasang (hernia) boleh menyebabkan beberapa gejala seperti:
- Rasa sakit
- Rasa seperti terbakar
- Rasa tekanan atau tarikan
- Masalah penghadaman
- Sakit yang tiba-tiba dikawasan hernia
- Loya dan muntah-muntah
Sekiranya dibiarkan tidak dirawat, penyakit angin pasang boleh menjadi lebih besar, lebih kelihatan atau menyebabkan masalah yang lebih besar.
Rawatan Di Rumah Bagi Penyakit Angin Pasang (Hernia)
Rawatan di rumah bagi penyakit angin pasang ini lebih kepada bentuk penjagaan diri bagi mengelakkan gejala-gejala yang berlaku menjadi lebih teruk.
Pesakit harus mengamalkan langkah-langkah berikut:
1. Elakkan Aktiviti yang Memberi Tekanan
Elakkan aktiviti-aktiviti yang boleh memberikan tekanan dalam abdomen seperti batuk, mengangkat objek berat dan meneran.
2. Gunakan Pek Ais
Gunakan pek ais pada kawasan bonjolan yang mengalami keradangan, kemerahan atau kesakitan.
3. Minum Air Halia
Minum air halia untuk membuang angin atau kembung perut yang mungkin terjadi akibat angin pasang.
4. Bersenam
Bersenam dengan senaman ringan seperti berjalan-jalan, berjoging atau berenang.
5. Elakkan Senaman Berat
Elakkan senaman berat seperti mengangkat berat.
6. Kurangkan Berat Badan
Kurangkan berat badan sekiranya anda mengalami berat badan berlebihan atau obesiti.
7. Makan Makanan Berserat
Banyakkan makan makanan yang tinggi dengan serat supaya dapat mengelakkan sembelit.
8. Makan Sedikit
Makan pada kuantiti yang sedikit dalam satu-satu masa bagi mengelakkan tegangan pada bahagian abdomen akibat makan terlalu banyak.
Makanan yang Perlu Dielakkan Ketika Angin Pasang
Bagi penghidap hernia hiatus (hiatal hernia), mereka harus mengubah sedikit cara pemakanan bagi membantu mengurangkan gejala-gejala yang berlaku.
Antara jenis makanan yang perlu dielakkan ketika angin pasang adalah:
- Makanan yang terdiri daripada karbohidrat bertapis. Karbohidrat bertapis ialah makanan yang telah diproses yang sangat rendah atau tiada serat. Makanan jenis ini meningkatkan risiko untuk anda menghidap sembelit.
- Makanan pedas dan berasaskan tomato. Makanan pedas dan berasaskan tomato boleh menyebabkan asid refluks.
- Makanan bergoreng. Makanan bergoreng juga boleh menyebabkan asid refluks.
- Minuman berkarbonat.
- Minuman berkafein.
- Alkohol.
Penghidap angin pasang juga harus menghindari makan makanan berat atau banyak pada satu-satu masa. Elakkan juga daripada berbaring selepas makan.
Rumusan
Penyakit angin pasang atau hernia adalah penyakit yang menyebabkan tisu atau organ dalam badan membonjol keluar melalui dinding otot yang lemah. Kebanyakan penyakit ini tidak terus mengancam nyawa tetapi ia tidak akan hilang tanpa rawatan.
Rawatan di rumah bagi penyakit angin pasang ini lebih bersifat penjagaan diri daripada gejala-gejala. Rawatan perubatan masih diperlukan untuk merawat penyakit ini.
Gabungan rawatan penjagaan diri dan rawatan perubatan boleh menghasilkan keputusan yang lebih baik dalam mengatasi penyakit angin pasang tersebut.