Sendawa dan kentut adalah dua proses semula jadi membuang angin di dalam badan. Namun, ada ketika angin ini terperangkap di dalam badan anda dan menyembabkan kembung dan ketidakselesaan. Dalam kes ini, anda boleh mencuba beberapa cara membuang angin dalam badan yang dinyatakan dalam artikel ini.
Sesetengah makanan atau makan terlalu gelojoh boleh menyebabkan angin dalam badan. Selain itu, kekejangan pada otot perut boleh juga menyebabkan angin terperangkap di dalam badan anda.
Terdapat 3 cara mudah yang boleh membantu anda membuang angin di dalam badan anda iaitu:
- Berjalan
- Baring secara mengiring
- Mencangkung
1. Berjalan
Berjalan adalah salah satu cara mudah untuk membuang angin dalam badan yang terperangkap.
Menurut kajian oleh penyelidik dari University of Gothenburg, aktiviti fizikal yang ringan boleh membantu mengerakkan angin daripada usus dan mengurangkan kembung perut. [1]
Sekiranya anda sering mengalami kembung perut atau angin dalam badan, bersenam seperti berjalan juga boleh membantu mengatasi masalah ini.
2. Baring Secara Mengiring
Cara membuang angin dalam badan dengan cara baring mengiring ini sesuai untuk membuang angin yang terperangkap dalam usus bawah.
Cara-caranya adalah:
- Baring mengiring di atas tilam, sofa atau lantai.
- Tarik kedua-dua lutut anda ke arah dada dengan lembut.
- Sekiranya masih tidak lega selepas beberapa minit, cuba gerakkan kaki anda ke atas dan ke bawah secara perlahan-lahan beberapa kali.
- Cuba rapatkan lutut anda ke dada menggunakan tangan anda sekiranya ia tidak menyakitkan.
3. Mencangkung
Mencangkung adalah senaman yang baik untuk menguatkan otot peha dan punggung. Selain itu, mencangkung juga turut boleh membantu membuang angin yang terperangkap di dalam badan.
Berikut adalah cara mencangkung untuk melegakan angin yang terperangkap:
- Buka kaki anda selebar pinggul dan menghadap ke hadapan.
- Letakkan tangan anda di bahagian atas peha atau pegang pada belakang kerusi yang kukuh. Kemudian, perlahan-lahan bengkokkan lutut anda sehingga hujung belakang anda hampir dengan lantai.
- Letakkan tangan anda di bahagian atas peha anda (atau teruskan memegang kerusi). Kekal dalam kedudukan ini sehingga anda merasakan gas mula bergerak.
Sekiranya 3 cara ini tidak berjaya untuk membuang angin yang terperangkap dalam badan anda. Berikut adalah cara-cara lain yang boleh membantu:
4. Posisi Yoga
Posisi yoga yang dipanggil “child’s pose” adalah salah satu teknik yang boleh membantu anda mengeluarkan angin dari badan anda.
Posisi yoga ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja jika perlu, tetapi ketenangan adalah kunci untuk dapat mengeluarkan angin dari badan.
Maka, adalah penting bagi seseorang untuk berasa selesa di persekitaran mereka.
Untuk melakukan posisi child’s pose, apa yang anda perlu lakukan adalah:
- Mulakan dengan melutut dengan merangkak.
- Dari situ, tolak punggung ke belakang untuk duduk di atas tumit. Regangkan tangan ke hadapan badan, sentuh tikar atau lantai.
- Laraskan lutut untuk keselesaan.
- Biarkan dahi terletak di atas lantai manakala batang tubuh terletak pada kaki.
- Ini akan mewujudkan tekanan lembut pada perut yang boleh menggalakkan kentut.
- Tarik nafas dalam-dalam dan berehat sehingga angin keluar.
5. Minuman
Minuman seperti air suam dan teh herba boleh membantu bagi sesetengah orang.
Antara pilihan teh herba yang berkesan dalam membantu membuang angin dalam badan anda ialah:
- Teh pudina
- Teh halia
- Teh chamomile
Halia adalah antara herba yang popular untuk mengatasi masalah berkaitan dengan kembung perut, angin, atau loya.
Malah, keberkesanan atau khasiat halia ini telah dibuktikan di dalam kajian-kajian. [2]
Rumusan
Anda boleh belajar bagaimana untuk melepaskan angin yang terperangkap dalam badan anda dengan menukar kedudukan badan dan menjadi aktif secara fizikal.
Mengubah diet anda juga boleh membantu. Dalam kebanyakan kes, angin bukanlah isu yang serius. Tetapi anda mungkin perlu berjumpa ahli profesional kesihatan jika anda mempunyai banyak angin yang berlebihan.
Rujukan
- Johannesson, E. et al. (2015). Intervention to increase physical activity in irritable bowel syndrome shows long-term positive effects. World journal of gastroenterology.
- Nikkhah Bodagh, M. et al. (2018). Ginger in gastrointestinal disorders: A systematic review of clinical trials. Food science & nutrition.