Anda mungkin selalu mendengar istilah IQ dan EQ, mungkin semasa zaman persekolahan, universiti atau kerja. Tetapi, adakah anda tahu perbezaan antara IQ dan EQ?
Secara ringkasnya, IQ adalah ringkasan kepada Intelligence Quotient atau dalam Bahasa Melayunya adalah darjah kecerdasan. Manakala, EQ pula adalah ringkasan kepada Emotional Quotient atau dalam Bahasa Melayunya adalah darjah kecerdasan emosi.
Ujian IQ digunakan oleh penyelidik pada zaman moden untuk mengukur apa yang seseorang itu tahu dan berapa cepat mereka boleh menyelesaikan masalah menggunakan pemikiran.
Tetapi ujian IQ sahaja tidak semestinya mengambil kira keseluruhan kebolehan berfikir anda. Ujian IQ tidak selalu meramalkan kejayaan sama ada di sekolah, kehidupan atau perniagaan.

Kemudiannya, konsep kecerdasan emosi telah diperkenalkan dan muncul sebagai salah satu cara untuk menghuraikan satu lagi set kemahiran berfikir.
Kecerdasan emosi merujuk kepada keupayaan anda untuk mengenali dan mengawal emosi, dan menggunakan kesedaran sosial dalam penyelesaian masalah.
Gabungan antara ujian IQ dan EQ boleh membantu penyelidik untuk mendapatkan gambaran penuh kecerdasan seseorang.
Apakah Perbezaan Antara IQ dan EQ?
Perbezaan antara IQ dan EQ yang jelas adalah dari segi maksudnya sendiri. IQ merujuk kepada keupayaan intelektual anda.
Manakala, EQ pula merujuk kepada keupayaan anda untuk merasai emosi di dalam diri sendiri atau orang lain. Ia juga menjadi ukuran kemampuan anda untuk mengawal emosi serta berkait rapat dengan daya ketahanan diri, empati dan motivasi.
Antara elemen-elemen penting bagi IQ ialah keupayaan untuk:
- Menggunakan logik untuk menyelesaikan masalah
- Merancang dan berstrategi
- Belajar dan beradaptasi kepada perubahan
- Keupayaan memahami idea abstrak
- Memahami dan menggunakan bahasa
Bagi EQ pula, seseorang dinilai mempunyai EQ yang tinggi jika mereka mudah untuk:
- Mengenal pasti emosi dalam diri sendiri atau orang lain
- Empati kepada orang lain
- Mengawal gerak hati (impuls) anda
- Menyesuaikan perasaan dan tingkah laku anda kepada situasi yang berbeza
- Menahan godaan dan menangguhkan kepuasan
- Berkomunikasi secara berkesan
- Menyelesaikan konflik dengan orang lain
Bagaimana IQ dan EQ Diukur?
IQ dan EQ diukur melalui ujian.
Antara ujian IQ yang sering digunakan adalah:
- Wechsler Adult Intelligence Scale (WAIS)
- Wechsler Individual Achievement Test
- Woodcock Johnson III Tests of Cognitive Abilities
- Stanford-Binet Intelligence Scale
Ujian-ujian IQ ini biasanya mengukur dua keupayaan kecerdasan yang berbeza yang dikenali sebagai:
- Kecerdasan berhablur: Jenis kecerdasan ini adalah berdasarkan keupayaan lisan dan pengetahuan anda dan biasanya bertambah baik apabila anda semakin tua.
- Kecerdasan bendalir: Ini adalah keupayaan anda untuk menaakul, berfikir secara abstrak, dan menyelesaikan masalah tanpa pengetahuan sedia ada.
Kecerdasan emosi pula diukur melalui ujian seperti:
- Situational Tests of Emotional Management
- Situational Tests of Emotional Understanding
- Mayer-Salovey-Caruso Emotional Intelligence Tests
- Diagnostic Analysis of Nonverbal Accuracy
Walau bagaimanapun, terdapat banyak perbahasan mengenai ketepatan pengukuran IQ dan EQ ini.
Manakah yang Lebih Penting? IQ atau EQ?
Sejak dari dahulu lagi, keputusan daripada ujian IQ sering dikaitkan dengan prestasi akademik yang lebih baik, gaji yang lebih tinggi dan prestasi pekerjaan yang lebih baik.
Walau bagaimanapun, terdapat kajian pada 2015 mempersoalkan tentang perkaitan tersebut. [1]
Manakala, EQ pula sering dikaitkan dengan kejayaan dalam kerjaya dan perhubungan. Terdapat juga bukti yang menunjukkan bahawa kecerdasan emosi boleh membantu anda mengawal tekanan (stres).
Kajian semula pada 2019 merumuskan bahawa kecerdasan emosi boleh membantu anda pulih dengan lebih cepat daripada tekanan akut. [2]
Maka, dapat disimpulkan bahawa kedua-dua, IQ dan EQ adalah penting dan boleh memberi kesan terhadap kualiti hidup dan pencapaian anda.
Rujukan
- Richardson, K., & Norgate, S. H. (2015). Does IQ Really Predict Job Performance?. Applied developmental science.
- Lea, R. G. et al. (2019). Does Emotional Intelligence Buffer the Effects of Acute Stress? A Systematic Review. Frontiers in psychology.