Jika anda penggemar ulam, ketahui khasiat-khasiat ulam raja yang diulas di sini. Jika anda belum pernah mencubanya, ketahui khasiat ulam raja yang boleh mendatangkan pelbagai manfaat kepada kesihatan yang mungkin boleh menarik minat anda untuk mencubanya.
Ulam raja adalah tumbuhan ubatan yang berasal dari Amerika Latin dan kini banyak di tanam di Asia Tenggara termasuklah Malaysia. nama saintifik bagi ulam raja adalah Cosmos caudatus.
Bahagian pucuk atau daun muda pokok ulam raja ini selalunya dimakan secara mentah (segar) dan ada juga yang memakannya ulam ini bersama-sama sambal belacan atau budu.
Sememangnya ulam raja menyimpan seribu satu khasiat yang baik untuk kesihatan. Orang terdahulu menggunakan ulam raja untuk meningkatkan aliran darah, menguatkan tulang, menyejukkan badan atau sebagai agen awet muda.
Artikel ini akan mengulas lebih lanjut mengenai khasiat ulam raja berdasarkan kajian-kajian moden yang merungkai potensi sebenar ulam raja ini.
1. Mengandungi Zat-zat Penting
Bagi 100 gram ulam raja, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Kalori/Tenaga: 18 kcal
- Protein: 2.9 gram
- Karbohidrat: 0.6 gram
- Lemak: 0.4 gram
- Kalsium: 270 miligram
- Zat besi: 4.6 miligram
- Magnesium: 50 miligram
- Fosforus: 37 miligram
- Kalium: 426 miligram
- Zink: 0.9 miligram
- Tembaga: 0.2 miligram
- Vitamin C: 64.6 miligram
- Vitamin B1: 0.13 miligram
- Vitamin B2: 0.24 miligram
2. Kaya dengan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang terkandung dalam tumbuhan atau buah-buahan yang boleh membantu melindungi sel-sel badan daripada rosak akibat daripada radikal bebas.
Sekiranya radikal bebas melebihi antioksidan, ia akan menyebabkan tekanan pengoksidaan atau tekanan oksidatif. Tekanan oksidatif ini dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung, diabetes dan lain-lain lagi.
Ulam raja mengandungi sebatian-sebatian antioksidan seperti asid askorbik (vitamin C), kuersetin, kaempferol, asid klorogenik, asid kafeik, asid ferulik, antosianin dan beta-karotena. [2]
Sebatian asid askorbik dan kuersetin adalah dua sebatian yang tinggi dalam ulam raja. Kesemua antioksidan yang terkandung dalam ulam raja ini mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan.
3. Baik untuk Penghidap Kencing Manis
Penyakit kencing manis atau diabetes jenis 2 adalah penyakit kronik yang banyak terjadi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Seseorang yang mengalami paras kolesterol yang tinggi, paras lemak (trigliserida) yang tinggi dan tekanan darah tinggi berisiko tinggi untuk menghidap penyakit kencing manis ini.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati pengambilan ekstrak ulam raja bagi haiwan yang obes boleh menurunkan paras lemak (trigliserida), menurunkan jumlah kolesterol, kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan paras gula dalam darah. [3]
Selain itu, terdapat juga kajian makmal tabung uji mendapati ekstrak ulam raja juga turut mempunyai ciri-ciri seperti ubat yang digunakan untuk merawat penyakit kencing manis tetapi dengan kesan sampingan yang lebih rendah berbanding ubat tersebut. [4]
Kajian-kajian lanjut terutamanya kajian klinikal masih diperlukan untuk menguatkan lagi dapatan ini.
4. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Kajian ulam raja juga turut didapati mempunyai aktiviti antihipertensi.
Hipertensi atau tekanan darah diri adalah penyakit kronik yang boleh meningkatkan risiko kepada penyakit jantung, strok atau kematian.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak ulam raja boleh membantu menurunkan kadar denyutan jantung dan isipadu darah yang dipam keluar oleh jantung ke saluran arteri. Parameter-parameter ini menjadi petanda bahawa ekstrak ulam raja ini mempunyai kesan antihipertensi terhadap subjek yang diuji. [5]
Kajian lain juga mendapati ekstrak ulam raja turut boleh meniru seperti ubat darah tinggi dalam membantu menurunkan tekanan darah. [4]
Ini menunjukkan potensi ulam raja untuk digunakan dalam merawat tekanan darah tinggi.
5. Boleh Mengurangkan Keradangan
Keradangan adalah tindak balas normal badan manusia apabila berlaku jangkitan atau kecederaan. Tetapi, apabila keradangan ini berlaku secara berpanjangan, ia boleh mendatangkan kesan buruk kepada badan.
Khasiat ulam raja juga dilihat boleh membantu mengurangkan keradangan.
Ini berdasarkan kajian yang dijalankan terhadap haiwan. Ekstrak ulam raja didapati boleh mengurangkan bengkak pada kaki haiwan yang diuji. Kesan antiradang ini dilihat hampir setanding dengan kesan ubat antiradang. [6]
Kajian-kajian lanjut masih diperlukan untuk melihat kesan ini terhadap manusia.
6. Boleh Membantu Menguatkan Tulang
Masalah kerapuhan tulang atau osteoporosis adalah masalah kesihatan yang lazim berlaku kepada wanita pascamenopaus.
Selepas seorang wanita menopaus, paras hormon estrogen dan progesteron mula menurun. Hormon bertindak sebagai pelindung tulang. Kekurangan hormon ini boleh menyumbang kepada osteoporosis.
Ulam raja mengandungi vitamin dan mineral yang berkhasiat kepada kekuatan tulang. Mineral kalsium, zink, magnesium, tembaga, vitamin C dan vitamin K adalah nutrien-nutrien yang diperlukan untuk tulang yang sihat dan kuat.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak ulam raja menunjukkan kesan yang positif terhadap pemulihan tulang yang rosak dengan meningkatkan parameter-parameter berkaitan pembentukan dan pemulihan tulang. [7]
7. Boleh Melawan Jangkitan Bakteria dan Kulat
Ulam raja juga turut mempunyai ciri-ciri antibakteria dan antikulat.
Kajian mendapati sebatian phenylpropane daripada ekstrak akar ulam raja mempunyai aktiviti antikulat terhadap kulat jenis Cladosporium cucumerinum dan Candida albicans. [8]
Kulat atau yis jenis Candida albicans adalah kulat yang sering menyerang wanita menyebabkan jangkitan yis pada faraj.
Terdapat juga kajian lain yang mendapati ekstrak ulam raja turut boleh menrencatkan pertumbuhan atau perkembangan bakteria-bakteria seperti E.coli, Bacillus subtilis, Staphylococcus aureus, Pseudomonas aeruginosa dan kulat Candida albicans. [9]
Bakteria-bakteria ini adalah bakteria yang lazimnya menyebabkan keracunan makanan kepada manusia.
Rumusan
Seperti namanya, ulam raja mempunyai khasiat dan keistimewaan tersendiri.
Selain mengandungi nutrien-nutrien penting, ulam raja turut menunjukkan potensinya dalam perubatan dan perawatan dengan keupayaannya untuk menurunkan paras kolesterol dan gula darah, menurunkan tekanan darah, mengurangkan keradangan, menguatkan tulang dan mencegah jangkitan bakteria serta kulat.
Justeru itu, amalan mengamalkan pemakanan ulam-ulaman termasuklah ulam raja harus dikekalkan dalam kehidupan masyarakat Malaysia.
Rujukan
- Tee ES, Mohd, Ismail N, Mohd Nasir A, Khatijah I.(1997). Nutrient Composition of Malaysian Foods. 4th ed. Kuala Lumpur: Institute for Medical Research.
- Andarwulan, N. et al. (2010). Flavonoid content and antioxidant activity of vegetables from Indonesia. Food chemistry.
- Perumal, V. et al. (2014). Effect of cosmos caudatus kunth leaves on the lipid profile of a hyperlipidemia-induced animal model. Journal of Food Chemistry and Nutrition.
- Loh, S. P., & Hadira, O. (2011). In vitro inhibitory potential of selected Malaysian plants against key enzymes involved in hyperglycemia and hypertension. Malaysian journal of nutrition.
- Amalia, L. et al. (2012). Antihypertensive Potency of Wild Cosmos (Cosmos caudatus Kunth, Asteraceae) Leaf Extract. Journal of Pharmacology and Toxicology.
- Kumar, A. et al. (2012). Anti-inflammatory activity of Cosmos Caudatus. International Journal of Universal Pharmacy and Bio Sciences.
- Mohamed, N. et al. (2013). The effects of Cosmos caudatus (ulam raja) on dynamic and cellular bone histomorphometry in ovariectomized rats. BMC research notes.
- Nicola, F. et al. (1995). Phenylpropane derivatives from roots of Cosmos caudatus. Phytochemistry.
- Md Rasdi, N.H. et al. (2010). Antimicrobial studies of Cosmos caudatus Kunth. Journal of Medicinal Plants Research.