Sebahagian besar masyarakat mungkin telah sedia mengetahui bahawa antibiotik merupakan sejenis ubat yang digunakan untuk merawat jangkitan bakteria. Namun, terdapat juga sesetengah pihak yang tidak menyedari kepentingan menggunakan antibiotik secara rasional bagi mengelakkan kerintangan antibiotik.
Perkara ini harus dititikberatkan dalam kalangan masyarakat memandangkan penggunaan antibiotik didapati semakin meningkat dari tahun ke tahun. Sekiranya ubat ini masih digunakan dengan cara yang tidak sepatutnya, kerintangan antibiotik berkemungkinan untuk berlaku.
Apa itu Kerintangan Antibiotik?
Penggunaan antibiotik secara tidak wajar dan berpanjangan berisiko menyebabkan kerintangan antibiotik. Kerintangan antibiotik merupakan suatu keadaan yang menyebabkan bakteria menjadi kebal.
Antibiotik yang sama tidak dapat digunakan lagi untuk merawat jangkitan bakteria seperti sebelumnya.
Apabila jangkitan yang seterusnya terjadi, jangkitan bakteria ini akan menjadi lebih serius dan sukar dirawat. Sebagai alternatif, antibiotik dengan spektrum tindakan lebih luas yang lazimnya lebih sukar diperoleh dan mahal terpaksa digunakan untuk merawat jangkitan.
Di samping itu, masalah kerintangan antibiotik boleh mengakibatkan komplikasi jangkitan yang lebih teruk, meningkatkan kadar kemasukan ke hospital, memanjangkan tempoh rawatan, meningkatkan kos rawatan serta dapat menyebabkan kematian.
Langkah-langkah Mengelakkan Kerintangan Antibiotik
Antara perkara utama yang harus dilakukan untuk mengelakkan isu kerintangan antibiotik berlaku adalah dengan memastikan antibiotik digunakan secara rasional.
Sebagai contoh, penggunaan antibiotik haruslah dimulakan oleh doktor setelah penilaian kesihatan yang menyeluruh dilakukan.
Pesakit akan diberikan antibiotik hanya sekiranya gejala yang dialami telah disahkan sebagai jangkitan bakteria.
Terdapat segelintir individu yang berpendapat bahawa semua jangkitan yang berlaku disebabkan oleh bakteria dan dapat dirawat dengan antibiotik.
Namun begitu, dalam beberapa situasi, mereka sebenarnya mengalami gejala yang berpunca daripada jangkitan virus ataupun kulat. Misalnya, gejala seperti selesema, hidung berair dan sakit tekak selalunya disebabkan oleh jangkitan virus.
Penggunaan antibiotik untuk situasi ini adalah tidak bersesuaian dan dapat meningkatkan risiko kerintangan antibiotik.
Malah, keadaan ini juga dapat menambah kebarangkalian bagi kesan sampingan seperti loya, muntah, cirit-birit atau alahan kepada antibiotik untuk berlaku.
Bukan itu sahaja, terdapat juga pesakit yang seringkali meminta doktor yang merawat memberikan antibiotik walaupun tanpa keperluan.
Tindakan ini turut didorong oleh tanggapan yang tidak tepat tentang keberkesanan antibiotik untuk merawat semua jenis jangkitan.
Tanggapan ini harus diperbetul kerana penggunaan antibiotik tanpa keperluan hanya meningkatkan risiko berlakunya kerintangan antibiotik.
Seterusnya, sekiranya telah diberikan antibiotik, pesakit haruslah mengambil ubat tersebut mengikut dos, kekerapan dan tempoh yang ditetapkan. Pesakit hendaklah menghabiskan antibiotik mengikut arahan yang telah diberikan.
Tindakan berhenti mengambil antibiotik selepas beberapa hari kerana berasa sudah sihat adalah salah. Amalan ini akan menyebabkan pesakit cenderung untuk menyimpan baki antibiotik tersebut untuk kegunaan pada masa akan datang.
Selain itu, antibiotik tidak seharusnya dikongsikan kepada orang lain walaupun gejala yang dialami adalah sama.
Orang awam digalakkan untuk mengamalkan etika kebersihan diri bagi mengurangkan risiko jangkitan. Memakai pelitup muka di kawasan yang sesak serta kerap mencuci tangan mengikut kaedah yang disarankan merupakan langkah yang wajar dilakukan.
Golongan tertentu seperti warga emas dan kanak-kanak pula dinasihatkan agar mendapatkan suntikan vaksin, contohnya seperti vaksin pneumokokal. Melalui cara ini imuniti tubuh dapat ditingkatkan dan jangkitan dapat dielakkan.
Selain kegunaan antibiotik untuk kesihatan manusia, di sesetengah negara membangun, para penternak menggunakan antibiotik sebagai cara untuk mengelakkan jangkitan berlaku kepada haiwan ternakan.
Lantaran itu, antibiotik untuk haiwan peliharaan dan ternakan juga harus digunakan secara terkawal dan rasional untuk membantu mengelakkan kerintangan antibiotik.
Peranan Mengelakkan Kerintangan Antibiotik Tanggungjawab Semua
Secara kesimpulannya, memerangi kerintangan antibiotik merupakan tanggungjawab semua pihak, termasuklah ahli profesional kesihatan, pesakit dan orang awam secara umumnya.
Tindakan secara kolektif perlu diambil kerana kerintangan antibiotik merupakan ancaman kepada sistem kesihatan.
Jika isu ini tidak ditangani secara berhemah, pelbagai cabaran lain, seperti komplikasi jangkitan dan peningkatan kos penjagaan kesihatan akan berlaku.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).
Mohemmad Redzuan Mohemmad Rizal
En. Mohemmad Redzuan Bin Mohemmad Rizal ialah seorang pegawai farmasi bagi Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.