Apa itu Vaksin Pneumokokal Konjugat?
Vaksin pneumokokal konjugat atau pneumococcal conjugate vaccine (PCV) adalah vaksin yang diberikan untuk mencegah penyakit pneumokokal yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae.
Vaksin penumokokal konjugat (PCV) ini penting terutamanya kepada bayi atau kanak-kanak bagi mencegah daripada jangkitan yang berbahaya seperti radang paru-paru (pneumonia), radang sinus (sinusitis), jangkitan telinga tengah (otitis media), radang selaput otak dan saraf tunjang (meningitis) serta jangkitan bakteria dalam darah (septicaemia).
Kanak-kanak atau individu yang dijangkiti boleh membawa bakteria ini di dalam kerongkong mereka walaupun tanpa mengalami kesakitan. Kemudian, pembawa ini akan menyebarkan bakteria tersebut melalui titisan air daripada hidung atau mulut ketika bersin, batuk atau bernafas.

Sekiranya tidak dibendung, penyakit pneumokokal ini boleh menyebabkan komplikasi seperti cacat pendengaran, kecacatan otak dan kematian.
Fungsi Vaksin Pneumokokal Konjugat?
Pemberian vaksin pneumokokal kepada kanak-kanak bertujuan untuk mengurangkan kadar jangkitan dan kematian akibat penyakit pneumokokal dalam kalangan kanak-kanak bawah 5 tahun. Ini seterusnya dapat mengurangkan kos rawatan penyakit pneumokokal dan komplikasinya.
Bagi kanak-kanak di Malaysia, vaksin PCV ini diberikan dibawah Program Imunisasi Kebangsaan bermula pada 1 Disember 2020 di semua fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Vaksin pneumokokal akan diberikan sebanyak 3 dos iaitu 2 dos primer pada umur 4 bulan dan 6 bulan; diikuti dengan 1 dos penggalak (booster) pada umur 15 bulan.
Keberkesanan Vaksin PCV Ini
Vaksin pneumokokal konjugat yang digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan untuk tempoh dua 2 tahun pertama pelaksanaan adalah vaksin PCV-10 (Synflorix) yang memberi perlindungan terhadap 10 serotype bakteria pneumokokus.
Keberkesanan vaksin ini ada dilaporkan dalam kajian yang dijalankan di Belanda. Kajian tersebut mendapati keberkesanan vaksin PCV10 adalah sebanyak 91% terhadap kanak-kanak yang berumur dibawah 5 tahun. [1]
Kajian yang dijalankan di Bangladesh turut mendapati pengambilan vaksin PCV10 boleh mencegah pneumonia terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang telah menerima 3 dos vaksin tersebut. [2]
Kesan Sampingan atau Kesan Advers
Pemantauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di peringkat global menunjukkan sehingga 30 Jun 2020, terdapat 156 buah negara yang telah menyenaraikan vaksin pneumokokal konjugat (PCV) di dalam Program Imunisasi Kebangsaan mereka.
Seperti vaksin-vaksin lain yang digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan, vaksin pneumokokal adalah vaksin yang berkesan dan selamat.
Walau bagaimanapun, mungkin sesetengah individu masih mengalami kesan sampingan yang ringan seperti:
- Sedikit peningkatan suhu badan
- Kemerah-merahan dikawasan yang disuntik
- Bengkak di kawasan yang disuntik
Nasihat kepada Ibu bapa
Bagi, ibu bapa yang mempunyai anak yang lahir pada 1 Januari 2020 dan seterusnya yang telah mengambil 1 atau 2 dos suntikan vaksin pneumokokal di fasiliti kesihatan swasta boleh memilih untuk melengkapkan imunisasi tersebut di fasiliti kesihatan swasta atau klinik kesihatan KKM.
Ibu bapa yang memilih untuk melengkapkan imunisasi pneumokokal anak mereka di klinik kesihatan KKM dinasihatkan untuk membawa bersama rekod imunisasi anak mereka. Ini bagi memudahkan urusan penjadualan imunisasi oleh anggota kesihatan di klinik kesihatan KKM.
Rujukan
- Peckeu, L. et al. (2021). Impact and effectiveness of the 10-valent pneumococcal conjugate vaccine on invasive pneumococcal disease among children under 5 years of age in the Netherlands. Vaccine.
- McCollum, E. D. et al. (2020). Effectiveness of the 10-valent pneumococcal conjugate vaccine against radiographic pneumonia among children in rural Bangladesh: A case-control study. Vaccine.
- DG of Health. (2020). Kenyataan Akhbar KPK 24 November 2020 – Pelaksanaan Pemberian Vaksin Pneumokokal Di Bawah Program Imunisasi Kebangsaan Untuk Kanak-Kanak. From the Desk of the Director-General of Health Malaysia.
- NHS. Pneumococcal vaccine overview