Seperti bulan Rejab, bulan Syaaban juga mempunyai keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri. Jika bulan Rejab istimewa dengan berlakunya peristiwa Isra’ Mikraj, manakala bulan Syaaban pula istimewa dengan Nisfu Syaaban.
Bulan Syaaban juga merupakan bulan untuk kita mengejar kebaikan bagi persediaan menghadapi Ramadhan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Keutamaan bulan Syaaban di atas semua bulan itu, seperti keutamaan aku di atas semua Nabi dan keutamaan bulan Ramadhan itu di atas semua bulan ibarat keutamaan Allah SWT di atas semua hamba-Nya”.

Ibadah Puasa
Selain itu, umat Islam juga turut digalakkan berpuasa pada bulan Syaaban. Ini berdasarkan hadith daripada Usamah bin Zaid RA, beliau berkata:
Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan sebagaimana engkau berpuasa di dalam bulan Syaaban?
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Itu adalah bulan yang mana manusia sering lalai akannya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadhan. Bulan tersebut adalah bulan bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Rabb al-‘Alamin (Allah SWT), maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa” (Riwayat al-Nasa’ie)
Banyakkan Berselawat
As-Syeikh Othman Ahmad Syeikh al- Khaubawi di dalam kitab Duratun Nasihin menceritakan tentang amalan Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik:
“Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan laut dari sinar di bawah Arasy, lalu menciptakan satu Malaikat yang mempunyai dua sayap, satu sayapnya di timur dan sayapnya yang lain di barat, sedang kepalanya di bawah Arasy dan kedua kakinya di bawah lapis bumi ke tujuh. Apabila seseorang hambanya membaca selawat untukku di bulan Syaaban maka Allah SWT menyuruh Malaikat itu, supaya menyelam di air. Malaikat itupun menyelam, kemudian keluar dari dalam air serta mengibas-ngibaskan kedua sayapnya, sehingga bertitisanlah air dari bulu-bulu yang sangat banyak sekali. Maka Allah SWT menciptakan dari tiap-tiap titis air itu, satu Malaikat yang memohonkan ampunan bagi orang yang membaca selawat, sampai hari Kiamat.”
Malam Nisfu Syaaban
Malam Nisfu Syaaban adalah malam ke-15 dalam bulan Syaaban.
Pada malam Nisfu Syaaban, umat Islam ditekankan agar membanyakkan amalan seperti berzikir, membaca Al-Quran, Qiamullail dan berdoa memohon keampunan.
Malam ini ialah malam terbaik untuk meminta pengampunan dan rahmat daripada Allah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah SWT akan menampakkan (turun) pada malam Nisfu Syaaban, lalu mengampunkan dosa semua makhluk-Nya melainkan dosa orang musyrik dan orang yang saling bermusuhan.” (H.R Ibn Majah).
Selain itu, terdapat juga hadith yang menekankan amalan berqiamullail dan berpuasa.
“Apabila datang malam Nisfu Syaaban maka hendaklah kamu bangun mendirikan solat-solat sunat pada malamnya dan melaksanakan puasa sunat pada siang harinya. Kerana sesungguhnya Allah turun ke langit dunia pada malam tersebut bermula dari terbenam matahari”. (H.R Ibn Majah)
Di samping itu juga, mohonlah keampunan pada malam Nisfu Syaaban kerana pada malam itu pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Apabila tiba malam nisfu Syaaban, telah datang malaikat Jibril lalu berkata, pada malam ini , pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka. Maka dirikanlah solat dan pohonlah doa, sesungguhnya pada malam itu telah dibuka 300 pintu rahmat. Maka Allah mengampuni orang-orang yang tidak menyekutuiNya kecuali ahli sihir dan dukun, orang yang bermusuhan, peminum arak, penzina, orang yang memakan riba’, orang yang derhaka kepada ibubapanya, orang yang suka mengadu domba atau batu api, dan orang yang memutuskan persaudaraan. Sesungguhnya mereka itu tidak akan diampun sehinggalah mereka benar-benar bertaubat dan tidak akan mengulanginya.”
Begitulah sedikit sebanyak keistimewaan dan kelebihan bulan Syaaban. Marilah kita tingkatkan amalan kita dan rebutlah peluang yang ada.
Rujukan
- Ahmad Ayoup, M.M. (2016). Irsyad Al-Hadith Siri Ke-52: Kelebihan Bulan Sya’ban. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
- Jabatan Mufti Negeri Terengganu. Hukum Menghidupkan Malam Nisfu Syaaban.