Apa itu Kecelaruan Skizofreniform?
Kecelaruan skizofreniform atau dalam bahasa Inggerisnya schizophreniform disorder adalah sejenis penyakit psikotik yang mempunyai simptom-simptom sama seperti skizofrenia.
Hanya perbezaannya adalah kecelaruan jenis ini berlaku selama 1 hingga 6 bulan berbanding seumur hidup bagi skizofrenia.
Kecelaruan skizofreniform adalah kecelaruan psikotik jangka pendek yang boleh memesongkan cara anda:

- Berfikir
- Bertindak
- Meluahkan perasaan
- Memahami realiti
- Berinteraksi dengan orang lain
Penghidap kecelaruan jenis ini tidak dapat membezakan antara realiti daripada apa yang dibayangkan.
Simptom-simptom atau Gejala
Seperti skizofrenia, simptom-simptom atau gejala bagi kecelaruan skizofreniform adalah seperti:
- Delusi
- Halusinasi
- Pertuturan yang tidak teratur
- Kelakuan yang aneh dan pelik
- Kekurangan tenaga
- Tabiat yang tidak suka menjaga kebersihan dan dandanan diri
- Hilang minat atau keseronokan dalam hidup
- Menjauhi keluarga, rakan-rakan atau aktiviti sosial
Punca yang Menyebabkan Skizofreniform
Punca sebenar yang menyebabkan kecelaruan ini tidak diketahui tetapi pengkaji percaya terdapat beberapa faktor yang terlibat dalam penyakit ini.
Antaranya adalah:
- Genetik (Keturunan): Kecenderungan untuk anak-anak turut mengalami kecelaruan jenis ini adalah tinggi sekiranya ibu bapa turut menghidap kecelaruan tersebut. Walau bagaimanapun, ia tidak semestinya berlaku.
- Kimia otak: Penghidap skizofrenia atau skizofreniform mungkin mengalami ketidakseimbangan kimia tertentu dalam otak mereka. Kimia ini dikenali sebagai neurotransmiter iaitu bahan yang membantu sel-sel saraf menghantar isyarat atau mesej antara satu sama lain.
- Persekitaran: Interaksi sosial yang teruk atau peristiwa yang sangat memberi tekanan adalah beberapa faktor persekitaran yang boleh menyumbang kepada kecelaruan tersebut dalam kalangan mereka yang berisiko tinggi.
Adakah Kecelaruan Skizofreniform Lazim Berlaku?
Kira-kira seorang daripada 1000 orang mengalami skizofreniform sepanjang hidup mereka. Kecelaruan jenis ini biasanya berlaku secara sama kepada lelaki dan wanita berusia antara 18 hingga 24 tahun.
Meskipun begitu, kaum lelaki diserang pada usia yang lebih muda berbanding wanita. Wanita sering diserang dengan kecelaruan ini pada usia 24 hingga 35 tahun.
Diagnosis
Sekiranya pesakit menunjukkan simptom-simptom kecelaruan ini, ahli profesional kesihatan akan menjalankan pemeriksaan fizikal dan sejarah perubatan yang lengkap.
Sekiranya simptom-simptom tersebut tidak berkaitan dengan kecederaan atau penyakit fizikal, ahli profesional kesihatan akan merujuk pesakit kepada ahli psikologi atau psikiatri.
Ahli psikologi atau psikiatri akan menjalankan penilaian untuk menilai kecelaruan psikotik yang dialami. Diagnosis ahli psikologi atau psikiatri ini berdasarkan simptom-simptom dan kelakuan pesakit yang diperhatikan.
Kemudian, ahli profesional kesihatan mental ini akan menentukan sama ada simptom-simptom yang berlaku merujuk kepada kecelaruan tertentu yang telah digariskan oleh Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5).
Menurut DSM-5,pesakit akan didiagnosis dengan kecelaruan skizofreniform sekiranya episod kecelaruan ini berlaku sekurang-kurangnya 1 bulan dan kurang daripada 6 bulan.
Bagaimana Kecelaruan Skizofreniform Dirawat?
Biasanya, kecelaruan skizofreniform dirawat melibatkan gabungan antara psikoterapi dan ubat-ubatan.
Matlamat rawatan adalah untuk melindungi dan menstabilkan pesakit dan melegakan simptom-simptom yang dialami.
1. Psikoterapi
Terapi tingkah laku kognitif (CBT) adalah model terapi yang paling banyak digunakan untuk merawat skizofrenia dan kecelaruan berkaitan dengannya.
Terapi tingkah laku kognitif adalah model psikoterapi yang menekankan kepada pemikiran dan kelakuan. Ia membantu pesakit untuk mengetahui dengan lebih lanjut akan bagaimana pemikiran negatif mempengaruhi perasaan dan kelakuan mereka.
Terapi keluarga juga boleh membantu ahli keluarga untuk berurusan dengan pesakit skizofreniform dengan lebih baik dan berkesan.
2. Ubat-ubatan
Ubat antipsikotik adalah ubat-ubatan yang utama digunakan untuk merawat simptom-simptom psikotik seperti delusi, halusinasi dan pemikiran yang tidak teratur.
Antara ubat-ubat antipsikotik ini adalah:
- Chlorpromazine
- Haloperidol
- Clozapine
- Risperidone
- Quetiapine
- Ziprasidone
- Iloperidone
- Paliperidone
- Asenapine
- Lurasidone
Komplikasi
Kira-kira dua pertiga daripada pesakit yang mengalami kecelaruan skizofreniform mengalami skizofrenia. Dalam sesetengah kes, penghidap kecelaruan skizofreniform juga turut mengalami kemurungan, yang meningkatkan risiko bunuh diri.
Rujukan
- Cleveland Clinic.(2020). Schizophreniform Disorder.
- Bhandari, S. (2020). What Is Schizophreniform Disorder? WebMD.