Kecelaruan personaliti pinggiran atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai borderline personality disorder adalah satu kecelaruan kesihatan mental yang memberi impak kepada cara seseorang itu berfikir atau rasa terhadap dirinya atau orang lain. Kecelaruan ini selalu menyebabkan tindakan terburu-buru dan masalah dalam perhubungan.
Mereka yang mengalami kecelaruan personaliti pinggiran ini akan mengalami episod kemarahan yang melampau, kemurungan dan keresahan yang boleh berpanjangan sehingga beberapa jam mahupun hari.
Golongan yang mengalami kecelaruan ini cenderung untuk menjadi seorang yang sangat sensitif. Isu kecil boleh menjadi besar. Apabila sedih atau kecewa mereka akan sukar untuk menenangkan diri.
Kecelaruan ini biasanya bermula pada fasa awal seseorang itu meningkat dewasa dan biasanya akan beransur-ansur pulih setelah mereka meningkat dewasa.
Gejala-gejala Kecelaruan Personaliti Pinggiran
Mereka yang mengalami kecelaruan ini selalunya mempunyai emosi yang sentiasa berubah-rubah. Sering kali melihat sesuatu perkara pada sudut yang ekstrem seperti semuanya adalah baik atau semuanya adalah jahat.
Beberapa gejala-gejala atau tanda yang boleh dilihat bagi penghidap kecelaruan personaliti pinggiran ini adalah:
- Rasa kosong yang berpanjangan.
- Ingin mencederakan diri sendiri.
- Mempunyai hubungan yang tegang antara ahli keluarga, rakan-rakan dan pasangan.
- Tindakan yang terburu-buru dan berbahaya seperti memandu secara berbahaya, seks rambang, penyalahgunaan dadah dan makan terlalu banyak.
- Rasa ingin bunuh diri.
- Panas baran atau marah tidak bertempat.
- Mempunyai perasaan takut ditinggalkan yang melampau.
- Mempunyai perhubungan yang tidak stabil seperti menyukai seseorang itu pada satu ketika dan secara tiba-tiba berubah dengan menyatakan individu tersebut tidak mempedulikannya atau kejam.
- Identiti dan imej yang diri yang sering berubah dengan cepat seperti berubah matlamat, melihat diri sendiri buruk atau teruk atau dirinya tidak wujud.
Punca atau Faktor yang Menyumbang Kepada Kecelaruan Ini
Punca sebenar yang menyebabkan kecelaruan personaliti pinggiran ini masih tidak diketahui dengan jelas. Para pengkaji percaya beberapa faktor ini mungkin menyumbang kepada kecelaruan ini.
1. Faktor Keturunan
Mereka yang mempunyai ahli keluarga yang pernah mengalami kecelaruan ini berisiko tinggi untuk turut mengalaminya.
2. Faktor Persekitaran dan Sosial
Faktor seperti peristiwa yang menyebabkan trauma, penderaan, pengabaian atau kesukaran semasa zaman kanak-kanak boleh menjadi faktor kepada kecelaruan personaliti ini.
Selain itu, mempunyai hubungan yang tidak stabil dan penuh konflik turut boleh menjadi faktor penyumbang.
3. Faktor Otak
Pengkaji mendapati mereka yang mengalami kecelaruan ini mempunyai struktur dan fungsi yang berubah pada bahagian otak yang mengawal emosi dan dorongan.
Walau bagaimanapun, pengkaji tidak pasti sama ada perubahan pada otak ini menyebabkan kecelaruan personaliti ini atau kecelaruan personaliti ini yang menyebabkan perubahan pada otak tersebut.
Namun, harus diingat juga faktor-faktor ini bukanlah syarat wajib yang mesti ada untuk seseorang itu menghidap kecelaruan personaliti pinggiran.
Sesiapa sahaja boleh mengalami kecelaruan ini dan mereka yang mempunyai tanda-tanda daripada senarai faktor ini tidak semestinya mengalami kecelaruan ini.
Terapi dan Rawatan
Kecelaruan personaliti pinggiran boleh diubati walaupun dahulunya dikatakan sukar untuk dipulihkan.
Apa yang penting ialah penghidap kecelaruan ini mendapat rawatan atau terapi daripada ahli terapi yang bertauliah serta mendapat rawatan yang khusus.
Psikoterapi
Psikoterapi atau terapi perbualan adalah pendekatan rawatan utama untuk kecelaruan personaliti pinggiran.
Ahli terapi akan merangka terapi yang sesuai mengikut keperluan pesakit. Matlamat terapi ini adalah untuk:
- Belajar untuk menguruskan emosi yang menyebabkan rasa tidak selesa.
- Mengurangkan tindakan yang terburu-buru.
- Belajar mengenai kecelaruan personaliti pinggiran.
- Menambah baik perhubungan.
Antara psikoterapi yang biasa digunakan adalah:
- Dialectical Behavior Therapy (DBT). Terapi ini melibatkan individu dan kumpulan. Terapi ini direka khas untuk merawat kecelaruan personaliti pinggiran. DBT melibatkan pembelajaran teknik bagi mengawal dan mengurus emosi, perhubungan dan bertolak ansur dengan kesukaran.
- Terapi Tingkah laku Kognitif (CBT). Terapi ini akan membantu penghidap kecelaruan personaliti pinggiran untuk mengenal pasti kepercayaan dan tingkah laku yang merupakan punca kepada persepsi yang tidak tepat terhadap diri mereka atau orang lain. CBT boleh membantu mengurangkan perubahan emosi dan keresahan serta mengurangkan tingkah laku yang ingin mencederakan diri sendiri.
- Terapi Berasaskan Mentalisasi (MBT). Terapi ini akan membantu penghidap mengenal pasti pendapat dan perasaan mereka pada satu-satu situasi dan mencipta perspektif alternatif terhadap situasi tersebut. Terapi ini menekankan berfikir sebelum bertindak.
Ubat-ubatan
Tiada ubat khusus untuk merawat kecelaruan personaliti pinggiran. Ubat-ubatan yang boleh digunakan lebih kepada untuk merawat simptom-simptom atau masalah yang turut berlaku bersama-sama kecelaruan ini.
Contohnya seperti kemurungan, keresahan, keagresifan dan tindakan terburu-buru (tidak berfikir panjang).
Antara ubat-ubatan yang boleh digunakan adalah ubat antidepresi, antipsikotik dan ubat penstabil emosi.
Apakah Peranan Anda?
Sekiranya ada ahli keluarga, pasangan atau rakan-rakan anda menghidapi kecelaruan personaliti pinggiran ini. Beberapa langkah yang anda boleh lakukan adalah seperti berikut:
- Peka dengan simptom-simptom kecelaruan ini.
- Mengalakkan mereka agar menjalani rawatan.
- Bercakap dengan mereka dengan lembut.
- Sentiasa bertenang dalam berinteraksi dengan mereka.
Rujukan
- National Institute of Mental Health. 2017. Borderline Personality Disorder. https://www.nimh.nih.gov/health/topics/borderline-personality-disorder/index.shtml [diakses pada 8 Ogos 2020].
- Mayo Clinic Staff. 2019. Borderline personality disorder. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/borderline-personality-disorder/symptoms-causes/syc-20370237 [diakses pada 8 Ogos 2020].
- National Alliance on Mental Illness. 2017. Borderline Personality Disorder. https://www.nami.org/About-Mental-Illness/Mental-Health-Conditions/Borderline-Personality-Disorder/Treatment [diakses pada 8 Ogos 2020].