Kecelaruan kemurungan berterusan atau dalam bahasa Inggerisnya “Persistent Depressive Disorder” adalah bentuk kemurungan yang kronik. Istilah distimia (dysthymia) turut merujuk kepada kemurungan jenis ini.
Mereka yang menghidap kecelaruan kemurungan berterusan lazimnya akan hilang minat terhadap aktiviti harian, berasa berputus asa, kurang produktiviti dan kurang keyakinan diri.
Perasaan ini akan berlanjutan sehingga bertahun lamanya dan akan mengganggu urusan harian, perhubungan, kerja dan persekolahan pesakit.

Dianggarkan sebanyak 12% populasi dunia mengalami kemurungan termasuklah kecelaruan kemurungan berterusan atau distimia ini.
Kecelaruan kemurungan berterusan ini lebih ringan dan kurang teruk jika dibandingkan dengan kecelaruan episod kemurungan major. Tetapi ia kekal untuk jangka masa yang lama, selalunya 2 tahun atau lebih.
Simptom-simptom atau Gejala
Simptom-simptom kecelaruan kemurungan berterusan adalah sama seperti kecelaruan episod kemurungan major tetapi kurang kuat atau tidak banyak.
Setiap pesakit boleh mengalami simptom-simptom yang berbeza-beza. Antaranya adalah:
- Selalu atau hampir setiap hari mengalami kesedihan atau kemurungan.
- Sukar untuk tidur atau terlebih tidur hampir setiap hari.
- Perubahan berat badan yang ketara (sama ada semakin berat atau semakin kurus).
- Hilang keseronokan terhadap perkara yang dahulunya menyeronokkan.
- Keletihan atau tidak bertenaga hampir setiap hari.
- Rasa tidak berguna, rasa berputus asa atau rasa bersalah yang berlebihan hampir setiap hari.
- Sukar untuk memberi tumpuan atau membuat keputusan hampir setiap hari.
- Sering berfikir untuk membunuh diri, merancang untuk membunuh diri dan cubaan untuk membunuh diri.
Punca
Tiada punca yang jelas yang menyebabkan kemurungan. Ahli profesional kesihatan mental berpendapat, ketidakseimbangan kimia dalam otak mungkin menjadi penyumbang kepada kemurungan.
Terdapat beberapa faktor lain yang boleh menyumbang kepada kemurungan seperti:
- Persekitaran: Stres yang kronik atau trauma boleh menyebabkan kemurungan.
- Biologi: Penghidap kecelaruan kemurungan berterusan ini mungkin mengalami perubahan fizikal pada bahagian otak mereka. Penghidap kemurungan menunjukkan pengurangan isipadu otak di bahagian frontal.
- Genetik: Kecelaruan kemurungan berterusan lebih lazim berlaku dalam kalangan mereka yang mempunyai ahli keluarga atau saudara mara yang turut menghidap kemurungan.
Diagnosis
Menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorder (DSM-5), untuk seseorang itu didiagnosis sebagai menghidap kecelaruan kemurungan berterusan atau distimia, mereka mestilah memenuhi kriteria-kriteria berikut:
- Murung hampir setiap hari sekurang-kurangnya selama 2 tahun. Bagi kanak-kanak atau remaja, mereka akan menunjukkan emosi mudah marah atau meragam berbanding murung dan berlaku sekurang-kurangnya selama 1 tahun.
- Menunjukkan simptom-simptom berikut (2 atau lebih) semasa kemurungan:
- Kurang selera makan atau makan berlebihan
- Insomnia atau terlebih tidur
- Kurang keyakinan diri
- Keletihan atau tidak bertenaga
- Tidak dapat memberikan tumpuan atau membuat keputusan
- Berputus asa
- Bagi jangka masa 2 tahun (1 tahun bagi kanak-kanak atau remaja), individu tersebut tidak pernah menunjukkan ketiadaan simptom-simptom selama lebih daripada 2 bulan.
- Menunjukkan kriteria kecelaruan episod kemurungan major selama 2 tahun.
- Gangguan tidak disebabkan oleh masalah kesihatan mental yang lain.
- Simptom-simptom yang berlaku tidak disebabkan oleh penyalahgunaan dadah, ubat-ubatan atau penyakit (seperti hipotiroidisme).
- Simptom-simptom yang terjadi menyebabkan gangguan terhadap hubungan sosial,pekerjaan atau kehidupan harian yang lain.
Rawatan
Secara umumnya, rawatan kepada kecelaruan kemurungan berterusan tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan rawatan kecelaruan episod kemurungan major.
Rawatan untuk kecelaruan ini akan berbeza-beza antara satu individu dengan individu yang lain bergantung kepada simptom-simptom, keterukan atau tempoh ia berlaku.
Psikoterapi
Lazimnya, rawatan psikoterapi adalah rawatan pertama yang disarankan bagi kanak-kanak dan remaja tetapi ia turut bergantung kepada individu.
Selain kaunseling, terapi tingkah laku kognitif (CBT) turut berguna untuk merawat kecelaruan kemurungan berterusan.
Terapi tingkah laku kognitif ini boleh membantu pesakit untuk membina pemikiran yang positif.
Ubat-ubatan
Terdapat beberapa jenis ubat antidepresan yang lazim digunakan untuk merawat kecelaruan kemurungan berterusan seperti:
- Selective serotonin reuptake inhibitor (SSRI) seperti fluoxetine dan sertraline.
- Serotonin and norepinephrine reuptake inhibitor (SNRI) seperti desvenlafaxine dan duloxetine.
- Antidepresan trisiklik seperti amitriptyline dan amoxapine.
Gabungan kaedah rawatan psikoterapi dan ubat-ubatan dilihat lebih berkesan berbanding hanya satu kaedah rawatan digunakan.
Komplikasi
Sekiranya kemurungan ini tidak dirawat, beberapa keadaan atau kesan yang boleh berlaku adalah:
- Mengurangkan kualiti hidup.
- Penyalahgunaan dadah.
- Mengalami konflik dalam perhubungan.
- Kemerosotan prestasi di tempat kerja atau sekolah.
- Turut mengalami kecelaruan keresahan, kemurungan major dan kecelaruan emosi yang lain.
- Berfikir untuk membunuh diri atau cubaan membunuh diri.
Rujukan
- Patel RK, Rose GM. Persistent Depressive Disorder. [Updated 2021 Jul 1]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: NCBI
- Mayo Clinic Staff. (2018). Persistent depressive disorder (dysthymia). MayoClinic