Kehidupan pada hari ini menyukarkan untuk seseorang itu hidup bebas daripada hutang. Pandemik COVID-19 yang melanda dunia turut menjejaskan ramai orang termasuklah mereka yang berniaga. Keadaan ini memberi impak yang besar kepada kesihatan mental rakyat yang boleh membawa kepada kemurungan akibat hutang.
Pendapatan yang berkurangan atau kehilangan sumber pendapatan menambah tekanan dan bebanan untuk seseorang itu menjelaskan hutang. Keadaan ini akan boleh mencetuskan kemurungan setiap kali mereka memikirkan berkenaan hutang.
Menurut laporan BH Online pada April 2021, hutang isi rumah telah meningkat ke paras 93.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Antara faktor yang menyebabkan peningkatan ini adalah kerana tanggungan pinjaman kad kredit, kenderaan dan rumah.

Pengangguran juga turut meningkat iaitu kepada 768,700 orang atau pada kadar 4.8 % pada Jun 2021.
Kesannya, ramai dalam kalangan rakyat di negara ini mengalami kesukaran untuk menjelaskan bil, pinjaman kenderaan atau pinjaman rumah mereka.
Situasi ini akan mendedahkan rakyat negara ini kepada masalah kesihatan mental seperti kemurungan atau keresahan.
Simptom-simptom Kemurungan Akibat Hutang
Bimbang akan kedudukan kewangan diri atau keluarga boleh menjurus kepada:
- Peningkatan keresahan
- Membuat keputusan yang salah
- Berasa tidak berguna
Data daripada Centers for Disease Control and Prevention (CDC) menunjukkan bahawa kemurungan berkurang apabila tahap pendapatan keluarga meningkat.
Mereka yang mempunyai masalah kewangan atau hutang berkemungkinan tinggi untuk mengalami simptom-simptom kemurungan seperti:
- Keyakinan diri yang rendah
- Kelesuan
- Gangguan tidur
- Hilang minat terhadap perkara yang lazimnya
- Peningkatan keresahan
- Mudah marah
- Hilang selera makan atau terlebih makan
- Berfikir untuk membunuh diri
Hutang Boleh Memburukkan Lagi Kemurungan
Kemurungan akibat hutang adalah istilah yang digunakan apabila hutang atau kewangan menjadi pencetus utama yang menyebabkan kemurungan.
Walaupun ia bukan istilah rasmi. Sebaliknya, ia adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan gejala kemurungan yang disebabkan oleh tekanan emosi akibat hutang.
Kesan Kemurungan Akibat Hutang
Tekanan dan kemurungan yang berpanjangan boleh menjejaskan kehidupan anda dalam beberapa cara. Begitu juga dengan kemurungan akibat hutang, ia adalah sama.
Laporan kajian dalam jurnal Social Science & Medicine mendapati hutang kewangan yang tinggi berbanding aset yang ada dikaitkan dengan tekanan dan kemurungan yang lebih tinggi. Malah, ia turut menyebabkan peningkatan tekanan darah dan memburukkan kesihatan secara keseluruhannya.
Bagaimana untuk Kurangkan Tekanan Berkenaan Wang atau Hutang?
Terdapat beberapa langkah yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan tekanan yang dialami dan mengurangkan bebanan hutang yang dihadapi.
1. Uruskan Kewangan Anda
Pinjaman pendidikan, pinjaman kereta, pinjaman rumah atau pinjaman kad kredit mungkin memeningkan anda. Adalah penting untuk anda tahu cara terbaik untuk menguruskan kewangan anda dengan kekangan yang ada.
Di negara ini terdapat agensi yang boleh membantu memberikan khidmat nasihat dan pendidikan dalam pengurusan kredit (hutang).
Agensi Kewangan dan Pengurusan Kredit (AKPK) adalah sebuah agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia untuk membantu anda menguasai situasi kewangan anda.
2. Dapatkan rawatan atau sokongan untuk kemurungan yang dihadapi
Kemurungan adalah keadaan kesihatan mental yang serius yang menjejaskan berjuta-juta orang. Walaupun anda berasakan kemurungan anda akan hilang selepas anda mempunyai lebih banyak wang, ia mungkin mengambil masa untuk anda betul-betul stabil dari segi kewangan.
Selain itu, hutang mungkin bukan satu-satunya perkara yang menyebabkan gejala kemurungan anda. Sebab-sebab lain boleh mendapat manfaat daripada rawatan.
3. Pertimbangkan ubat untuk kemurungan
Jika anda belum mendapatkan diagnosis atau rawatan, anda boleh menghubungi ahli profesional kesihatan untuk membincangkan pilihan rawatan seperti ubat-ubatan dan terapi.
Sesetengah orang mempunyai stigma berkenaan kesihatan mental. Oleh itu, mereka cuba mengelak daripada mendapatkan rawatan dan mengambil ubat-ubatan.
Bagi anda yang disahkan menghidap kemurungan, pertimbangkan untuk mendapatkan ubat antidepresi. Ubat antidepresi pada dos yang rendah boleh membantu anda berasa lebih baik. Ia membenarkan untuk anda mengambil langkah untuk memperbaiki kewangan anda.
4. Bagi sedikit ruang kepada diri anda
Jika anda terus memberitahu diri anda bahawa masalah anda terlalu besar atau anda bukan jenis orang yang boleh menyelesaikan masalah mereka sendiri. Rasanya agak mustahil untuk anda memperbaiki keadaan diri anda.
Sebaliknya, jika anda melihat situasi kewangan anda sebagai cabaran yang sedang dipelajari untuk diatasi, anda boleh berusaha untuk memecahkan pemikiran atau tanggapan negatif terseb