Cuka epal banyak digunakan dalam petua-petua atau masakan. Walau bagaimanapun, mungkin ada yang tidak mengetahui cara minum cuka epal yang betul. Begitu juga dengan kuantiti atau dos yang sesuai untuk diambil setiap hari bagi merawat masalah kesihatan yang dialami.
Cuka epal mempunyai banyak khasiat termasuklah untuk hilangkan berat badan, membantu penghadaman, mengurangkan kadar gula dalam darah, mengurangkan kadar kolesterol dan banyak lagi.
Secara ringkasnya, cuka epal dihasilkan daripada proses fermentasi buah epal. Komponen utama dalam cuka epal adalah asid asetik. Asid asetik ini yang memberi bau dan rasa masam dalam cuka. Para pengkaji percaya bahawa asid asetik ini juga yang menyumbang kepada khasiat cuka epal.
Artikel kali ini menggariskan beberapa panduan cara minum cuka epal dan kuantiti yang bersesuai untuk diamalkan sebagai rawatan dirumah.
1. Bagi Tujuan Menurunkan Berat Badan
Pengambilan cuka epal dipercayai boleh membantu menurunkan berat badan. Cuka epal boleh meningkatkan rasa kenyang dan secara tidak langsung boleh mengurangkan jumlah makanan yang dimakan. [1]
Satu kajian di Jepun yang dijalankan selama 3 bulan mendapati cuka epal yang dimakan sebanyak 15 mililiter atau 30 mililiter sehari boleh mengurangkan berat kira-kira sebanyak 1.2 kg dan 1.7 kg. [2]
Kajian klinikal lain turut mendapati gabungan antara diet pengurangan kalori sebanyak 250 kcal sehari dan 30 mililiter cuka epal sehari selama 3 bulan berjaya mengurangkan berat peserta dalam kajian tersebut. Ia turut menurunkan nilai indeks BMI dan ukur lilit pinggul. [3]
Cara Minum Cuka Epal dan Kuantiti:
- Campurkan cuka epal sebanyak 1 atau 2 sudu makan (15ml atau 30ml) ke dalam segelas air (250ml).
- Amalkan sekali sehari.
- Cuka epal ini juga boleh dicampurkan dalam salad.
2. Bagi Tujuan Mengawal Paras Gula Darah
Salah satu keistimewaan lain cuka epal adalah boleh membantu mengawal kadar gula dalam darah khususnya bagi hidangan tinggi karbohidrat.
Cuka boleh mencegah lonjakan gula dalam darah dan melambatkan perut kosong terutamanya jika dimakan sebelum hidangan tinggi karbohidrat. [4]
Selain itu, pengambilan cuka sebelum tidur juga menunjukkan nilai gula darah puasa yang rendah sewaktu bangun keesokkan hari. [5]
Beberapa kajian menunjukkan pengambilan cuka epal sebanyak 10 hingga 20 mililiter sebelum atau ketika makan boleh menurunkan kadar gula dalam darah selepas makan. Menariknya juga, pengambilan cuka ini juga turut menambahbaik kesensitifan insulin. [6, 7, 8]
Cara Minum Cuka Epal dan Kuantiti:
- Campurkan cuka epal sebanyak 10 mililiter atau 20 mililiter ( 2 sudu teh atau 4 sudu teh) ke dalam secawan air kosong (> 40 mililiter).
- Minum sebelum atau ketika makan terutamanya bagi hidangan makanan yang tinggi karbohidrat seperti nasi, roti putih dan sebagainya.
3. Bagi Tujuan Menambah Baik Penghadaman
Cuka epal juga adalah pilihan yang baik jika anda mengalami masalah penghadaman. Kebiasaannya, makanan yang tinggi protein seperti daging merah boleh menyumbang kepada masalah penghadaman.
Secara teorinya, cuka epal boleh meningkatkan keasidan perut dan membantu meningkatkan penghasilan enzim pepsin. Enzim ini berperanan menghancurkan protein. [9]
Rekod-rekod perubatan lama turut menyarankan cuka sebagai ubat kepada masalah penghadaman. Sebagai contoh, cuka epal turut mengandungi pectin yang berperanan sebagai makanan untuk bakteria baik.
Walau bagaimanapun, tiada kajian klinikal khusus yang dijalankan berkaitan peranan cuka dalam sistem penghadaman dan dos yang sesuai. Hanya terdapat kajian sampingan yang menggunakan cuka epal dalam merawat masalah gastrousus bagi pesakit Parkinson. [10]
Kebiasaannya, mereka yang minum cuka epal untuk penghadaman mengambil kira-kira 1-2 sudu makan cuka epal dicampur ke dalam segelas air.
Cara Minum Cuka Epal dan Kuantiti:
- Campurkan cuka epal sebanyak 1 atau 2 sudu makan (15ml – 30 ml) ke dalam segelas air.
- Minum sebelum makan.
4. Bagi Tujuan Menetapkan Kitaran Haid
Masalah kitaran haid yang tidak teratur adalah disebabkan oleh sindrom ovari polisistik. Sindrom ini turut melibatkan kadar hormon androgen yang tinggi, rintangan insulin dan sista ovari.
Terdapat kajian yang menunjukkan pengambilan cuka epal sebanyak 15 mililiter setiap hari selama 3 hingga 4 bulan boleh memulihkan kitaran haid, rintangan insulin dan fungsi pengovulan bagi pesakit sindrom ovari polisistik. [11]
Cara Minum Cuka Epal dan Kuantiti:
- Campurkan 1 sudu makan (15 mililiter) cuka epal bersama 100 mililiter air kosong.
- Minum selepas makan malam.
- Amalkan setiap hari.
Kesan Sampingan dan Bagaimana Untuk Mengelaknya
Secara asasnya, cuka epal adalah selamat dimakan oleh kebanyakkan orang. Tetapi, sesetengah individu mungkin mengalami kesan sampingan ketika mengambil cuka ini.
Beberapa perkara yang harus diberi perhatian adalah:
- Keasidan cuka epal adalah tinggi, adalah disarankan mencampurkan atau mencairkan cuka ini dengan air sebelum meminumnya.
- Keasidan cuka epal juga boleh menyebabkan kerosakan pada gigi jika diminum secara kerap. Untuk mengatasi risiko ini, minum campuran cuka ini dengan straw minuman dan berkumur dengan air selepas meminum cuka ini. [12]
- Pengambilan cuka epal pada jumlah yang tinggi iaitu kira-kira 237 mililiter setiap hari selama beberapa tahun boleh mengakibatkan kesan negatif dan berbahaya seperti menyebabkan kadar kalium yang rendah dalam darah dan pereputan tulang (osteoporosis). [13]
- Sesetengah orang mungkin akan mengalami kesan sampingan seperti loya, sendawa atau refluks selepas mengambil cuka epal. Tindakan yang harus diambil ialah berhenti mengambil cuka ini dan berbincang dengan doktor anda sama ada anda sesuai untuk mengambil cuka epal ini atau tidak. [14, 15]
Rumusan
Cuka epal sememangnya mempunyai banyak manfaat dan khasiat kepada kesihatan kita.
Namun begitu, harus diingat juga bahawa cuka ini mempunyai keasidan yang agak tinggi. Oleh itu, sentiasa cairkan atau campur cuka ini dengan air terlebih dahulu sebelum meminumnya.
Berdasarkan kajian-kajian yang dijalankan, kuantiti sebanyak 1 hingga 2 sudu makan (15-30 miliiter) sudah mencukupi untuk mendapat manfaat daripada cuka ini.
Rujukan
- Ostman, E. et al. (2005). Vinegar supplementation lowers glucose and insulin responses and increases satiety after a bread meal in healthy subjects. European journal of clinical nutrition.
- Kondo, T. et al. (2009). Vinegar intake reduces body weight, body fat mass, and serum triglyceride levels in obese Japanese subjects. Bioscience, biotechnology, and biochemistry.
- Khezri, S.S. et al. (2018). Beneficial effects of Apple Cider Vinegar on weight management, Visceral Adiposity Index and lipid profile in overweight or obese subjects receiving restricted calorie diet: A randomized clinical trial. Journal of Functional Foods
- Petsiou, E. I. et al. (2014). Effect and mechanisms of action of vinegar on glucose metabolism, lipid profile, and body weight. Nutrition reviews.
- White, A. M., & Johnston, C. S. (2007). Vinegar ingestion at bedtime moderates waking glucose concentrations in adults with well-controlled type 2 diabetes. Diabetes care.
- Johnston, C. S et al. (2004). Vinegar improves insulin sensitivity to a high-carbohydrate meal in subjects with insulin resistance or type 2 diabetes. Diabetes care.
- Shishehbor, F. et al. (2017). Vinegar consumption can attenuate postprandial glucose and insulin responses; a systematic review and meta-analysis of clinical trials. Diabetes research and clinical practice.
- Johnston, C. S. et al. (2010). Examination of the antiglycemic properties of vinegar in healthy adults. Annals of nutrition & metabolism.
- Heda R, Toro F, Tombazzi CR. Physiology, Pepsin. [Updated 2023 May 1]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2024 Jan-. Available from: NCBI
- Neiworth-Petshow, E. M., & Baldwin-Sayre, C. (2018). Naturopathic Treatment of Gastrointestinal Dysfunction in the Setting of Parkinson’s Disease. Integrative medicine.
- Wu, D. et al. (2013). Intake of vinegar beverage is associated with restoration of ovulatory function in women with polycystic ovary syndrome. The Tohoku journal of experimental medicine.
- Gambon, D. L. et al. (2012). [Unhealthy weight loss. Erosion by apple cider vinegar]. Nederlands tijdschrift voor tandheelkunde.
- Lhotta, K. et al. (1998). Hypokalemia, hyperreninemia and osteoporosis in a patient ingesting large amounts of cider vinegar. Nephron.
- Darzi, J. et al. (2014). Influence of the tolerability of vinegar as an oral source of short-chain fatty acids on appetite control and food intake. International journal of obesity.
- Johnston, C. S. et al. (2008). A preliminary evaluation of the safety and tolerance of medicinally ingested vinegar in individuals with type 2 diabetes. Journal of medicinal food.