Kecederaan tisu lembut adalah trauma kepada kulit, otot, tendon atau ligamen dalam badan. Kecederaan jenis ini biasnaya berlaku semasa aktiviti sukan atau senaman. Namun, kadang-kadang ia boleh juga berlaku semasa anda melakukan aktiviti harian.
Kecederaan tisu lembut boleh dibahagikan kepada dua kategori asas iaitu kecederaan akut dan kecederaan lewah guna (overuse).
- Kecederaan akut boleh disebabkan oleh trauma yang tiba-tiba seperti jatuh, terkehel (terseliuh), atau pukulan ke badan.
- Kecederaan lewah guna berlaku secara beransur-ansur dari masa ke masa apabila latihan olaharaga atau aktiviti lain dilakukan secara berulang-ulang secara kerap dimana bahagian badan tersebut tidak sempat untuk sembuh.

Jenis-jenis Kecederaan Tisu Lembut
Secara umumnya, terdapat 8 jenis kecederaan tisu lembut yang lazim berlaku iaitu:
1. Kontusi (lebam)
Kontusi ialah kecederaan pada tisu lembut yang terhasil akibat daya tumpul seperti sepakan, jatuh atau pukulan. Kesannya, ia akan menyebabkan kesakitan, bengkak dan perubahan warna kulit (lebam).
2. Terseliuh atau Terkehel
Terseliuh, terkehel atau tergeliat adalah koyakan separa pada ligamen dan selalu disebabkan oleh pusingan atau merenggut.
3. Tendonitis
Tendonitis adalah keradangan pada tendon. Tendon adalah tisu fleksibel yang menghubungkan otot dan tulang. Tendonitis biasanya berlaku akibat kecederaan lewah guna di bahagian terkesan akibat daripada pergerakan berulang-ulang.
Tempat yang biasa berlakunya tendonitis adalah tangan, siku, pergelengan tangan, bahu, pinggul, lutut, buku lali dan kaki.
4. Bursitis
Bursitis adalah keradangan pada bursa iaitu kantung berisi bendalir yang menyediakan kusyen antara tulang dan otot atau tendon. Bursitis juga berlaku disebabkan oleh kecederaan lewah guna tetapi boleh juga berlaku disebabkan oleh trauma pada sendi.
Anggota badan yang lazimnya mengalami bursitis adalah bahu, siku, pinggul, buku lali dan kaki.
5. Fraktur stres
Fraktur stres adalah keretakan kecil di bahagian tulang yang selalunya berlaku pada tulang yang menampung berat seperti pinggul, betis dan kaki.
Fraktur stres biasanya disebabkan oleh kecederaan lewah guna dan peningkatan aktiviti fizikal.
6. Strain (Terikan)
Strain atau terikan adalah kecederaan pada otot atau tendon yang selalunya disebabkan oleh lewah guna, daya atau regangan.
7. Konkusi
Konkusi adalah impak yang berlaku kepada tisu otak yang sering menyebabkan kerosakan pada fungsi otak. Kecederaan jenis ini biasanya berlaku kepada atlet atau individu yang terlibat dalam sukan sentuhan seperti bola sepak, ragbi dan tinju.
8. Ligamen Krusiat Anterior (ACL)
Selalunya dirujuk sebagai ACL, ligamen krusiat anterior adalah ligamen di dalam kapsul sendi lutut yang membolehkan kestabilan pusingan sendi lutut.
Kecederaan ligamen ini biasanya disebabkan oleh aktiviti seperti melompat, mendarat, berputar atau mengubah arah semasa melakukan aktiviti sukan.
Tanda-tanda atau Gejala Kecederaan Akut
Kecederaan akut akan menyebabkan tanda atau gejala seperti berikut:
- Luka melecet
- Lelasan yang menjejaskan lapisan kulit dan kelihatan seperti melecur
- Avulsi iaitu cebisan kulit tercabut keluar dan berpotensi cebisan otot
- Kontusi yang kelihatan jelas akibat penyahwarnaan (lebam) dan selalunya menyebabkan lebam
- Terseliuh, terkehel atau terseliuh
Tanda-tanda dan Gejala Kecederaan Lewah Guna (Overuse)
Kecederaan lewah guna biasanya menyebabkan iritasi atau keradangan seperti tendonitis, bursitis atau epikondilitis.
Kecederaan lewah guna boleh berlaku di semua bahagian badan dan sukar untuk menentukan satu set tanda dan gejala. Berikut adalah beberapa “tanda” atau perkara yang perlu diberi perhatian:
- Kesakitan
- Rasa atau bunyi “letusan” atau “sentapan”
- Pergerakan yang terhad
- Bengkak
- Lebam
Bagaimana Merawat Kecederaan Tisu Lembut?
Dalam kebanyakan kes, kecederaan tisu lembut akan sembuh dengan sedirinya tanpa rawatan istimewa. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa langkah rawatan yang boleh dilakukan untuk mempercepatkan pemulihan.
Antaranya adalah:
- Berehat: Berehat boleh mempercepatkan kecederaan anda untuk pulih.
- Pek ais: Meletakkan pek ais pada bahagian cedera seperti pada bahagian terseliuh atau bengkak boleh membantu mempercepatkan pemulihan. Ulang penggunaan pek ais ini dalam sela masa 1 atau 2 jam pada 48 jam pertama selepas kecederaan.
- Ubat tahan sakit: Sekiranya perlu, anda boleh mengambil ubat tahan sakit seperti paracetamol atau ibuprofen. Ubat tahan sakit ini boleh dibeli di farmasi.
- Elevasi: Menaikkan bahagian cedera lebih daripada paras dada boleh membantu mengurangkan bengkak.
- Pembedahan: Pembedahan mungkin diperlukan bagi kecederaan yang teruk seperti ACL.
Rujukan
- Johns Hopkins Medicine. (n.d). Soft-tissue injuries.
- Brouhard, R. (2021). What Are Soft Tissue Injuries? verywellhealth