Alahan ikan mungkin turut dikelaskan dalam alahan makanan laut. Meskipun begitu, tidak semua orang yang mempunyai alahan makanan laut turut menghidap alahan ikan. Begitu juga sebaliknya.
Tidak seperti alahan makanan yang lain, alahan ikan selalunya lebih kerap berlaku pada usia dewasa. Terdapat laporan yang melaporkan bahawa 40 peratus daripada orang yang melaporkan alahan ikan tidak mempunyai masalah dengan ikan sehingga mereka dewasa.
Individu yang menghidap alahan ikan mungkin perlu mengelakkan semua jenis ikan.
Walau bagaimanapun, adalah tidak mustahil untuk seseorang yang alah (alergi) terhadap satu jenis ikan, tetapi boleh makan ikan daripada jenis yang lain.
Alahan ikan boleh menyebabkan tindak balas yang teruk dan berpotensi mengancam nyawa (seperti anafilaksis).
Tindak balas alahan mungkin tidak dapat diramalkan, malah bagi sesetengah orang jumlah ikan yang sedikit boleh menyebabkannya tindak balas yang teruk.
Gejala-gejala atau Tanda Alahan Ikan
Gejala-gejala atau tanda-tanda alahan ikan yang lazimnya berlaku adalah seperti berikut:
- Ruam kulit
- Gatal-gatal
- Loya dan muntah
- Ketidakhadaman
- Cirit-birit
- Hidung tersumbat atau berair
- Mata berair
- Mata bengkak
- Sakit kepala
- Asma
- Anafilaksis
Anafilaksis ialah tindak balas alahan yang teruk dan berpotensi mengancam nyawa. Ia boleh berlaku dalam beberapa saat atau minit selepas terdedah kepada sesuatu yang anda alah kepadanya (alergen).
Punca
Seperti alahan makanan yang lain, alahan ikan berpunca daripada sistem imun yang bertindak balas terhadap protein di dalam ikan (alergen).
Sistem imun tersalah menganggap protein di dalam ikan sebagai bahan berbahaya atau ancaman.
Sistem imun kemudiannya akan merembeskan histamin iaitu bahan kimia yang menyebabkan gejala-gejala alahan ikan.
Di samping itu juga, parasit (Anisakis simplex) yang terdapat pada ikan mentah atau yang tidak dimasak sempurna boleh menjadi alergen yang menyebabkan tindak balas alahan.
Antara jenis-jenis ikan yang diketahui boleh menyebabkan tindak balas alahan adalah seperti:
- Ikan kod
- Ikan bilis
- Ikan keli
- Ikan hering
- Ikan kerapu
- Ikan halibut
- Ikan salmon
- Ikan tilapia
- Ikan tuna (ikan tongkol)
- Ikan trout
- Ikan mackerel
- Ikan merah
Selain itu, anda juga mungkin perlu mengelak daripada produk-produk berasaskan ikan seperti:
- Minyak ikan
- Perisa ikan
- Gelatin ikan
- Sos Worcestershire
- Sos barbeku
- Kuah salad
- Sos ikan
Adalah penting untuk anda membaca label ramuan (bahan-bahan) dengan teliti sebelum membelinya.
Rawatan
Rawatan terbaik adalah mengelak daripada memakan ikan secara sepenuhnya atau mengelak daripada ikan yang menyebabkan anda mengalami alahan.
Selain itu, ikan juga banyak digunakan dalam produk-produk seperti sos Worcestershire yang kadang-kadang digunakan oleh penjual burger, kuah salad, kiub pati ikan atau produk ketam tiruan.
Tambahan lagi, elakkan restoran makanan laut bagi mengelakkan risiko makanan anda bersentuhan atau tercemar dengan ikan. Jauhi kawasan di mana ikan sedang dimasak, kerana protein ikan mungkin dilepaskan ke udara semasa memasak.
Bagi tindak balas alahan yang ringan, ubat antihistamin boleh membantu mengurangkan gejala-gejala yang dialami.
Bagi tindak balas teruk seperti anafilaksis, rawatan kecemasan seperti suntikan epinefrina diperlukan sementara pesakit di bawa ke hospital.
Rujukan
- Mount Sinai Hospital / Mount Sinai School Of Medicine. (2004). Study Reports Seafood Allergies Often Begin Later In Life. ScienceDaily.
- Prester L. (2016). Seafood Allergy, Toxicity, and Intolerance: A Review. Journal of the American College of Nutrition.
- Tsabouri, S. et al. (2012). Fish and shellfish allergy in children: review of a persistent food allergy. Pediatric allergy and immunology.
- American College of Allergy, Asthma & Immunology. Fish.