Sakit gusi boleh melibatkan bengkak, pendarahan atau gusi menjadi kemerah-merahan. Bagi sakit gusi yang tidak serius, 5 petua merawat sakit gusi ini mungkin boleh membantu.
Gusi ialah tisu yang lembut yang menyokong dan melindungi gigi. Kesakitan pada gusi boleh menjadi petunjuk kepada kecederaan, jangkitan, atau radang pada gusi dan gigi.
Sakit gusi kebiasaannya bersifat sementara tetapi boleh menjadi serius bergantung kepada puncanya.
Punca atau Penyebab Sakit Gusi
Sakit gusi boleh disebabkan oleh banyak perkara sama ada akibat memberus terlalu kuat sehinggalah penyakit gusi.
Berikut adalah beberapa punca yang mungkin menyebabkan kesakitan pada gusi anda:
- Kanker – Kanker ialah ulser kecil yang terbentuk pada gusi. Kanker ini boleh disebabkan oleh kecederaan mulut, sistem imun terjejas, tekanan perasaan, kekurangan makanan berzat, alahan atau masalah kesihatan yang lain. [1]
- Luka – Makanan atau objek yang dimasukkan ke dalam mulut boleh mencederakan atau melukakan gusi.
- Penyakit gusi – Gingivitis adalah penyakit gusi yang berlaku akibat pembentukan bakteria pada gusi dan gigi. Penyakit gusi ini akan menyebabkan keradangan dan pendarahan.
- Perubahan hormon – Hormon yang turun naik terutamanya semasa mengandung boleh menyebabkan kesakitan, bengkak dan pendarahan pada gusi.
- Memberus atau flos secara kasar – Memberus atau flos secara kasar juga boleh menyebabkan pendarahan dan bengkak pada gusi.
- Sinusitis – Sesetengah orang yang menghidap sinusitis ini turut mengalami kesakitan pada gusi dan gigi.
- Gigi bernanah – Abses atau nanah pada gigi terjadi apabila berlaku jangkitan bakteria pada akar gigi. Abses gigi ini boleh menyebabkan kesakitan dan bengkak pada gusi.
Petua Merawat Sakit Gusi
Selain rawatan konvensional, terdapat beberapa petua hilangkan sakit gusi yang boleh dilakukan di rumah terutamnya bagi kes-kes yang ringan.
Antaranya adalah seperti berikut:
1. Berkumur dengan Air Garam
Berkumur dengan air garam boleh mengurangkan jumlah bakteria berbahaya yang tinggal di gusi. Kaedah ini boleh mengurangkan bengkak pada gusi.
Terdapat kajian yang mendapati berkumur dengan air garam boleh menggalakkan penyembuhan terhadap luka pada gusi. [2]
2. Minyak Bunga Cengkih
Bunga cengkih mempunyai ciri-ciri antiradang dan antibakteria.
Kajian mendapati minyak pati bunga cengkih berkesan dalam melawan bakteria-bakteria yang menyebabkan sakit gigi atau gusi.
Kajian ini juga mendapati minyak bunga cengkih yang digabungkan dengan ubat antibiotik meningkatkan lagi kadar kematian bakteria-bakteria oral tersebut. [3]
Sekiranya anda ingin menggunakan minyak bunga cengkih, pastikan anda mencairkan dahulu minyak pati ini sebelum menggunakannya di bahagian gusi yang sakit.
3. Memberus dengan Betul
Menggunakan berus yang berbulu lembut dan memberus dengan cara yang betul dapat mengelakkan kecederaan pada gusi.
4. Uncang Teh
Celupkan uncang teh yang baru ke dalam air panas selama lebih kurang 5 minit. Kemudian, sejukkan uncang tersebut sehingga boleh dipegang dengan tangan.
Seterusnya, letakkan uncang teh tersebut di kawasan gusi yang sakit selama 5 minit dan ke atas.
Gunakan uncang teh yang tinggi dengan kandungan tannin seperti teh hitam, teh hijau atau teh bunga raya. Teh halia atau teh bunga kamomil juga boleh digunakan. [4]
5. Ubat penahan sakit
Ubat penahan sakit belian kaunter seperti paracetamol, aspirin atau ibuprofen boleh digunakan untuk mengurangkan kesakitan sementara mendapatkan rawatan lanjut di klinik gigi.
Bila Perlu Berjumpa Doktor Gigi?
Sekiranya sakit gusi ini berterusan, sakit yang teruk, bengkak dan menyebabkan demam, dapatkan rawatan daripada doktor gigi.
Gejala-gejala seperti ini boleh menjadi petunjuk kepada penyakit gusi atau sakit yang lain yang memerlukan rawatan daripada doktor.
Rujukan
- Akintoye, S. O., & Greenberg, M. S. (2014). Recurrent aphthous stomatitis. Dental clinics of North America.
- Huynh, N. C. et al. (2016). Rinsing with Saline Promotes Human Gingival Fibroblast Wound Healing In Vitro. PloS one.
- Moon, S. E., Kim, H. Y., & Cha, J. D. (2011). Synergistic effect between clove oil and its major compounds and antibiotics against oral bacteria. Archives of oral biology.
- Radafshar, G. et al. (2017). Effects of green tea (Camellia sinensis) mouthwash containing 1% tannin on dental plaque and chronic gingivitis: a double-blinded, randomized, controlled trial. Journal of investigative and clinical dentistry.