Apa itu Likopena?
Likopena atau dalam bahasa Inggerisnya lycopene adalah nutrien yang terdapat dalam tumbuhan yang dipanggil karotenoid.
Nutrien ini adalah pigmen yang memberikan warna merah dan merah jambu kepada tumbuhan, sayur-sayuran dan buah-buahan seperti tomato, tembikai dan buah-buahan yang lain.
Selain itu, likopena juga mempunyai ciri-ciri antioksidan yang kuat dan masih berkesan walaupun dipanaskan. Ini menjadikan likopena mudah untuk disertakan dalam diet harian anda melalui makanan segar dan proses.
Ciri-ciri antioksidan likopena adalah penting untuk melindungi badan daripada kerosakan akibat daripada sebatian yang dikenali sebagai radikal bebas.
Apabila paras radikal bebas melebihi paras antioksidan, ketidakseimbangan ini boleh mewujudkan tekanan oksidatif di dalam badan anda.
Tekanan oksidatif ini dikaitkan dengan penyakit kronik tertentu seperti kanser, diabetes, penyakit jantung dan Alzheimer.
Kajian menunjukkan bahawa sifat antioksidan likopena boleh membantu mengekalkan keseimbangan radikal bebas, seterusnya melindungi tubuh anda daripada penyakit-penyakit tersebut. [1]
Khasiat-khasiat Likopena (Lycopene) Kepada Kesihatan
Selain mempunyai ciri-ciri antioksidan yang kuat, kajian-kajian saintifik lain turut mendapati terdapat pelbagai khasiat likopena yang bermanfaat kepada kesihatan manusia.
Antaranya adalah:
1. Boleh Membantu Melawan Kanser
Aktiviti antioksidan likopena yang kuat boleh membantu mencegah atau memperlahankan kemaraan sesetengah jenis kanser.
Kajian terhadap haiwan melaporkan bahawa nutrien ini boleh membantu menyekat pertumbuhan sel-sel kanser di dalam buah pinggang. [2]
Satu kajian semula yang melibatkan 26 kajian mendapati pengambilan likopena dikaitkan dengan pengurangan sebanyak 9% terhadap pembentukan kanser prostat. Pengambilan harian nutrien ini sebanyak 9-21 mg sehari didapati paling bermanfaat. [3]
2. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Paras kolesterol yang tinggi boleh meningkatkan risiko kepada penyakit jantung.
Pengambilan makanan yang kaya dengan likopena boleh menurunkan paras kolesterol total, kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan meningkatkan paras kolesterol HDL (kolesterol baik). [4]
Selain itu, kajian selama 10 tahun turut melaporkan bahawa pemakanan yang kaya dengan likopena dikaitkan dengan pengurangan risiko terhadap penyakit jantung sebanyak 17-26%. [5]
3. Boleh Melindungi Kulit daripada Sinaran UV
Likopena juga didapati boleh membantu melindungi kulit anda daripada sinaran UV yang berbahaya.
Kesan perlindungan ini dilaporkan dalam satu kajian yang melibatkan 20 orang wanita sihat yang terdedah kepada sinaran UV sebelum dan selepas memakan 16 mg likopena daripada pes tomato atau plasebo.
Hasil daripada kajian ini mendapati kumpulan wanita yang memakan pes tomato mempunyai tindak balas kulit yang kurang teruk terhadap pendedahan UV berbanding kumpulan yang mengambil plasebo. [6]
Satu kajian lain menunjukkan pengambilan 8-16 mg likopena daripada makanan atau suplemen boleh mengurangkan kemerahan kulit akibat terdedah kepada sinaran UV sebanyak 40-50%. [7]
4. Membantu Mengurangkan Kesakitan
Likopena juga boleh membantu mengurangkan kesakitan neuropati iaitu kesakitan yang berpunca daripada kerosakan tisu dan saraf.
Kesan analgesik likopena ini ditunjukkan dalam kajian yang dijalankan terhadap haiwan. [8]
5. Baik untuk Kesihatan Mata
Selain lutein dan zeaxantin, likopena juga boleh membantu mencegah atau melambatkan pembentukan katarak dan mengurangkan risiko terhadap degenerasi makular.
Kajian menunjukkan likopena boleh melindungi mata daripada pembentukan katarak melalui ciri-ciri antioksidannya. [9]
Satu kajian kes kawalan yang melibatkan 167 orang pesakit mendapati paras darah yang tinggi dengan likopena dikaitkan dengan penurunan risiko untuk mana-mana peringkat degenerasi makular berkaitan usia. [10]
6. Boleh Melindungi Daripada Osteoporosis
Osteoporosis adalah keadaan kesihatan yang melemahkan tulang, menjadikannya rapuh dan lebih cenderung untuk patah.
Pengambilan likopena didapati boleh membantu melindungi seseorang itu terutamanya wanita yang telah menopaus daripada osteoporosis.
Kajian yang melibatkan 100 orang wanita selepas menopaus mendapati pengambilan likopena dalam bentuk suplemen selama 6 bulan boleh meningkatkan paras likopena dalam darah dan melindungi seorang wanita menopaus daripada osteoporosis. [11]
Sumber Makanan
Kebanyakan makanan daripada sumber semula jadi yang mempunyai warna merah hingga merah jambu secara umumnya mengandungi likopena.
Berikut adalah antara contoh makanan yang kaya dengan likopena:
- Tomato kering (dijemur matahari)
- Puri tomato
- Buah jambu batu
- Buah tembikai
- Tomato segar
- Tomato dalam tin
- Buah betik
- Buah limau gedang merah jambu
- Lada benggala merah
- Buah aprikot
- Buah anggur
- Buah pic
- Buah kranberi
- Buah ara / buah tin
- Buah pisang kaki
- Asparagus
- Kubis ungu atau kubis merah
- Buah mangga
Makanan Tambahan atau Suplemen
Selain terdapat dalam makanan semula jadi, likopena juga turut boleh diperolehi dalam bentuk makanan tambahan (suplemen).
Keselamatan dan Risiko
Secara umumnya, sekiranya diperolehi daripada makanan semula jadi, likopena adalah selamat dimakan.
Walau bagaimanapun, apabila diambil sebagai makanan tambahan, likopena mungkin berinteraksi dengan ubat tertentu, termasuk ubat penipisan darah dan ubat penurun tekanan darah.
Suplemen likopena juga tidak sesuai kepada wanita mengandung.
Satu kajian kecil juga mendapati bahawa 2 mg suplemen likopena setiap hari semasa kehamilan boleh meningkatkan risiko kelahiran pramatang atau berat lahir rendah. [12]
Rumusan
Likopena adalah antioksidan yang hebat dan mempunyai banyak khasiat dan kebaikan kepada kesihatan manusia.
Antara khasiat likopena adalah membantu melawan kanser, membantu menurunkan paras kolesterol, melindungi kulit daripada sinaran UV dan lain-lain lagi.
Cara terbaik untuk mendapatkan likopena adalah dengan memakan makanan yang kaya dengan nutrien ini seperti tomato, jambu batu atau buah betik.
Rujukan
- Fiedor, J., & Burda, K. (2014). Potential role of carotenoids as antioxidants in human health and disease. Nutrients.
- Sahin, K. et al. (2015). Lycopene in the prevention of renal cell cancer in the TSC2 mutant Eker rat model. Archives of biochemistry and biophysics.
- Chen, P. et al. (2015). Lycopene and Risk of Prostate Cancer: A Systematic Review and Meta-Analysis. Medicine.
- Palozza, P. et al. (2012). Effect of lycopene and tomato products on cholesterol metabolism. Annals of nutrition & metabolism.
- Jacques, P. F. et al. (2013). Relationship of lycopene intake and consumption of tomato products to incident CVD. The British journal of nutrition.
- Rizwan, M. et al. (2011). Tomato paste rich in lycopene protects against cutaneous photodamage in humans in vivo: a randomized controlled trial. The British journal of dermatology.
- Stahl, W. et al. (2006). Lycopene-rich products and dietary photoprotection. Photochemical & photobiological sciences.
- Zhang, F. F. et al. (2016). Lycopene ameliorates neuropathic pain by upregulating spinal astrocytic connexin 43 expression. Life sciences.
- Gupta, S. K. et al. (2003). Lycopene attenuates oxidative stress induced experimental cataract development: an in vitro and in vivo study. Nutrition.
- Mares-Perlman, J. A. et al. (1995). Serum antioxidants and age-related macular degeneration in a population-based case-control study. Archives of ophthalmology.
- Meeta, M. et al. (2022). Cardiovascular and Osteoporosis Protection at Menopause with Lycopene: A Placebo-Controlled Double-Blind Randomized Clinical Trial. Journal of mid-life health.
- Banerjee, S. et al. (2009). Trial of lycopene to prevent pre-eclampsia in healthy primigravidas: results show some adverse effects. The journal of obstetrics and gynaecology research.