Buah rambutan (Nephelium lappaceum) ialah buah yang berasal dari Asia Tenggara terutamanya dari Malaysia dan Indonesia. Buah rambutan mempunyai khasiat yang tersendiri. Khasiat buah rambutan banyak disumbang oleh kandungan antioksidan dan mikronutriennya.
Rambutan mendapat jolokan namanya daripada sifat kulit buahnya yang berbulu-bulu seperti rambut. Isinya pula lut cahaya atau jernih seperti buah laici dan longan. Kebiasannya buah ini dimakan segar atau dibuat jem.
Umumnya, terdapat kira-kira 7 kultivar atau klon pokok rambutan yang menghasilkan buah berkulit merah dan kuning. Rambutan didapati ditanam dengan meluas di negeri Perak, Pahang, Kedah dan Kelantan.
Khasiat buah rambutan mungkin kurang diketengahkan selain rasa dan keenakkannya sahaja.
Bagi anda yang ingin tahu, berikut adalah khasiat-khasiat buah rambutan yang bermanfaat untuk kesihatan anda:
1. Kaya dengan Nutrien
Dalam 100 gram buah rambutan terdapat nutrien-nutrien seperti berikut:
- Tenaga: 59.9 kcal
- Air: 84.7 %
- Protein: 0.7 gram
- Lemak: 0.1 gram
- Karbohidrat: 13.9 gram
- Serat: 0.2 gram
- Kalsium: 22.0 miligram
- Fosforus: 30.0 miligram
- Zat besi: 2.5 miligram
- Thiamin (B1): 0.01 miligram
- Riboflavin (B2): 0.04 miligram
- Niacin (B3): 0.1 miligram
- Vitamin C: 38.6 miligram
2. Kaya dengan Antioksidan
Buah rambutan juga agak tinggi dengan vitamin C (asid askorbik) yang merupakan antioksidan yang efektif dalam buah.
Diet yang tinggi dengan asid askorbik ini dikatakan dapat mengurangkan risiko kanser.
Bagi 100 gram buah rambutan, ia boleh membekalkan kira-kira 55% daripada RNI (recommended nutrient intake) vitamin C bagi lelaki dan wanita dewasa di Malaysia.
Dalam satu kajian yang dijalankan oleh National University of Singapore, buah rambutan menunjukkan kapasiti antioksidan yang sederhana.
Kapasiti antioksidan ini menunjukkan keupayaan antioksidan dalam buah ini meneutral atau memusnahkan radikal bebas. [1]
3. Baik untuk Penghadaman
Rambutan juga baik untuk penghadaman.
Kira-kira separuh dari serat dalam isi rambutan adalah serat tidak larut, maka ia akan melalui usus tanpa dicernakan.
Serat yang tidak larut akan menambahkan saiz atau kepukalan pada najis dan mempercepatkan pergerakan dalam usus. Secara tidak langsung, ia dapat mengelakkan sembelit. [2]
Sebahagian serat lagi adalah serat larut, serat yang larut ini menjadi makanan kepada bakteria baik dalam perut kita.
4. Boleh Menguatkan Sistem Imun Badan
Buah rambutan juga boleh menguatkan sistem imun badan kita.
Kandungan vitamin C dalam buah ini boleh mengalakkan penghasilan sel-sel darah putih untuk badan melawan jangkitan. [3]
Menariknya, kulit rambutan juga mempunyai sifat antivirus yang boleh melawan jangkitan berdasarkan kajian makmal.[4]
5. Mungkin Membantu dalam Menurunkan Berat Badan
Kandungi kalori yang agak rendah iaitu kira-kira 60 kalori bagi 100 gram buah ini dipercayai dapat membantu bagi mereka yang berdiet.
Buah rambutan boleh membuatkan kita berasa kenyang lebih lama. Selain itu, buah ini juga tinggi dengan kandungan air yang membolehkan kita terus terhidrasi dan juga berasa kenyang. [5]
Walau bagaimanapun, elakkan memakan buah ini secara berlebihan sekiranya anda ingin menurunkan berat badan kerana kandungan gulanya yang agak tinggi.
6. Khasiat dan Manfaat yang Lain
Kebanyakan manfaat atau khasiat rambutan yang lain dijumpai dalam kulit atau biji rambutan. Kebiasaannya, kulit dan biji rambutan tidak dimakan.
a. Mempunyai Sifat Antidiabetes
Kajian tabung uji dan terhadap haiwan mendapati ekstrak kulit rambutan boleh meningkatkan sensitiviti insulin dan mengurangkan paras gula darah. [6, 7]
b. Mengurangkan Risiko Kanser
Kajian makmal terhadap haiwan juga mendapati sebatian dalam biji rambutan boleh mencegah penyebaran dan pembesaran sel-sel kanser. [8]
Rumusan
Buah rambutan mempunyai khasiat dan kelebihannya yang tersendiri disebalik luarannya yang berbulu. Dikenali sebagai buah eksotik oleh masyarakat luar, buah rambutan sangat enak dimakan kerana rasanya yang manis.
Dari aspek kesihatan, buah rambutan kaya dengan antioksidannya, mampu menguatkan sistem imun dan baik untuk penghadaman.
Kajian-kajian yang lebih mendalam terhadap khasiat buah ini harus diteruskan dan diperbanyakkan lagi.
Rujukan
- Leong, L.P. & Shui, G. (2002). An investigation of antioxidant capacity of fruits in Singapore markets. Food Chemistry.
- Gorinstein, S. et al. (1999). Comparative content of total polyphenols and dietary fiber in tropical fruits and persimmon. The Journal of nutritional biochemistry.
- Huijskens, M. J., . (2014). Technical advance: ascorbic acid induces development of double-positive T cells from human hematopoietic stem cells in the absence of stromal cells. Journal of leukocyte biology.
- Abdul Ahmad, S. A. et al. (2017). Geraniin extracted from the rind of Nephelium lappaceum binds to dengue virus type-2 envelope protein and inhibits early stage of virus replication. Virology journal.
- Stookey J. J. (2016). Negative, Null and Beneficial Effects of Drinking Water on Energy Intake, Energy Expenditure, Fat Oxidation and Weight Change in Randomized Trials: A Qualitative Review. Nutrients.
- Ma, Q. et al. (2017). Anti-Diabetic Effects of Phenolic Extract from Rambutan Peels (Nephelium lappaceum) in High-Fat Diet and Streptozotocin-Induced Diabetic Mice. Nutrients.
- Muhtadi, et al. (2015). Antidiabetic Activity of Durian (Durio Zibethinus Murr.) and Rambutan (Nephelium Lappaceum L.) Fruit Peels in Alloxan Diabetic Rats. Procedia Food Science.
- Fang, E. F., & Ng, T. B. (2015). A trypsin inhibitor from rambutan seeds with antitumor, anti-HIV-1 reverse transcriptase, and nitric oxide-inducing properties. Applied biochemistry and biotechnology.