Kecelaruan personaliti antisosial atau Antisocial Personality Disorder (ASPD) adalah salah satu kecelaruan personaliti di mana penghidapnya mempunyai corak tingkah laku yang ganas, memanipulasi dan mengeksploitasi orang di sekelilingnya.
Secara asasnya, mereka yang mengalami kecelaruan personaliti antisosial ini tidak mengikut mengikut norma masyarakat umum, menipu dan menakutkan dalam perhubungan serta tidak mempedulikan hak orang lain.
Penghidap kecelaruan ini juga boleh bertindak kasar, merosakkan dan bertindak berbahaya tanpa ada rasa bersalah apabila tingkah laku mereka menyakitkan orang lain.
Kecelaruan personaliti antisosial ini biasanya bermula semasa kanak-kanak atau awal alam remaja dan berterusan sehingga penghidapnya meningkat dewasa.
Penghidap ASPD ini akan menunjukkan corak tingkah laku jangka panjang seperti:
- Sentiasa melanggar undang-undang
- Memanipulasi atau mengeksploitasi orang lain
- Mengambil hak orang lain
Punca Kecelaruan Personaliti Antisosial
Punca sebenar yang menyebabkan kecelaruan ini tidak diketahui. Tetapi pengkaji percaya kecelaruan ini boleh disebabkan oleh faktor genetik dan persekitaran.
Seseorang itu berisiko tinggi untuk menghidap kecelaruan ini sekiranya:
- Pernah didera semasa kecil
- Dibesarkan oleh ibu bapa yang menghidap kecelaruan ini
- Dibesarkan oleh ibu bapa peminum arak
Kaum lelaki lebih berisiko atau lebih banyak mengalami ASPD ini berbanding wanita.
Simptom-simptom atau Tanda Kecelaruan Personaliti Antisosial
Penghidap kecelaruan personaliti antisosial mungkin akan menunjukkan simptom-simptom atau tanda seperti:
- Bertindak cerdik dan menawan
- Pandai memuji dan memanipulasi emosi orang lain
- Sering melanggar undang-undang
- Tidak mempedulikan keselamatan diri dan orang lain
- Penyalahgunaan bahan terlarang seperti dadah
- Menipu, mencuri dan sering bergaduh
- Tidak menunjukkan rasa bersalah atau menyesal
- Sering marah-marah atau sombong
- Menyalahkan orang lain atas masalah yang dihadapinya
- Sukar untuk mengekalkan hubungan dalam jangka masa panjang
Diagnosis
Untuk seseorang itu didiagnosis dengan kecelaruan personaliti antisosial, mereka biasanya mempunyai sejarah kecelaruan tingkah laku sebelum berumur 15 tahun.
Diagnosis hanya boleh dijalankan sekiranya individu tersebut berusia 18 tahun atau lebih dan sekurang-kurangnya menunjukkan 3 simptom atau tanda ASPD.
Selain itu, tanda-tanda ini mestilah tidak terlibat dengan episod manik atau skizofrenia. Tanda-tanda ini mestilah ditunjukkan oleh individu tersebut dalam aktiviti hariannya.
Rawatan
ASPD ini adalah satu kecelaruan yang sukar untuk dirawat. Penghidap ASPD ini jarang-jarang mendapatkan rawatan atau nasihat kerana mereka berfikir bahawa mereka tidak memerlukannya. Mereka mungkin hanya mendapatkan rawatan akibat diminta oleh mahkamah.
Psikoterapi
Psikoterapi seperti terapi tingkah laku kognitif dan psikoterapi psikodinamik adalah antara jenis psikoterapi yang mungkin sesuai bergantung kepada situasi pesakit.
Terapi tingkah laku kognitif sesuai untuk membantu mengenali pemikiran dan tingkah laku negatif. Terapi ini juga boleh mengajar pesakit untuk menggantikan tingkah laku dan pemikiran negatif kepada positif.
Psikoterapi psikodinamik boleh membantu pesakit sedar akan pemikiran dan tingkah laku negatif.
Ubat-ubatan
Tiada ubat-ubatan khusus yang diluluskan untuk merawat ASPD. Tetapi doktor mungkin akan memberikan anda ubat-ubatan seperti:
- ubat antikemurungan
- penstabil emosi
- ubat antikeresahan
- ubat antipsikotik
Rujukan
- Fisher KA, Hany M. [Updated 2020 Dec 8]. Antisocial Personality Disorder.In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-.
- Berger, F.K. (2020). Antisocial personality disorder. MedlinePlus