Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang awam agar mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik berikut kerana dikesan mengandungi racun berjadual.
Bil. | Nama Produk | Racun Berjadual yang Dikesan |
---|---|---|
1. | ZMY Magnetic Aura Night Cream | Merkuri |
Pihak Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM juga telah membatalkan notifikasi produk kosmetik yang terlibat dan produk ini tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.
Perihal Racun Berjadual – MERKURI
Merkuri adalah bahan yang dilarang digunakan dalam produk kosmetik kerana ia boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf.
Selain itu, merkuri juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau bayi yang belum dilahirkan.
Secara luarannya, merkuri boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
Peringatan Kepada Penjual dan Pengedar Produk Kosmetik Ini
Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk terlibat dengan serta-merta.
Penjual dan pengedar yang gagal berbuat demikian boleh disabitkan dengan pelanggaran Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.
Manakala, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Bagi syarikat yang melakukan kesalahan, boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Peringatan Kepada Orang Awam
Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk menghentikan penggunaannya dengan segera serta mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
Orang awam juga diminta sentiasa menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik sebelum membeli dan menggunakannya.
Status notifikasi tersebut boleh disemak dilaman sesawang NPRA (www.npra.gov.my) atau aplikasi ‘NPRA Product Status’ di Google Play Store.