Mengetahui waktu subur wanita adalah salah satu cara untuk merancang kehamilan atau mencegah kehamilan secara semula jadi. Namun, waktu kesuburan wanita mungkin berbeza-beza bagi setiap individu dan sukar untuk diramalkan.
Terdapat beberapa kaedah yang boleh membantu menentukan waktu subur wanita dan hari yang sesuai untuk melakukan hubungan intim bersama pasangan bagi meningkatkan keberangkalian untuk anda hamil.
Kehamilan boleh berlaku apabila terjadinya persenyawaan antara ovum (telur) wanita dan sperma lelaki.
Setiap wanita akan menghasilkan telur semasa tempoh ovulasi atau pengovulan. Semasa tempoh ini, telur yang matang akan dikeluarkan daripada ovari dan bergerak melalui tiub Fallopio dan tersedia untuk disenyawakan.
Sekiranya telur tersebut tidak disenyawakan dalam tempoh ovulasi tersebut, maka anda akan mengalami haid kira-kira 12-14 hari berikutnya.
Memahami Kitaran Haid Anda
Memahami kitaran haid adalah penting sekiranya anda ingin hamil dan ingin menjejaki waktu ovulasi anda.
Kitaran haid bermula pada hari pertama anda datang haid dan berterusan sehingga hari pertama haid anda yang berikutnya.
Biasanya, kitaran haid adalah selama 28 hari tetapi boleh juga antara 21-35 hari dan ia masih dianggap normal.
Semasa kitaran haid, terdapat banyak perubahan yang berlaku kepada badan anda termasuklah turun naik hormon.
Kira-kira separuh daripada kitaran, salah satu ovari anda akan mengeluarkan telur matang. Telur tersebut akan pergi ke salah satu tiub Fallopio anda, di mana ia menunggu untuk disenyawakan oleh sperma.
Ketika ini, lapisan rahim anda juga semakin menebal. Ini bagi menyediakan rahim untuk implantasi telur yang disenyawakan.
Jika anda tidak hamil, ia bermakna telur tidak disenyawakan atau embrio (telur yang disenyawakan) tidak diimplan ke dalam rahim.
Dalam kes tersebut, lapisan rahim akan terkeluar (luruh) dan anda mendapat haid.
Bagaimana Menentukan Waktu Subur Anda?
Mengetahui bila anda mengovum (menghasilkan telur) adalah kunci untuk mengetahui waktu subur atau “tingkap kesuburan” anda.
Terdapat beberapa cara untuk mengetahui akan kesuburan anda, antaranya adalah:
1. Kaedah Kalender
Gunakan kaedah kalender untuk merekodkan panjang kitaran haid anda. Setiap bulan, tanda pada hari pertama anda haid pada kalender atau aplikasi merekod haid.
Jumlah hari antara hari pertama anda datang haid hingga haid yang akan datang akan tempoh kitaran haid anda. Anda perlu membuat catatan sekurang-kurangnya 6 bulan untuk mendapatkan data yang baik.
Badan anda menghasilkan telur kira-kira 12-14 hari sebelum permulaan kitaran haid yang baru. Waktu kesuburan anda adalah 5 hari sebelum ovulasi, hari ovulasi dan sehari selepas ovulasi.
Ini bermakna waktu kesuburan anda adalah kira-kira selama 7 hari.
Sekiranya anda mempunyai haid yang tidak teratur, kitaran haid anda akan berbeza-beza dari satu bulan ke satu bulan yang lain. Maka, kaedah kalender ini tidak tepat untuk anda.
2. Kaedah Kit Peramal Ovulasi
Kit peramal ovulasi adalah alat yang boleh digunakan dirumah untuk meramal ovulasi seseorang wanita. Alat ini mungkin membantu sekiranya anda mempunyai haid yang teratur.
Kit peramal ovulasi menguji air kencing anda untuk tahap hormon peluteinan. Apabila keputusan menunjukkan positif, ovulasi biasanya akan berlaku dalam masa 24 jam. Ini menunjukkan bahawa waktu tersebut adalah waktu subur anda dan sepatutnya melakukan hubungan seks.
Kit ini mungkin tidak tepat sekiranya anda mengalami haid yang tidak teratur akibat sindrom ovari polisistik.
3. Kaedah Lendiran Faraj
Turun naik hormon semasa kitaran haid akan mengubah jumlah dan kekonsistenan mukus atau lendir faraj.
Anda perlu merasai dan melihat lendiran faraj setiap hari. Sewaktu anda subur, mukus yang dihasilkan adalah pekat dan licin. Ia akan mempunyai kekonsistenan yang sama seperti putih telur yang mentah.
Anda perlu merekodkan lendir faraj sekurang-kurang pada satu kitaran haid.
4. Kaedah Suhu Badan
Kaedah suhu badan ini memerlukan anda untuk mengukur suhu badan setiap pagi sebaik sahaja anda bangun tidur.
Anda perlu menggunakan basal body thermometer kerana ia lebih sensitif berbanding termometer biasa. Letakkan termometer ini di dalam mulut atau dubur untuk mengukur suhu badan anda.
Suhu badan asas wanita akan sedikit naik semasa ovulasi iaitu kira-kira sebanyak 0.3 darjah celcius. Jika anda mendapati suhu badan anda membawa kepada ovulasi, anda akan melihat peningkatan berterusan dalam suhu badan asas anda selepas ovulasi.
Anda perlu membuat rekod sekurang-kurangnya selama 3 bulan sebelum menggunakan kaedah ini untuk perancangan keluarga.
Walau bagaimanapun, adalah penting untuk ambil perhatian bahawa kaedah suhu badan asas tidak sesuai untuk meramalkan ovulasi anda sekiranya anda ingin hamil. Hal ini demikian kerana, sebaik sahaja anda mengenal pasti kenaikan suhu anda, anda telah pun mengalami ovulasi.
Tanda-tanda lain yang Menunjukkan Waktu Subur (Ovulasi)
Terdapat beberapa tanda-tanda lain yang turut menjadi petanda kepada waktu subur wanita iaitu:
- Payudara menjadi lebih sensitif dan lembut
- Deria bau semakin meningkat
- Rasa lebih bernafsu untuk bersama
- Kekejangan yang ringan pada perut
- Perubahan selera makan atau mood
- Kembung perut
Bilakah Hari Terbaik untuk Melakukan Hubungan Seks?
Untuk meningkatkan kemungkinan untuk hamil, anda seharusnya melakukan hubungan seks setiap hari atau setiap selang sehari semasa:
- 5 hari sebelum ovulasi
- Hari ovulasi
- Sehari selepas ovulasi
Penggunaan sesetengah pelincir boleh menjejaskan sperma dan mencegah sperma daripada sampai kepada telur. Oleh itu, dapatkan nasihat doktor mengenai pelincir yang perlu dielakkan.
Kemungkinan untuk anda hamil juga adalah rendah sekiranya melakukan hubungan seks sejurus selepas berakhirnya haid.
Bagaimana Jika Saya Mengalami Haid Tidak Teratur?
Mempunyai haid yang tidak teratur bermakna haid anda diluar daripada kitaran 21-35 hari atau sela kitaran berbeza lebih daripada 7 hari setiap bulan.
Anda perlu mendapatkan konsultasi daripada pakar kesuburan atau doktor sakit puan.
Ketakteraturan ini mungkin disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon dan boleh menyukarkan untuk hamil.
Rujukan
- Wilcox, A. J. et al. (2000). The timing of the “fertile window” in the menstrual cycle: day specific estimates from a prospective study. BMJ .
- Johns Hopkins Medicine. Calculating Your Monthly Fertility Window.