Terdapat sesetengah pendapat yang mendakwa bahawa terdapat vitamin untuk penyakit asma yang boleh mengurangkan atau merawat penyakit ini. Terdapat juga sesetengah pengkaji percaya bahawa terdapat perkaitan antara kekurangan vitamin dengan penyakit asma. Namun, sejauh manakah kebenarannya?
Artikel ini akan melihat dengan lebih lanjut akan perkaitan antara kekurangan vitamin dengan penyakit asma dan sama ada suplemen vitamin memberikan impak positif atau tidak terhadap penyakit ini.
Asma atau turut dipanggil lelah adalah gangguan keradangan kronik yang menjejaskan sistem pernafasan. Kehipergerakbalasan saluran udara menyebabkan simptom-simptom asma seperti berdehit, batuk, sesak dada dan kesukaran bernafas terutamanya pada waktu malam dan awal pagi.
Kaitan Antara Kekurangan Vitamin dan Penyakit Asma
Kaitan antara kekurangan vitamin dan penyakit asma lebih kepada satu anggapan atau hipotesis. Hipotesis ini adalah berdasarkan anggapan bahawa penyakit asma lebih kerap berlaku di negara-negara yang mengamalkan diet Barat (Western diet).
Diet Barat adalah diet yang tinggi dengan gula bertapis, bijian bertapis, lemak dan makanan diproses. Disebabkan diet Barat dikaitkan dengan peningkatan risiko kepada kekurangan vitamin, ramai pengkaji membuat satu kesimpulan bahawa kekurangan vitamin mempunyai kaitan dengan penyakit asma.[1]
Walau bagaimanapun, satu kajian yang dilaporkan pada 2014 mendedahkan bahawa bukti semasa tidak menyokong perkaitan antara diet Barat dan kejadian atau kelaziman asma dewasa. [2]
Tetapi pengkaji percaya kemungkinan terdapat perkaitan antara corak diet Barat dengan kekerapan dan keterukan simptom-simptom asma.
Vitamin D
Vitamin D ialah vitamin larut lemak yang dihasilkan di dalam kulit setelah terdedah kepada cahaya matahari. Ia juga boleh diperolehi daripada produk tenusu dan ikan.
Terdapat beberapa kajian yang melaporkan bahawa terdapat perkaitan antara kekurangan vitamin D dan peningkatan risiko kejadian dan keterukan asma. [3, 4, 5]
Satu kajian kes telah dijalankan untuk membandingkan paras vitamin D dalam darah antara kanak-kanak penghidap asma dan kanak-kanak sihat. Hasil kajian tersebut mendapati kekurangan vitamin D adalah lebih lazim bagi kanak-kanak yang menghidap asma. [6]
Walaupun telah diketahui bahawa kekurangan vitamin D boleh meningkatkan risiko penyakit asma kepada kanak-kanak, namun tidak diketahui sama ada pengambilan suplemen vitamin D boleh memberi kesan terhadap rawatan atau tidak.
Terdapat kajian yang dijalankan bagi mengetahui kesan pengambilan suplemen vitamin D untuk penyakit asma. Hasil kajian tersebut mendapati:
- Menambah suplemen vitamin D3 dalam ubat asma sebagai rawatan tidak memberikan kesan ketara simptom-simptom asma, kawalan asma, fungsi saluran udara dan kualiti hidup. [7]
- Pengambilan suplemen vitamin D semasa kehamilan untuk mencegah asma dalam kalangan bayi juga tidak memberikan kesan yang ketara. [8]
Vitamin E
Vitamin E adalah vitamin larut lemak yang boleh dijumpai dalam banyak makanan seperti kekacang, biji-bijian dan sayur-sayuran berdaun.
Vitamin E juga bertindak sebagai antioksidan yang mungkin boleh memberikan kesan terhadap penyakit-penyakit kronik yang melibatkan keradangan seperti penyakit asma.
Terdapat kajian terhadap haiwan yang mendapati vitamin E boleh mengurangkan keradangan pada saluran udara (saluran pernafasan). [9]
Meskipun begitu, kajian klinikal mendapati pengambilan suplemen vitamin E tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada rawatan standard dalam kalangan orang dewasa dengan asma ringan hingga sederhana. [10]
Satu kajian semula pada 2013 yang diterbitkan dalam jurnal American Journal Respirotory and Critical Care Medicine juga tidak menemui bukti kukuh akan kesan vitamin E terhadap keterukan, kekerapan atau pencegahan serangan asma. [11]
Vitamin C
Vitamin C adalah vitamin larut air yang boleh diperolehi dalam banyak makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
Vitamin C juga bertindak sebagai antioksidan yang mungkin juga bermanfaat kepada mereka yang menghidap penyakit asma.
Vitamin C mungkin boleh mengurangkan tekanan oksidatif di dalam paru-paru dan saluran udara yang terlalu sensitif yang berlaku kepada penghidap asma.
Walau bagaimanapun, dalam konteks pengambilan suplemen vitamin C untuk penyakit asma. Tiada bukti yang kukuh yang menyokong kesan vitamin ini dalam perawatan asma.
Satu kajian semula mendapati peranan vitamin C terhadap asma dan alahan tidak jelas. Kebanyakan kajian adalah dalam jangka masa pendek dan menilai kesan serta-merta pengambilan vitamin C. [12]
Satu kajian lain turut melaporkan bahawa buat masa vitamin C masih belum boleh disarankan sebagai agen terapeutik kepada asma. Walaupun begitu, terdapat petunjuk yang menunjukkan bahawa vitamin C mungkin boleh membantu masalah sesak nafas akibat senaman. [13]
Pandangan Kami
Walaupun kekurangan vitamin adalah keadaan yang sering diperhatikan bagi penghidap asma, namun tiada bukti yang menunjukkan kekurangan vitamin yang menyebabkan asma.
Kekurangan vitamin adalah petunjuk kesihatan yang tidak baik yang boleh meningkatkan kerentanan seseorang kepada jangkitan, alahan, dan pencetus asma yang lain.
Kajian-kajian juga turut menunjukkan pengambilan suplemen vitamin D, E dan C untuk merawat asma tidak mendatangkan sebarang manfaat.
Walau bagaimanapun, penghidap asma digalakkan untuk mengamalkan pemakanan yang sihat yang mengandungi pelbagai vitamin dan mineral.
Rujukan
- Guilleminault, L. et al. (2017). Diet and Asthma: Is It Time to Adapt Our Message?. Nutrients.
- Brigham, E. P. et al. (2015). Association between Western diet pattern and adult asthma: a focused review. Annals of allergy, asthma & immunology.
- Hall, S. C. et al. (2016). The impact of vitamin D on asthmatic human airway smooth muscle. Expert review of respiratory medicine.
- Carroll, K. N. et al. (2011). Relationship of maternal vitamin D level with maternal and infant respiratory disease. American journal of obstetrics and gynecology.
- Wang, Q. et al. (2022). Vitamin D and asthma occurrence in children: A systematic review and meta-analysis. Journal of pediatric nursing.
- Bener, A. et al. (2012). Vitamin D deficiency as a strong predictor of asthma in children. International archives of allergy and immunology.
- Castro, M. et al. (2014). Effect of vitamin D3 on asthma treatment failures in adults with symptomatic asthma and lower vitamin D levels: the VIDA randomized clinical trial. JAMA.
- Litonjua, A. A. et al. (2016). Effect of Prenatal Supplementation With Vitamin D on Asthma or Recurrent Wheezing in Offspring by Age 3 Years: The VDAART Randomized Clinical Trial. JAMA.
- Luu Quoc, Q. et al. (2021). Administration of vitamin E attenuates airway inflammation through restoration of Nrf2 in a mouse model of asthma. Journal of cellular and molecular medicine.
- Pearson, P. J. et al. (2004). Vitamin E supplements in asthma: a parallel group randomised placebo controlled trial. Thorax.
- Cook-Mills, J. M. et al. (2013). Two faces of vitamin E in the lung. American journal of respiratory and critical care medicine.
- Bielory, L., & Gandhi, R. (1994). Asthma and vitamin C. Annals of allergy.
- Milan, S. J., Hart, A., & Wilkinson, M. (2013). Vitamin C for asthma and exercise-induced bronchoconstriction. The Cochrane database of systematic reviews.