Vitamin adalah salah satu komponen penting dalam pemakanan sihat. Selain pelbagai fungsi lain, salah satu fungsi vitamin adalah untuk menguatkan sistem imun badan.
Sistem imun atau turut dikenali sebagai sistem pertahanan badan adalah sistem yang membantu melindungi badan daripada sebarang penceroboh seperti bakteria, virus, kulat (fungus) dan toksin.
Pemakanan yang sihat yang mengandungi buah-buahan dan sayur-sayuran adalah penting bagi membolehkan badan mendapat nutrien yang diperlukan untuk berfungsi dengan baik. Beberapa vitamin dan mineral dalam makanan-makanan seperti ini diperlukan untuk sistem imun yang kuat.
Malangnya, ramai daripada kita yang tidak meminati sayur-sayuran atau buah-buahan. Terdapat beberapa vitamin yang mempunyai peranan yang penting dalam membantu menguatkan sistem imun.
Artikel ini menyenaraikan 7 vitamin yang diperlukan untuk menguatkan sistem imun badan.
1. Vitamin C
Vitamin C adalah vitamin yang penting untuk mencegah jangkitan dan turut popular diambil dalam bentuk suplemen.
Vitamin C tidak boleh dihasilkan oleh badan, maka ia harus diambil melalui makanan yang mengandungi vitamin ini.
Dalam konteks sistem imun badan, vitamin C menyokong fungsi sel-sel imun dan menguatkan keupayaan sel-sel ini untuk melawan jangkitan. [1]
Antara makanan yang tinggi dengan vitamin C adalah:
- Jambu batu
- Longan
- Betik
- Pucuk ubi kayu
- Cekur manis
- Kailan
- Sawi
2. Vitamin D
Vitamin D juga merupakan vitamin yang penting untuk menguatkan sistem imun badan manusia. Vitamin D boleh diperolehi melalui dua cara iaitu melalui pemakanan atau melalui cahaya matahari.
Vitamin D boleh meningkatkan keupayaan sel-sel imun dalam melawan patogen seperti bakteria, virus, fungus atau parasit. [2]
Antara makanan yang tinggi dengan vitamin D adalah:
- Ikan salmon
- Ikan kembung
- Ikan sardin
- Telur
- Susu yang diperkaya
3. Vitamin A
Vitamin A juga turut memainkan peranan penting untuk menguatkan sistem imun. Vitamin A turut dikenali sebagai vitamin antiradang kerana peranannya dalam meningkatkan fungsi imun badan.
Vitamin A turut terlibat dalam perkembangan sistem imun dan memainkan peranan penting dalam pengawalan tindak balas sel-sel imun. [3]
Vitamin A boleh diperolehi dalam dua bentuk iaitu prabentuk yang boleh diperolehi daripada sumber haiwan dan provitamin daripada tumbuhan.
Antara makanan yang kaya dengan vitamin A adalah:
- Hati ayam
- Hati lembu
- Telur ayam
- Telur itik
- Manga
- Betik
- Cekur manis
- Lada benggala merah
- Kesum
- Maman
- Lobak merah
- Tomato
- Keledek
4. Vitamin E
Vitamin E adalah vitamin larut lemak yang dijumpai banyak dalam sel-sel imun berbanding sel-sel lain dalam darah.
Kekurangan vitamin E boleh menyebabkan kepincangan terhadap fungsi normal sistem imun manusia. Vitamin E memberi kesan terhadap sistem imun melalui memodulat fungsi sel darah putih (sel-T). Kesan modulasi ini akan memberi impak terhadap kerentanan seseorang itu terhadap penyakit berjangkit. [4]
Antara makanan yang tinggi dengan vitamin E adalah:
- Minyak kacang soya
- Minyak kanola
- Minyak sawit
- Minyak bunga matahari
- Minyak zaitun
- Biji bunga matahari (kuaci)
- Kacang pekan
- Kacang badam (almond)
- Kacang hazel
- Kacang tanah
5. Vitamin B6
Vitamin B6 atau nama lainnya piridoksina juga merupakan vitamin yang penting untuk menguatkan sistem imun badan.
Kekurangan vitamin B6 didapati boleh menyebabkan pengurangan antibodi dalam darah [5].
Malah, kajian mendapati pengambilan suplemen B6 boleh meningkatkan tindak balas sistem imun dalam kalangan pesakit yang kritikal. [6]
Antara makanan yang tinggi dengan vitamin B6 adalah:
- Ikan tuna
- Daging lembu
- Tempe
- Pisang
- Nangka
- Durian
- Keledek
- Bawang merah
- Oat
6. Vitamin B9
Vitamin B9 atau lebih dikenali sebagai folat (asid folik) juga turut memainkan peranan penting terhadap sistem imun.
Asid folik adalah bentuk sintetik kepada folat. Badan manusia menggunakan asid folik untuk menghasilkan sel-sel sihat yang baru.
Kekurangan folat boleh memberi kesan negatif terhadap sesetengah fungsi sistem imun. [7]
Antara makanan yang tinggi dengan folat adalah:
- Makanan diperkaya dengan asid folik
- Beras/Nasi
- Betik
- Ciku
- Buah kiwi
- Susu kacang soya
- Kesom
7. Vitamin B12
Vitamin B12 juga termasuk dalam kalangan vitamin yang diperlukan untuk mempunyai sistem imun yang kuat.
Vitamin B12 adalah penting dalam pengawalan sel-sel imun yang tertentu. Kajian mendapati kekurangan vitamin B12 menyebabkan kemerosotan terhadap aktiviti dan jumlah sel-sel imun. [7]
Antara makanan yang tinggi dengan vitamin B12 adalah:
- Bijirin diperkaya dengan vitamin B12
- Kepah
- Hati kambing
- Hati lembu
- Tiram
- Hati ayam
- Ikan kembung
- Ikan tuna
- Tauhu
- Keju parmesan
- Rumpai laut
Rumusan
Vitamin C, D, A, E, B6, B9 dan B12 adalah antara vitamin yang diperlukan untuk menguatkan sistem imun dalam melawan pelbagai jangkitan.
Selain vitamin-vitamin ini, terdapat juga mineral lain yang turut diperlukan bagi memastikan sistem imun berfungsi dengan baik.
Vitamin-vitamin biasanya terdapat dalam majoriti makanan yang lazim diambil oleh kita. Justeru itu, sangatlah penting untuk mengamalkan pemakanan yang sihat yang merangkumi buah-buahan dan sayur-sayuran. Bagi mereka yang sukar mendapatkan vitamin-vitamin ini melalui makanan, pengambilan suplemen mungkin boleh membantu.
Rujukan
- Carr, A. C., & Maggini, S. (2017). Vitamin C and Immune Function. Nutrients.
- Medrano, M. et al. (2018). Vitamin D: Effect on Haematopoiesis and Immune System and Clinical Applications. International journal of molecular sciences.
- Huang, Z. et al. (2018). Role of Vitamin A in the Immune System. Journal of clinical medicine.
- Lewis, E. D. et al. (2019). Regulatory role of vitamin E in the immune system and inflammation. IUBMB life.
- Qian, B. et al. (2017). Effects of Vitamin B6 Deficiency on the Composition and Functional Potential of T Cell Populations. Journal of immunology research.
- Cheng, C. H. et al. (2006). Vitamin B6 supplementation increases immune responses in critically ill patients. European journal of clinical nutrition.
- Peterson, C. T. et al. (2020). B Vitamins and Their Role in Immune Regulation and Cancer. Nutrients.